Ahad, 23 September 2007

Meritokrasi punca ketidakseimbangan penuntut


NAIB Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Nik Mustapha Abdullah, berkata sistem meritokrasi yang diamalkan sekarang menjadi punca utama ketidakseimbangan antara pelajar perempuan dan lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Malah katanya, penilaian berdasarkan 10 peratus markah dalam aktiviti kokurikulum juga tidak membantu menambah bilangan pelajar lelaki kerana pelajar perempuan juga aktif dalam pelbagai aktiviti terbabit ketika di sekolah.

Lebih mengejutkan katanya, pelajar perempuan sudah semakin berani memasuki bidang teknikal termasuk kejuruteraan menyebabkan mereka mula mendominasi hampir semua jurusan di IPT. Di UPM sendiri, 67 peratus pelajarnya adalah perempuan berbanding hanya 33 peratus pelajar lelaki.

Justeru, Nik Mustapha berpendapat, sistem kuota perlu digunakan dalam beberapa bidang kritikal supaya lebih ramai lelaki dapat menyertai bidang seperti pertanian, kejuruteraan dan pelbagai bidang lain yang memerlukan tenaga serta masa yang maksimum.

Selain itu, katanya, universiti berasaskan teknikal perlu diwujudkan seperti yang diamalkan beberapa negara maju, contohnya Jerman dengan mengutamakan pelajar berpotensi dan berminat dalam bidang teknikal tanpa mengutamakan pencapaian akademik mereka.

Bagaimanapun, keseluruhannya ketandusan pelajar lelaki di IPT semakin membimbangkan apabila pelajar wanita mula mendominasi hampir semua jurusan, malah pusat pengajian serta bidang yang selama ini popular di kalangan lelaki juga menunjukkan pertambahan mendadak pelajar wanita setiap tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Imran Idris, berkata jika tiada perancangan teliti bagi menangani senario itu, dalam masa beberapa tahun lagi semua IPT termasuk politeknik akan berlaku ketidakseimbangan ketara membabitkan jantina.

Malah, katanya, lantaran sikap pelajar lelaki yang tidak mengambil peluang menyambung pelajaran di pusat pengajian berorientasikan teknikal, ia secara langsung membuka peluang kepada lebih ramai pelajar perempuan memonopoli bidang yang selama ini sinonim di kalangan lelaki.

“Melihat kepada corak penambahan pelajar perempuan di politeknik, tidak dapat dinafikan bahawa dalam masa beberapa tahun lagi, mereka (perempuan) akan menjadi kumpulan majoriti walaupun umum sedia maklum selama ini politeknik cukup popular di kalangan pelajar lelaki,” katanya.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Aminah Ayob, pula berkata masa depan institusi kekeluargaan dan sosiobudaya negara bakal berdepan masalah besar jika ketidakseimbangan dalam kemasukan pelajar lelaki dan wanita ke IPT tidak ditangani segera.

Beliau berkata, berdasarkan nilai ketimuran yang sudah lama diamalkan di negara ini, lelaki adalah ketua keluarga dan paling layak menjadi pemimpin, namun berdasarkan senario pada masa kini, tidak mustahil pelbagai sektor termasuk institusi kekeluargaan akan dipimpin wanita satu hari nanti.

“Malah, apa yang lebih membimbangkan, lantaran kurang pilihan bagi mendapatkan lelaki berpelajaran tinggi menyebabkan ramai wanita mungkin memilih untuk tidak berkahwin atau minta dilepaskan apabila merasakan mampu menyara hidup tanpa perlu mengharapkan lelaki.

“Keadaan sebaliknya akan berlaku jika perempuan berkerjaya mengutamakan keluarga, ia secara tidak langsung akan mengurangkan komitmen mereka seterusnya mendatangkan masalah kepada majikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Kaji Selidik Ketidakseimbangan Jantina Dalam Enrolmen dan Pencapaian Akademik IPT, berkata kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan senario itu tidak berterusan seterusnya mendatangkan implikasi terhadap sektor pekerjaan dan kekeluargaan negara.

