Ahad, 23 September 2007

Kanak-kanak Asia jadi mangsa penyeludupan


Mereka dipaksa bekerja di kilang hasilkan ganja di Britain: Polis


LONDON: Beratus-ratus kanak-kanak, kebanyakannya dari Asia diseludup ke Britain untuk dijadikan mangsa perdagangan ganja yang semakin berleluasa di negara itu, lapor akhbar The Independent, semalam.

Perangkaan yang diperoleh mendedahkan, ketika penjenayah terancang melonjakkan pengeluaran ganja pada paras tertinggi, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak ditemui polis dalam serbuan di kilang pengeluaran ganja.

Pakar memberi amaran bahawa kanak-kanak semuda usia 13 tahun yang diseludup dari tenggara Asia untuk bekerja sebagai 'hamba' bagi kumpulan penjenayah dalam keadaan bahaya, ditahan di bandar dan pinggir bandar di seluruh Britain.

Mereka percaya terdapat peningkatan lima kali ganda dalam perdagangan itu sejak 12 bulan lalu.

Kanak-kanak yang diseludup oleh kumpulan penjenayah itu ditugaskan menjaga tanaman. Kebanyakan mereka tidak dapat melarikan diri kerana pintu dan tingkap dikunci serta dikelilingi kawad elektrik.

Sebahagian lagi kanak-kanak bimbang anggota keluarga akan menjadi sasaran balas dendam jika mereka melarikan diri. Polis kini menjalankan operasi menyerbu tiga rumah sehari dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit.

"Terdapat bukti jelas ramai budak-budak diseludup, dibeli dan dijual, untuk dijadikan buruh paksa dalam pengeluaran ganja di Britain. Sejak 12 bulan lalu, terdapat peningkatan 500 peratus dalam bilang kes yang dilaporkan kepada kami.

"Kini, kami diberitahu sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak diselamatkan dari kilang ganja setiap minggu. Namun tiada siapa tahu skala sebenar masalah ini," kata pengarah kumpulan kempen Tamatkan Pelacuran Kanak-Kanak, Pornografi Kanak-Kanak dan Penyeludupan Kanak-Kanak bagi Tujuan Seksual (ECPAT), Christine Beddoe.

Pakar berkata, kumpulan penjenayah Vietnam adalah yang paling pantas mengeksploitasi peluang dalam pasaran ganja dan sejak itu diketahui menyeludup kanak-kanak sebagai hamba ganja.

Sebaik berada di Britain, kanak-kanak dipaksa bekerja sebagai 'pekebun', menyiram dan menjaga tanaman ganja dan cuma tidur di dalam almari. Jiran selalunya tidak menyedari kehadiran mereka dan walaupun selepas diselamatkan, kesengsaraan mereka tidak berakhir di situ.

Aktivis menggesa perlindungan lebih diberikan kepada mangsa ketika pihak berkuasa tempatan memandang rendah bahaya yang dihadapi kanak-kanak ini dari penjenayah yang mengeksploitasi mereka. - Agensi