MASYARAKAT yang sedang mengalami krisis identiti, terlalu mengejar kemewahan dan kemajuan, perlu berubah supaya tidak terus terleka, seterusnya melakukan perubahan ke arah kehidupan yang makruf.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berkata kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.” – (Surah at-Taubah, ayat 71)
Dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia pada hari ini, khususnya merujuk kepada gejala sosial yang berlaku, perlu ada usaha untuk memperbaiki keadaan itu ke tahap yang lebih baik.
Berusaha menghindarkan perkara buruk yang dilarang Allah perlu mempunyai tiga syarat yang mesti dihayati iaitu:
> Mempunyai niat yang betul;
> Mempunyai azam yang kuat, dan
> Melaksanakan niat dan azam dengan bersungguh-sungguh.
Pembinaan akhlak adalah agenda utama yang perlu dibangunkan semula. Nilai akhlak satu perkara penting dalam Islam kerana sesungguhnya Rasulullah SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak umat manusia seluruhnya.
Sejarah sudah membuktikan masyarakat sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW adalah sebuah masyarakat yang kucar kacir. Hal ini berlaku kerana pada waktu itu masyarakat tidak mempunyai contoh teladan yang mencetuskan nilai murni dalam masyarakat.
Bagi merealisasikan akhlak mulia dalam masyarakat, sekali gus membentuk umat yang sejahtera, akhlak baik itu mempunyai ciri utama iaitu kebijaksanaan, keberanian, kebersihan jiwa dan keadilan.
Empat asas itu antara lain menjelaskan bahawa kebijaksanaan yang perlu ada dalam diri setiap individu atau masyarakat dapat membezakan yang benar dan salah. Keberanian pula bermaksud, perlunya peranan akal mengawal nafsu amarah supaya tidak berlaku perkara dilarang.
Kebersihan jiwa pula ialah menahan kemahuan nafsu kotor dengan mendidiknya supaya tunduk kepada akal dan syarak atau kekuatan jiwa yang dapat mengatasi sifat marah, kemahuan nafsu buruk serta membimbing kedua-duanya ke arah kebijaksanaan.
Ternyata keempat-empat ciri yang dinyatakan itu adalah asas dalam membina akhlak mulia sekali gus dapat difahami setiap individu Muslim.
Persoalan yang timbul sekarang mengapakah akhlak yang buruk nampaknya lebih menguasai pemikiran dan amalan umat mutakhir ini? Perkara ini perlu dikaji dan direnung setiap individu, namun perlu disedari bahawa akhlak yang baik tidak akan meresap ke dalam diri dan jiwa seseorang selagi ia tidak membiasakan dirinya dengan segala perbuatan baik.
Dalam melaksanakan perkara ini seseorang itu atau sesebuah masyarakat hendaklah mempunyai sikap kecenderungan ke arah perbuatan baik, berasa nikmat melakukan kebaikan serta benci dan berasa kesal terhadap keburukan.
Ternyata perkembangan mutakhir menunjukkan musuh Islam sedang membina dan mengukuhkan ikatan ‘lingkaran ganas’ bagi meruntuhkan umat Islam. Keadaan ini tentunya pernah disebut dan diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW, semasa hayatnya.
Keadaan itu juga berlaku di negara kita kerana masalah keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan 70 peratus pembawa kuman HIV adalah majoritinya terdiri di kalangan umat Islam sendiri.
Mulai saat ini kita mesti mencari jalan untuk sama-sama mengatur, membina kekuatan ummah, membina peradaban dan tamadun, bersatu membina nilai murni dalam masyarakat serta berusaha mengelak perpecahan dan persengketaan.
Pada zaman awal perkembangan Islam, ikatan persaudaraan berjaya diwujudkan di kota Madinah sewajarnya menjadi teladan dalam mencari penyelesaian isu masyarakat hari ini.
Oleh Masmawi Abdullah
Berita Harian 24 September 2007