Katanya, hasil kajian menunjukkan metodologi yang digunakan dalam menyampaikan pengajaran kepada pelajar lelaki adalah berbeza dengan pelajar perempuan, dan bagi memudahkan pelaksanaannya, jumlah pelajar dalam sesebuah kelas perlu kecil untuk memudahkan guru mempelbagaikan pendekatan bagi kelompok berbeza.

Dr Aminah turut mencadangkan supaya sistem penilaian secara merit tidak boleh dijadikan syarat utama pemilihan pelajar ke IPT sekiranya kerajaan berhasrat mengimbangi jumlah pelajar lelaki dan wanita di semua IPT seluruh negara.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah, pula berkata ketidakseimbangan pelajar di IPT akan membawa implikasi negatif kepada kedua-dua kumpulan jantina kerana majikan lebih cenderung mengambil pekerja lelaki sekali gus menyebabkan lebih ramai graduan menganggur kerana tidak diambil bekerja.

Beliau berkata, walaupun IPT melahirkan terlalu ramai graduan perempuan, hakikat yang tidak boleh diketepikan ialah hak memilih pekerja tetap di tangan majikan dan jika mereka tidak ada pilihan lantaran kekurangan graduan lelaki, tidak mustahil majikan akan beralih perhatian kepada tenaga profesional dari negara luar.

"Perempuan akan melabelkan semua ini sebagai tidak adil dan diskriminasi sekiranya kita terus mendebatkan isu mengimbangi jumlah pelajar di IPT tetapi hakikat perlu diterima kerana industri masih mengharapkan profesional lelaki atas alasan lebih mudah bergerak dan dapat bekerja dalam apa situasi sekalipun," katanya.

Beliau berkata, ketidakseimbangan yang berlaku kini adalah disebabkan proses kematangan kedua-dua jantina yang jauh berbeza kerana perempuan kebiasaannya sudah mencapai kematangan seawal usia sembilan tahun sedangkan lelaki hanya matang pada usia 14 tahun.

"Perbezaan ketara ini menyebabkan kementerian sewajarnya mengamalkan sistem merit pemberat iaitu memberi mata tambahan kepada pelajar lelaki bagi mengimbangi faktor kematangan lewat serta membolehkan penilaian lebih adil dengan mengambil kira faktor akademik dan psikologi.

"Sebenarnya, tidak timbul soal lelaki lebih lemah dalam akademik tetapi apa yang perlu difahami, mereka lambat matang dan apabila sudah mencapai kematangan sebenar, kebiasaannya mereka lebih cenderung untuk berjaya dan diangkat sebagai pemimpin," katanya.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Sharipah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, mempunyai pandangan berbeza apabila menyifatkan perkembangan dalam jumlah kemasukan lebih ramai pelajar wanita di IPT adalah petanda baik bagi mengimbangi jumlah profesional di sektor pekerjaan yang selama ini dikuasai lelaki.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dengan senario terbabit kerana ia menunjukkan wanita pada masa kini sudah diberi peluang untuk menceburi pelbagai bidang sedangkan sudah berdekad lamanya lelaki menguasai semua bidang dan perempuan hanya mampu belajar setakat pada peringkat sekolah saja.

"Ia adalah satu proses yang panjang bagi wanita mengatasi lelaki dalam sektor pekerjaan walaupun diakui pada masa kini hampir semua IPT dimonopoli oleh wanita. Apa yang pasti wanita tidak mempersiakan peluang yang diberi kepada mereka kini.

"Wanita juga adalah sumber penting bagi negara. Negara yang tidak menggunakan sumber secara bijak tidak akan maju. Negara kita dikira sangat bijak kerana dapat menggunakan semua sumber tenaga termasuk manusia dengan baik," katanya.

Berita Harian 24 September 2007