Ahad, 23 September 2007

Pendemokrasian pendidikan lahir pelajar bermutu


EVOLUSI yang berlaku dalam peningkatan jumlah profesional di kalangan wanita jelas menunjukkan negara sedang berada pada landasan terbaik menjadi sebuah negara maju seperti dihasratkan kerajaan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pendemokrasian pendidikan seperti diamalkan kini membuka peluang kepada pelajar perempuan mengambil kesempatan menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi seterusnya berjaya dalam pelbagai lapangan.

Selain itu, sikap pelajar perempuan yang lebih fokus ketika belajar dan mempunyai hala tuju lebih awal lantaran mencapai kematangan lebih cepat adalah faktor utama lebih ramai kumpulan itu menempatkan diri di peringkat tinggi dalam pencapaian akademik.

"Sistem pendidikan di negara ini masih mengutamakan pencapaian akademik sebagai syarat utama memasuki IPT. Justeru, ia pastinya membuka peluang lebih besar kepada pelajar perempuan yang lebih cemerlang dalam pencapaian akademik.

"Malah, sektor pekerjaan yang mula membuka peluang kepada wanita selain ada pelbagai sektor yang jelas lebih sesuai untuk mereka juga menyebabkan ramai profesional wanita dilahirkan kini," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi canggih dalam sektor pekerjaan menyebabkan tiada halangan untuk pekerja wanita menempatkan diri dalam apa sektor sekalipun berbanding sebelum ini yang lebih banyak menggunakan sistem manual.

Alimuddin tidak menolak hakikat bahawa penggunaan sistem merit sebagai penyebab ketidakseimbangan dalam kemasukan pelajar ke IPT tetapi baginya ia adalah satu sistem penilaian yang tepat dan objektif berbanding pemerhatian terhadap ciri lain yang lebih bersifat subjektif.

Namun, katanya, dalam proses memilih guru, sistem merit bukanlah keutamaan kerana pemilihan juga mengambil kira keputusan temu duga dan disebabkan masih banyak sekolah di kawasan pedalaman, keutamaan lebih diberikan kepada pemohon lelaki.

"Saya akui dalam kes guru di sekolah, keseimbangan jantina amat penting kerana banyak aktiviti di sekolah membabitkan tenaga dan sewajarnya pembabitan guru lelaki amat diperlukan bagi menjayakannya," katanya.

Beliau tidak bersetuju senario ketidakseimbangan itu akan membawa kesan kepada kualiti kekeluargaan dan sosiobudaya masyarakat kerana budaya masyarakat negara ini masih utuh dan tidak akan terikut-ikut budaya barat.

Berita Harian 24 September 2007