Ahad, 23 September 2007

Bulan perbaiki kelemahan, tingkat keimanan


ORANG mukmin memiliki perasaan sentimental apabila merapati Allah dengan amal ibadat. Sepasang mata yang cerah tiba-tiba boleh redup dihujani air mata kerana ingat kepada Allah. Hati juga rasa sayu dengan pengharapan dan pergantungan yang kuat kepada-Nya.

Saat sentimental ini boleh dirasai ketika kelaparan dan kehausan di bawah panas terik matahari Ramadan. Atau, saat syahdu waktu malam mengisi tarawih dan tahajud. Rukuk dan sujud yang panjang, doa yang membuka pintu langit naik ke sisi-Nya dan sedekah yang melahirkan jiwa hamba.

Ramadan datang lagi membuka harapan baru untuk orang yang mahu kembali kepada Allah. Allah tidak peduli dengan kisah silam hamba-Nya yang berdosa, dengan satu lafaz istighfar dan satu janji taat setia, terbukalah peluang untuk kesekian kalinya.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan meyakini ganjaranNya nescaya diampuni dosanya yang lalu.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah menerima kita kembali tanpa bosan dan jemu. Seolah-olah memanggil hamba-Nya: “Di sinilah bulan yang penuh rahmat dan ampunan-Ku, di manakah orang yang meminta perlindungan? Di manakah hambaku yang mahu bertaubat? Walaupun bau mulut orang yang berpuasa takkan sanggup kita menciumnya, tetapi bagi Allah SWT, ia lebih baik daripada haruman kasturi syurga-Nya. – (Mafhum hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kasih sayang Allah mengatasi kemurkaan-Nya terhadap orang yang berdosa. Jika bau mulut itu begitu bernilai di sisi-Nya, bagaimana pula dengan darah dan daging, kulit dan tulang, mata dan hati orang yang berpuasa? Bukankah Allah memuliakan segala-galanya bagi hamba yang ikhlas beribadat?

Ramadan adalah bulan bersejarah seperti mana kita menyambut peringatan penting dalam hidup kita. Sudah tentu persediaan yang rapi sudah dirancang. Sebelum tirainya terbuka, ramai Muslimin yang mengulang kaji bagaimana cara berpuasa mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Mereka mengambil peluang belajar setiap sekali setahun mendidik jiwa supaya tunduk dan patuh dengan ibadat puasa. Tetapi ada juga berpuasa atas desakan persekitaran, bukan kerana imannya. Boleh jadi tiada dirasa kenikmatan ketika berpuasa kerana tidak pasti dengan matlamat berpuasa.

Berpuasa cara Nabi SAW tidak sama dengan puasa orang yang berdiet kerana kecantikan dan kesihatan atau orang yang hanya meninggalkan makan dan minum saja tetapi tidak dapat mengawal lidahnya daripada mengumpat, menghasut, memfitnah dan bercakap keji.

Puasa Rasulullah SAW diisi dengan tadarus al-Quran, malamnya pula tarawih dan qiamullail. Kerana Ramadan itu bulan ibadat, maka kerja yang dilakukan seharian juga dianggap ibadat. Sungguh besar ganjaran Ramadan bagi hamba Allah yang mengambil peluang keemasan ini.

Jika pekerja mengharapkan bonus akhir tahun, paling kurang sebulan gaji. Adakah wujud manusia yang percaya apabila anda akan diberikan bonus lebih 700 kali daripada gaji sebulan? Kenapa tidak percaya jika Allah yang menjanjikannya?

Seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Semua amalan manusia akan dilipat gandakan pahalanya, satu kebaikan akan dibalas sebanyak 10 kali ganda hingga 700 kali ganda, sampai pada kadar menurut kehendak Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia untuk-Ku dan hanya Aku yang layak menentukan ganjarannya. Mereka adalah orang yang berpuasa dengan meninggalkan kehendak nafsu syahwat dan makan kerana mematuhi perintah-Ku.” – (Hadis riwayat Imam Muslim)

Mengapa Tuhan merahsiakan pahala puasa kepada hamba-Nya? Disebabkan keistimewaan amalan ini yang menjadi bukti ketundukan, kesetiaan dan kecintaan seorang hamba kepada Allah. Anugerah tertinggi ini sememangnya layak dihadiahkan kepada insan yang dedikasi dalam memperhambakan diri kepada Allah.

Namun demikian, kita menyedari Allah tidak memerlukan diri dan amal ibadat kita. Jika semua makhluk menderhaka kepada-Nya pun, hal itu tidak akan menggugat sedikitpun kebesaran Allah. Puasa itu pada hakikatnya untuk menyelamatkan diri daripada kejahatan iblis dan syaitan.

Puasa adalah jalan untuk menyeksa musuh utama manusia seperti pandangan Shaikhul Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmuk al-Fatawa Jilid 25 halaman 246, beliau berkata: “Tanpa ragu lagi darah itu dihasilkan daripada makanan dan minuman, saluran di mana syaitan mengalir (iaitu darah) menjadi luas apabila makan. Tetapi jika seseorang itu berpuasa, saluran itu menjadi sempit, jadi hati terdorong untuk membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan.”

Puasa menjadi ibadat yang sangat berkesan kepada keperibadian seseorang. Selain itu, ia juga salah satu cara paling mudah untuk menghapuskan dosa lama yang berkarat dalam jiwa insan.

Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW turun dari mimbar dan bersabda yang bermaksud: “Amin, amin, amin. Maka ditanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah kenapakah engkau berkata begitu? Baginda bersabda: Jibril berkata kepadaku: Semoga Allah menghina orang yang apabila Ramadan tiba dosanya tidak terampun. Dan aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata: Semoga Allah menghina orang yang hidup dan melihat ibu bapanya tua, salah seorang atau kedua-duanya tetapi dia tidak dapat masuk syurga (kerana menderhaka) dan Aku berkata: Amin. Kemudian Jibril berkata lagi: Semoga Allah menghina orang yang apabila disebut namamu dia tidak mengirimkan salam ke atas engkau. Dan aku berkata: Amin.” –(Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah, al-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Sungguh rugi bagi sesiapa yang melepaskan peluang terbaik pada bulan mulia ini, mereka yang enggan memperbaiki diri dan amalannya. Tenggelam dalam kehidupan dunia hingga menunda taubat yang seharusnya menjadi keutamaan dalam kehidupannya.

Oleh Dr Juanda Jaya

Penulis ialah pendakwah dari negeri Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Berita Harian 24 September 2007