Ahad, 23 September 2007

Pengangkutan awam perlu dipertingkat elak kesesakan


CADANGAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengenakan caj kepada semua kenderaan yang masuk ke pusat bandar ibu kota bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, terutama pada waktu puncak, sepatutnya sudah lama dilaksanakan. Beberapa kota raya seperti London, Stockholm dan Singapura terbukti berjaya mengurangkan kesesakan pada waktu puncak selepas memperkenalkan kaedah itu. Sama ada skim yang dikenali sebagai Caj Kesesakan di London, Caj Pengguna Jalan di Stockholm atau Caj Jalan Elektronik di Singapura, matlamatnya sama iaitu menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di bandar raya. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, yang kini berada di Sweden turut melawat Trafik Stockholm, iaitu syarikat yang bertanggungjawab memantau dan menguruskan lalu lintas. Kita berharap Ab Hakim membuat penelitian lanjut kaedah diguna pakai di Stockholm itu sama ada sesuai untuk Kuala Lumpur dan begitu juga pendekatan digunakan di London dan Singapura. Kita menyokong apa saja langkah yang dilakukan ke arah mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi kita juga mahu rakyat, khususnya warga kota bersedia menerima perubahan itu. Jika tidak, ia akan menjadi sia-sia. Pelaksanaan cadangan itu perlu dibuat selepas setiap sudut diambil kira. Misalnya, kemasukan pemandu yang memandu berseorangan atau 'Single Occupancy Vehicle' (SOV) di bandar raya, apakah bentuk caj atau levi dikenakan. Adilkah jika SOV, dipercayai menjadi faktor utama masalah kesesakan di pusat bandar, dikenakan caj melambung berbanding kereta yang penuh penumpang pada hal ia dalam perjalanan mengambil isteri di tempat kerja di pusat bandar. Begitu juga dengan pemandu yang menghantar dan mengambil ketuanya mesyuarat atau perbincangan perniagaan di tengah kota. Dalam satu kajian, daripada 2.12 juta kenderaan yang memasuki Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2) sehari, 70 peratus membabitkan kenderaan kategori SOV.

Pengenalan caj bagi menangani masalah SOV akan menggalak orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan di bandar raya Kuala Lumpur. Kira-kira dua juta kenderaan memasuki ibu kota setiap hari dengan hanya 30 peratus penduduk menggunakan pengangkutan awam. Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan lagi sistem pengangkutan awam supaya menjadi pilihan utama penduduk dan kita percaya pihak DBKL akan mengenakan caj letak kereta lebih tinggi di pusat bandar raya. Semua bandar raya besar di seluruh dunia berbuat demikian kerana ia juga satu cara mengurangkan kemasukan kenderaan perseorangan pada waktu puncak. Kita cuma berharap pengangkutan awam di ibu negara secekap London, Singapura atau Stockholm, baru mampu menarik minat pengguna kenderaan persendirian supaya bertukar kepada penggunaan bas, LRT, monorel atau komuter. Khidmat pengangkutan awam, terutama bas perlu dipertingkatkan terlebih dulu bagi mengurangkan penggantungan terhadap penggunaan kereta di pusat bandar raya. Sebelum memulakan caj kenderaan memasuki bandar raya, DBKL perlu memikirkan semua permasalahan ini supaya langkah itu menjadi alternatif yang terbaik. Ada beberapa kriteria yang perlu ada pada pengangkutan awam iaitu boleh dipercayai, tempat duduk selesa, perkhidmatan mudah difahami serta waktu perjalanan cepat dan selesa. Peningkatan kualiti perkhidmatan bas memang diperlukan kerana menurut RapidKL, pengguna bas kini mencecah 130,000 penumpang sehari. Prasarananya lebih murah untuk dibangunkan berbanding tren kerana tidak memerlukan pembinaan landasan khas yang biasanya mencecah berbilion ringgit.

Berita Harian 24 September 2007