Selasa, 4 September 2007

Sidang Apec pentas Howard raih populariti


WALAUPUN suasana di Sydney yang akan menjadi tuan rumah kepada 21 pemimpin negara Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada Sabtu dan Ahad ini kembali dingin, ‘kehangatan’ tetap dirasakan, sekurang-kurangnya bagi Perdana Menteri Australia, John Howard, yang perlu memulihkan sokongan rakyat sebelum pilihan raya akhir tahun ini.

Malah, ura-ura kumpulan antipeperangan dan globalisasi mengadakan demonstrasi membantah dasar Washington yang dituruti Canberra ketika ketibaan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, petang kelmarin daripada lawatan mengejut ke Iraq, menyebabkan langkah keselamatan luar biasa diambil.

Pagar besi setinggi tiga meter dan penghalang konkrit didirikan bagi memagari sebahagian besar jalan utama di sekitar pusat komersial dan perdagangan bandar raya ini selain kawalan ketat pihak keselamatan, menjadikan Sydney yang terkenal dengan Opera House sebagai ‘kubu’ atau zoo mini.

Malah, Jumaat ini turut diisytiharkan sebagai hari kelepasan di bandar raya Sydney bagi mengurangkan aktiviti di kawasan sekitar dan mungkin untuk meredakan rasa tidak puas hati penduduk dengan kesukaran perjalanan akibat penutupan banyak jalan walaupun penganjuran forum menelan belanja AS$300 juta itu diuar-uarkan kepada mereka sebagai sesuatu yang membanggakan.

Pemerhati politik di sini menyifatkan Sidang Kemuncak Apec kali ini tidak lebih daripada usaha Howard untuk meningkatkan populariti dengan penampilan diri bersama pemimpin besar dunia seperti Bush dan Presiden China, Hu Jintao, iaitu memberi mesej bahawa Australia yang turut bertanggungjawab terhadap penubuhan Apec pada 1989 lalu adalah pemain penting dalam politik antarabangsa.

Populariti Howard dan kerajaan Pakatan pimpinannya semakin merosot ketika sokongan kepada Parti Buruh dan pemimpinnya, Kevin Rudd, melonjak ke paras 51 peratus sejak tiga bulan lalu. Malah, beberapa anggota Kabinet kerajaan sekarang dan Howard sendiri dijangka tewas di kawasan masing-masing jika pilihan raya umum itu diadakan dalam masa terdekat.

Selain untuk kepentingan politik Howard, Sidang Kemuncak Apec ini juga dilihat sebagai wadah untuk mengetengahkan kepentingan Australia sendiri, lebih-lebih lagi apabila kemarau yang berpanjangan dikhuatiri memberi kesan kepada sektor pertanian, iaitu sektor terpenting negara itu.

Justeru, tidak hairanlah apabila Australia menjadikan isu perubahan iklim dunia sebagai satu daripada agenda utama Sidang Kemuncak Apec kali ini walaupun ia bukan kalangan negara yang menandatangani Protokol Kyoto.

Pemerhati politik menyifatkan langkah yang disokong Amerika, sebuah lagi negara yang tidak memeterai perjanjian antarabangsa bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau atau karbon dioksida (CO2) itu, sebagai usaha Washington dan Canberra mengubah perbincangan dunia dalam menangani isu sejagat, apabila rundingan baru diadakan di Bali hujung tahun ini.

Apa yang jelas, kedua-dua negara itu mahu supaya usaha mengurangkan pelepasan CO2 dilakukan mengikut acuan mereka, bukannya sesuatu yang diwajibkan terhadap setiap negara seperti Protokol Kyoto yang tamat pada 2012.

Seperti biasa, soal rundingan perdagangan Pusingan Doha juga akan menjadi agenda utama sidang kemuncak itu walaupun tiada persetujuan dicapai sejak beberapa tahun lalu. Malah, mesyuarat peringkat Pegawai Kanan Apec yang berakhir kelmarin dikatakan bersetuju supaya negara anggota mengambil langkah perlu bagi memuktamadkan rundingan yang sudah lama berlarutan itu.

Turut dijadikan agenda sidang kemuncak itu ialah isu penjimatan tenaga yang menjadi semakin penting di kalangan masyarakat antarabangsa berikutan peningkatan harga minyak mentah sejak beberapa tahun lalu.

Selain ketiga-tiga agenda utama itu, Sidang Kemuncak Apec kali ini dikatakan akan bersetuju kepada cadangan pelaksanaan kod perilaku untuk perniagaan dan kerajaan bagi menangani rasuah yang membantutkan pembangunan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

Inisiatif antirasuah adalah antara hasil utama yang didambakan Howard daripada penganjuran sidang kemuncak itu. Namun, kejayaan yang dirancang tidak akan membawa erti kerana persetujuan yang dicapai Apec sebagai forum ekonomi adalah tidak mengikat. Apec tidak lebih daripada sekadar pentas untuk dilihat melakukan sesuatu yang baik.

Oleh Wan Hazmir Bakar


Berita Harian
5 September 2007