Selasa, 4 September 2007

Cuti bersalin usah sampai jejas prestasi jabatan


DARIPADA 13.1 juta penduduk wanita di negara ini, 3.6 juta adalah wanita yang bekerja. Ketika ini dianggarkan 35 peratus daripada 1.2 juta kakitangan sektor awam adalah wanita. Jika selepas melahirkan anak mereka memilih berhenti demi memberi tumpuan kepada keluarga, negara pasti kehilangan banyak tenaga kerja yang membantu membangunkan negara. Sebagai contoh, lebih 65 peratus daripada penjawat awam di Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan adalah wanita. Selepas beberapa cadangan dikemukakan supaya kelonggaran diberi kepada pekerja wanita sektor awam yang bersalin, akhirnya kerajaan bersetuju melanjutkan cuti menjaga anak tanpa gaji untuk kakitangan wanita sektor awam daripada 90 hari sekarang kepada had maksimum lima tahun, berkuat kuasa serta-merta. Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, bertujuan memberi peluang dan masa lebih kepada kakitangan wanita untuk menjaga serta mendidik anak mereka selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan masyarakat penyayang dan meningkatkan perhatian ibu terhadap pendidikan awal kanak-kanak. Peluang itu memberi pilihan kepada ibu bekerja menjaga anak dan apabila kanak-kanak itu sudah besar, mereka boleh menyertai semula perkhidmatan untuk meneruskan kerjaya. Cuti panjang itu boleh diambil beberapa kali tetapi tidak melebihi lima tahun dan kakitangan berkenaan layak menerima kenaikan gaji secara bersyarat selepas kembali bekerja.

Cuti bersalin yang panjang memang wajar diberikan kerana lazimnya, selepas bersalin wanita bukan saja menghadapi perubahan pada diri malah juga peranan, emosi, selain memberi tumpuan kepada keadaan bayi yang masih memerlukan penjagaan rapi. Namun kita juga khuatir jika ramai pegawai wanita, terutama membabitkan kategori profesional dan iktisas, yang mana kepakaran mereka amat diperlukan mengambil cuti tanpa gaji ini. Bagi kakitangan sokongan termasuk kerani atau setiausaha, tempat mereka boleh digantikan kerana bentuk tugas mereka lebih banyak menjurus kepada kerja perkeranian. Walaupun tempat wanita profesional yang memutuskan untuk bercuti menjaga anak tanpa gaji boleh digantikan orang lain, ada kadang kala kemahiran seseorang apatah lagi mereka yang berpengalaman, mungkin boleh menjejaskan prestasi jabatan dan organisasi terbabit. Benar, mereka boleh mengambil cuti tanpa gaji itu secara berperingkat. Bagaimana pula kalau lebih lima pegawai di jabatan yang sama memohon bagi mendapatkan peluang itu, kerana cuti tanpa gaji setahun pun boleh dikira agak lama apatah lagi dua hingga lima tahun.


Berita Harian
5 September 2007