Ahad, 23 September 2007

Ramadan bukan pesta makanan


Menyemarakkan bulan puasa tak harus disalah tafsir dengan berbelanja ikut nafsu


RAMADAN bulan menguji kesabaran dan pembersihan jiwa, bulan yang penuh keberkatan, permulaannya rahmat, pertengahannya penuh keampunan dan di akhirnya adalah kebebasan daripada azab neraka.

Allah menganugerahkan banyak fadilat pada bulan ini sebagai motivasi kepada umat Islam supaya melaksanakan pelbagai ibadat yang ditunjukkan Baginda SAW dengan penuh tertib dan beradab.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila Ramadan tiba maka pintu syurga akan dibukakan dan pintu neraka akan ditutup serta syaitan akan dibelenggu." - (Hadis riwayat Bukhari)

Cabaran paling besar untuk umat Islam pada waktu ini adalah untuk meningkatkan kualiti ibadat berpuasa. Namun, banyak keadaan mencabar umat Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai ibadat lahiriah saja, sedangkan puasa sebenarnya membentuk kekuatan dalaman lebih bermakna.

Di sinilah kita dapat melihat antara sunnah Rasulullah SAW dan aliran berpuasa manakah yang menjadi ikutan ramai?

Menyemarakkan Ramadan adalah sunnah Nabi SAW, tetapi salah tanggapan bahawa bulan mulia ini adalah gelanggang untuk mengadakan pesta makanan atas nama bufet Ramadan sudah cukup menggambarkan diri umat Islam yang terdedah kepada amalan berbuka puasa di hotel.

Ini diakui kebanyakan hotel yang mendakwa permintaan mengadakan bufet pada Ramadan cukup memberangsangkan. Anehnya bagi kita kerana sepatutnya pada bulan inilah umat Islam menahan hawa nafsu (dengan berlapar dan dahaga) berbanding bulan lain.

Menghormati bulan Ramadan bukan hanya pada siangnya saja malah perlu dilanjutkan sepanjang masa daripada waktu bersahur sehinggalah hari seterusnya.

Walaupun ada pihak menasihatkan tidak salah jika kita mampu untuk menikmati juadah berbuka di mana-mana tempat tetapi alangkah manisnya seluruh pihak bersama menyemarakkan Ramadan dengan menghayati erti lapar dan dahaga.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya." – (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai)

Waktu berbuka puasa pula bukan masa untuk ‘membalas dendam’ kerana seharian tidak mengisi perut yang kosong. Berbuka perlu mengikut amalan sunnah sebagai mengembalikan semula tenaga mencukupi supaya boleh beribadat seperti tadarus al-Quran atau solat tarawih.

Samalah kita bersahur yang sunat dilewatkan untuk mengisi perut sebagai bekalan tenaga pada waktu siang. Alasan makan dengan banyak kerana 'takut lapar' pada waktu siang adalah alasan yang sudah ketinggalan zaman.

Sedangkan hikmah berpuasa bertujuan supaya kita merasai betapa susahnya golongan yang sedang kelaparan maka kita akan insaf serta bersyukur dengan kemewahan dikurniakan Allah. Sesungguhnya tidak akan hilang kemeriahan Ramadan sekalipun tanpa acara makan yang sedang ditawarkan kepada umat Islam masa kini.

Jelaslah bahawa maksud puasa adalah pengosongan perut, mematahkan syahwat supaya jiwa lebih bertakwa daripada yang sedia ada (al-Baqarah:183). Rasulullah SAW juga pernah bersabda maksudnya: "Ramai orang yang berpuasa, tetapi ia tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga." – (Diriwayatkan oleh Nasa'i dan Ibnu Majah)

Nabi SAW seorang ahli perniagaan dan menggalakkan umatnya berniaga kerana Allah menjadikan rezeki di dalam bidang perniagaan ini lebih besar pendapatannya berbanding pekerjaan makan gaji.

Peningkatan ekonomi melalui usaha perniagaan seperti di bazar Ramadan pasti akan meningkatkan pendapatan keluarga dan seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan umat Islam.

Tetapi inilah aliran semakin membiak ke dalam hati umat Islam yang bersemangat untuk mencuba-cuba saja tanpa ada pelan jangka masa panjang bagi menceburkan diri ke dalam aktiviti perniagaan.

Menjelangnya Syawal nanti, bakal menjadi medan perang potongan harga atau diskaun bagi menarik perhatian orang ramai mendapatkan keperluan membeli belah untuk merayakan Aidilfitri.

Sekali lagi seluruh umat Islam seakan-akan terkena histeria membeli-belah tanpa mengira potongan diskaun yang akhirnya menjadikan pengeluaran wang melebihi perbelanjaan harian. Sunnah menganjurkan supaya perayaan ini disertakan dengan sifat rendah diri, tawaduk, menjaga adab perayaan seterusnya meneruskan dengan ibadat sunat seperti puasa sunat 6 Syawal.

Oleh kerana ibadat puasa bertujuan mendidik jiwa manusia supaya lebih bertakwa kepada Allah SWT justeru marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti amalan ini supaya mendapat keredaan Allah.

Biar apa pun dugaannya, janganlah pula ada pihak yang cuba menggunakan nama ihya' (menyemarakkan) Ramadan sebagai medan ujian untuk memesongkan sunnah Nabi dengan pelbagai keadaan yang bertentangan adab berpuasa.

Semoga ibadat ini akan berjaya menundukkan hawa nafsu yang sentiasa mengarah kepada perbuatan keji dan tidak diredai Allah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak akan melarat sesiapa saja yang hidup dengan sederhana (dalam berbelanja)." – (Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Oleh Rahisam Ramli

Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengajian Islam di Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM)

Berita Harian 24 September 2007