Keharmonian, demokrasi keluarga elak fenomena masyarakat tak selamat
KES membabitkan kanak-kanak hilang yang kemudian menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual dan pembunuhan kejam bukanlah masalah baru di negara kita. Satu demi satu kes sebegini dilaporkan. Apabila dilaporkan secara meluas semua pihak, ibu bapa khususnya akan berasa tidak senang duduk dan khuatir terhadap keselamatan anak masing-masing.
Kes terbaru iaitu tragedi yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati Isnin lalu dengan kesan penderaan seksual dan mayatnya diletakkan di dalam sebuah beg sukan, hampir sebulan selepas kehilangan dari rumah keluarganya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, mencetuskan kemarahan masyarakat yang mahu melihat orang bertanggungjawab diburu sampai ke lubang cacing.
Namun, sejauh mana kes seumpamanya benar-benar memberi pengajaran kepada semua pihak? Kes kanak-kanak dan remaja hilang atau melarikan diri dari rumah nampaknya seperti tidak berkesudahan.
Perangkaan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini saja melaporkan 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dari rumah. Siapa harus dipersalahkan – ibu bapa, kanak-kanak dan remaja itu sendiri, masyarakat atau pihak berkuasa yang gagal menangani isu ini dengan berkesan.
Sebenarnya, semua disenaraikan itu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk membendung masalah berkenaan daripada berpanjangan.
Pembunuhan kejam Nurin Jazlin, Nurul Huda Abdul Ghani, 10, (mayatnya ditemui bogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal Tenaga Nasional Bhd dalam keadaan mencangkung selepas dibunuh dan dirogol oleh pengawal keselamatan, Mohd Abbas Danus Baksan – 2004) serta kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, (selama 15 hari mulai 31 Mac lalu dan dipulangkan oleh pasangan Myanmar) adalah ‘wake up call’ kepada semua pihak supaya tidak memandang remeh perkara ini. Sudah cukup dengan apa yang berlaku itu supaya tidak terus menerus menjadi parah.
Ketua Unit Perkembangan Kendiri dan Profesionalisme Jabatan Pendidikan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata jika berlaku hal ini, tidak perlu menuding jari dan saling salah menyalahi antara satu sama lain.
Sewajarnya kata beliau, mulai saat ini, perlu ada tindakan positif dan lebih proaktif dengan mewujudkan kawalan sosial di pihak masing-masing.
Katanya, isu kehilangan kanak-kanak remaja sama ada yang keluar bersendirian atau lari daripada rumah perlu ditangani dengan serius bagi mengelak tragedi lebih buruk.
Kejadian kanak-kanak dan remaja keluar tanpa pengawasan atau lari dari rumah yang berlaku sekarang menggambarkan suasana komuniti di negara ini sudah tidak selamat dan tidak perlu dipandang sebelah mata.
Fenomena itu memperlihatkan wujudnya satu rentetan permasalahan, konflik dan kepincangan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan pihak berkuasa.
"Semua pihak sebenarnya mempunyai peranan masing-masing. Di pihak ibu bapa, mereka perlu memikul tanggungjawab besar untuk mengawasi anak mereka selain mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan. Zaman sudah berubah dan corak mendidik anak juga perlu seiring dengan perkembangan serta suasana tertentu.
"Ibu bapa perlu mempelajari ilmu keibubapaan alaf baru. Pada alaf baru ini terlalu banyak perkara dan sumber yang boleh mempengaruhi anak untuk bertindak. Sekiranya tiada pendekatan dan kawalan berkesan dipraktikkan, sudah pasti wujud kepincangan di dalam institusi kekeluargaan sehingga ada yang bertindak di luar kawalan dengan melarikan diri dari rumah.
Jika anak lari dari rumah, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena. Rumah yang sepatutnya menjadi syurga dan ibu bapa yang seharusnya menjadi pelindung mereka, mungkin sudah tidak selamat lagi kepada anak berikutan wujud faktor tertentu," katanya.
Dr Harlina yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia berkata, semua ibu bapa mahukan anak mereka selamat dan tidak terbabit dengan gejala sosial, menjadi mangsa culik atau lari dari rumah.
Bagaimanapun, dalam suasana perubahan alaf baru ini, setiap ibu bapa seharusnya sentiasa ingat anak mempunyai potensi untuk hilang sama ada melarikan diri atau keluar sendiri tanpa pengawasan mereka.
