Ahad, 23 September 2007

Syor pendekatan berbeza tingkat akademik


KERAJAAN disaran supaya lebih berani melakukan perubahan bagi mengimbangi jumlah kemasukan pelajar ke IPT, termasuk menghapuskan sistem persekolahan campuran di peringkat rendah bagi merintis pendekatan lebih sesuai digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Tokoh korporat, Datuk Mohd Nadzmi Salleh, berkata sistem sekolah campuran yang menggabungkan pelajar lelaki dan perempuan dalam kelas yang sama seawal usia tujuh tahun menyebabkan guru menggunakan pendekatan sama bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata, penggunaan pendekatan yang sama sebenarnya tidak akan membantu perkembangan akademik pelajar lelaki kerana hakikatnya kedua-dua kumpulan jantina itu mempunyai minat dan kaedah belajar berbeza antara mereka.

"Pelajar lelaki lebih minat dengan aktiviti membabitkan fizikal dan perdebatan berbanding perempuan yang lebih suka belajar secara bacaan atau penyampaian terus. Justeru, jika pendekatan sama digunakan seperti diamalkan sekarang, pelajar lelaki akan terus ketinggalan dan ketidakseimbangan kualiti pendidikan akan terus berlaku.

"Contohnya, ibu bapa di rumah juga menggunakan pendekatan berbeza untuk anak lelaki dan wanita. Malah, proses kematangan lelaki dan wanita yang berbeza juga adalah faktor kepada perlunya pendekatan berbeza," katanya.

Beliau berkata, ketidakseimbangan yang berlaku dalam kemasukan pelajar lelaki dan perempuan di sekolah adalah sesuatu yang wajar dibimbangi semua pihak kerana khuatir pada masa akan datang kekurangan lelaki yang mempunyai kelayakan akademik tinggi menyebabkan ramai perempuan tidak mampu memilih pasangan hidup.

Katanya, ketidakseimbangan itu jika tidak ditangani segera akan mendatangkan kesan tidak baik terhadap sosiobudaya serta memberi impak terhadap kualiti sosial masyarakat di negara ini.

"Semua pihak tidak boleh memandang remeh isu ini. Isu ketidakseimbangan ini sudah lama disedari banyak pihak termasuk kerajaan. Justeru, perlu ada tindakan segera yang bukan sekadar bersifat kesedaran semata-mata," katanya.

Berita Harian 24 September 2007