Ahad, 23 September 2007

Saintis cipta alat kesan virus maut H5N1


HONG KONG: Sekumpulan penyelidik di Singapura mencipta salat alat mengesan virus selesema burung H5N1 tidak sampai 30 minit menggunakan sampel pengelap tekak, menaikkan harapan penyakit itu dapat dikesan dengan pantas bagi menghalangnya merebak.

Ujian makmal biasa mengambil masa empat jam dan memerlukan virus itu diasingkan sebelum diuji.

Saintis terbabit dalam artikel majalah Nature menjelaskan, alat yang dipegang tangan itu akan membenarkan ujian lebih mudah khususnya di negara yang kekurangan sumber tenaga kesihatan.

Virus H5N1 biasanya ditemui pada burung dikesan di banyak tempat di Asia dan pakar memberi amaran sejak bertahun-tahun lalu bahawa ia boleh mencetuskan wabak dan membunuh jutaan manusia jika ia boleh disebarkan antara manusia.

Alat pengesan itu boleh mengasingan, membersih dan membesarkan virus DNA mengggunakan pengelap tekak untuk terus diuji.

Saintis berkenaan melakukan beratus-ratus ujian menggunakan alat itu yang diharapkan dapat digunakan untuk menguji virus lain termasuk SARS, Aids dan hepatitis B, kata seorang penyelidik terbabit, Juergen Pipper. - Reuters