Beliau berkata, berdasarkan pengamatannya, gaya dan corak kehidupan ibu bapa yang berbeza di kalangan masyarakat akan melahirkan personaliti dan tingkah laku anak yang berbeza.
Ibu bapa perlu mempunyai sikap demokratik terhadap anak iaitu memberikan kasih sayang, mengamalkan hubungan kemesraan, berinteraksi, mendisiplinkan anak bermula dari peringkat awal di samping bersedia menerima pandangan anak dan menghargai mereka.
Bagaimanapun, berdasarkan pengamatannya, tidak kurang juga ada ibu bapa mengamalkan sikap autokratik, iaitu dengan berkata: "Biarlah anak mahu keluar rumah atau lari dari rumah. Berapa lama dia akan bertahan... akhirnya pasti akan balik juga".
"Ini adalah pandangan yang salah kerana memberi ruang kepada anak berbuat sesuka hati. Sikap begini tidak patut pada ibu bapa," katanya.
Ada sikap ibu bapa yang pesimistik (iaitu mengikut saja kehendak anak hingga tidak boleh dihukum kerana khuatir akan akan lari dari rumah).
"Dalam mendidik anak sikap demokratik adalah yang terbaik diamalkan dan ini boleh diperkukuhkan lagi jika mereka sentiasa mencari ilmu baru dalam mendidik anak," katanya yang turut menegaskan tidak keterlaluan untuk dikatakan, kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah bajet bagi meningkatkan pembangunan kekeluargaan di negara ini.
Bagaimanapun, isu anak melarikan diri dari rumah tidak juga diletakkan seratus peratus kesalahan kepada ibu bapa saja, sebaliknya anak juga perlu berfikiran matang dan tidak mementingkan diri dengan mengikut kemahuan sendiri.
Pada masa sama, peranan masyarakat juga penting kerana mereka boleh menjadi pasukan pemantau dalam memberikan maklumat berkaitan kes ini untuk memudahkan pihak berkuasa bertindak pantas.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi (Psikologi), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Amelia Abdul Aziz, berkata kes Nurin Jazlin memperlihatkan wujudnya individu yang sentiasa mengambil peluang ke atas kanak-kanak untuk memenuhi kepuasan seksnya yang amat tinggi.
Individu yang berkelakuan itu, digolongkan sebagai fidofilia dan dianggap insan yang tidak normal dari segi tabii melakukan hubungan seks.
"Mereka juga adalah seorang yang menghadapi masalah kecelaruan seks. Oleh itu, mereka gemar melakukan seks luar biasa terhadap kanak-kanak dan hanya ingin mencari kanak-kanak sebagai mangsa bagi menutup kekurangan seksual diri mereka.
"Pelaku seks kanak-kanak ini tidak dapat mengawal dirinya dan keinginan seks terlalu memuncak. Nafsunya akan lebih memuncak sekiranya melihat kanak-kanak itu dalam keadaan kesakitan. Dalam kes Nurin, tidak mustahil perogol itu memasukkan terung dan timun di dalam kemaluan mangsa untuk melihat kanak-kanak berkenaan terus menderita kesakitan," katanya.
Beliau berkata, manusia yang begitu sifatnya memang tidak normal dari segi mental dan psikologinya, dan mereka pandai memujuk kanak-kanak untuk suka kepadanya dengan mempamerkan sikap kasih sayang, lembut dan mengambil hati dengan pelbagai cara seperti memberikan gula-gula atau sebagainya.
Bagi kanak-kanak pula katanya, sudah pasti mudah menerima sikap seperti itu tanpa rasa ragu-ragu.
"Saya berpendapat, pelaku seks ke atas kanak-kanak itu perlu menjalani kaunseling dengan pakar psikiatri dan mereka ini tidak seharusnya dibenarkan bebas di luar. Pelaku seks kanak-kanak ini tidak mengawal keghairahan seks yang sentiasa berkobar-kobar dan sentiasa mencari mangsanya tidak kira terhadap kanak-kanak perempuan atau lelaki," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa tidak membiarkan anak keluar berseorangan kerana wujud individu sebegini akan berlegar-legar mencari peluang untuk memuaskan nafsunya.
Oleh Jami'ah Shukri
Berita Harian 24 September 2007