Selasa, 4 September 2007

Sastera kebangsaan pererat hubungan kaum


MEMBINA bangsa Malaysia selalunya dirujuk kepada pemikiran politik dalam negara berbilang bangsa yang baru merdeka. Pemikiran itu menunjukkan kepentingan perpaduan menjadi teras kepada pembangunan negara.

Sebenarnya pembinaan bangsa Malaysia boleh dilihat dari pelbagai perspektif, peranan dan ini termasuk peranan dimainkan oleh institusi budaya, masyarakat dan pendidikan.

Sebagai negara sedang membangun, pembinaan bangsa Malaysia adalah proses dan langkah merapatkan penduduk negara ini yang pelbagai kaum, bahasa dan budaya ke arah suatu ikatan yang kukuh dari sudut sentimen dan kenegaraannya.

Walaupun dari segi fizikalnya sukar dijelmakan, bangsa Malaysia boleh dibentuk melalui sifat, budaya dan norma hidupnya berdasarkan prinsip Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan 2020.

Justeru, bangsa Malaysia secara umum seharusnya memiliki ciri taat setia, bertolak ansur, bersatu padu, patriotik, bersopan santun, beragama dan bermoral tinggi selain bersifat adil, progresif, penyayang dengan ada persefahaman antara kaum.

Gerakan bahasa dan kebudayaan di Malaysia menjadi satu gerakan politik yang menginginkan pengisian kemerdekaan negara ditunjukkan oleh pembinaan sebuah negara bangsa. Latar belakang masyarakat daripada pelbagai kaum dan suku bangsa itu tetap memerlukan suatu bahasa penyatuan. Oleh itu, bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan memandangkan bahasa ini pernah menjadi lingua franca di rantau Asia Tenggara.

Laporan Razak 1956 yang seterusnya dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan semua sekolah menggunakan sukatan pelajaran sama tanpa mengira bahasa pengantarnya.

Prinsip itu ditegaskan semula dalam Laporan Penyemakan Rahman Talib 1960 dan juga dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Akta itu memperkukuhkan taraf bahasa kebangsaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaannya dalam semua urusan rasmi.

Berikutan tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969, kerajaan mewujudkan Rukun Negara dan melaksanakan banyak dasar untuk menyatupadukan semua kaum. Dalam Dasar Bahasa Kebangsaan, kerajaan menggariskan rancangan mengalihbahasakan sekolah yang berbahasa pengantar bahasa Inggeris ke bahasa Melayu mulai 1969 di sekolah rendah dan sampai ke peringkat universiti pada 1982.

Kini semua mata pelajaran di sekolah kebangsaan dan universiti kerajaan diajar dalam bahasa kebangsaan. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya beransur-ansur menerima penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi antara kaum.

Oleh itu, Dasar Bahasa Kebangsaan sangat bermakna dalam usaha memupuk perpaduan negara melalui bahasa Melayu.

Tetapi bagaimana pula dengan peranan sastera kebangsaan? Masyarakat kita jarang melihat kepentingan sastera kebangsaan dalam membentuk satu rupa bangsa Malaysia. Walhal sastera kebangsaan bukan lagi milik suatu etnik, terbatas pada satu wilayah atau golongan status tertentu.

Sejak dekad 1970-an lagi hingga kini, banyak kertas kerja, artikel dan tulisan membincangkan mengenai peranan sastera kebangsaan dalam membentuk perpaduan negara secara teoritis. Antara pengkaji dan sarjana sastera Melayu yang terbabit terdiri daripada kaum Melayu ialah Abu Bakar A Hamid, Mohd Taib Osman, Ismail Hussein, A M Thani, dan Rahman Shaari, ataupun bukan Melayu seperti B B Parnickel, Wong Seng Tong, Krishnan Maniam dan Jantan Umbat.

Tetapi semua kenyataan itu tidak didukung bukti sahih dan akan menimbulkan tanda soal atau kesangsian masyarakat mengenai fakta berkenaan. Kelemahan itu dapat diatasi dengan melakukan kajian terhadap khalayak sastera dalam bentuk empirikal.

Penulis juga melakukan kajian mikro mengenai peranan sastera kebangsaan dalam membentuk perpaduan negara di sekitar Lembah Klang terhadap 400 pelajar menengah atas yang mengikuti kelas aliran sastera.

Kajian ini menggunakan genre cerpen kerana cerpen adalah antara genre yang popular di kalangan khalayak pembaca meliputi pelbagai kaum.

Cerpen pilihan mengandungi 19 indeks termasuk cinta dan kahwin antara etnik, persahabatan, kejiranan, kemanusiaan, tanggungjawab bersama, pertolongan, kepercayaan kepada Tuhan, persefahaman agama, semangat nasionalisme, kesetiaan kepada tanah air, karisma kepemimpinan, nilai luhur, kemesraan, pendidikan kebangsaan, bahasa kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, kerjasama ekonomi dan pekerjaan.

Indeks ini adalah lebih banyak dan luas meliputi segenap kehidupan. Ia bukan saja sebagai unsur dalam kehidupan masyarakat Malaysia, malah merangkumi dasar utama kerajaan termasuk Rukun Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru.

Oleh itu, unsur pembinaan bangsa Malaysia dalam kajian ini adalah lebih menyeluruh. Keputusan kajian menunjukkan sikap pelajar yang menyokong fakta bahawa sastera kebangsaan dapat melahirkan masyarakat bersatu padu sebanyak 4.80 peratus.

Peratusan ini sangat kecil dan jauh daripada impian sarjana dan pengkaji sastera. Bagaimanapun, ia sangat bermakna sebagai bukti bahawa kepentingan sastera dalam membentuk perpaduan negara dan bangsa Malaysia yang mempunyai sifat kendiri yang baik.

Berdasarkan petunjuk yang ada, maka sastera kebangsaan mempunyai peranan lebih terarah ke arah mengisi wawasan negara iaitu membentuk suatu rupa bangsa Malaysia yang bercirikan budaya setempat dengan kekuatan dalamannya.

Cuma persoalan kini ialah bagaimana sastera itu ditekankan dan dieksploitasi bagi menjana fungsinya yang lebih positif dan bukan sekadar membentuk kehendak bahasa, mesej dan pemikiran.

Sastera kebangsaan hendaklah dijadikan jambatan konkrit dalam usaha membantu program pembinaan bangsa Malaysia yang lebih bersepadu, menanam jati diri dan watak bersesuaian dengan objektif negara ini dengan tema, persoalan serta unsur keteguhan minda dan sentimen kenegaraan.

Pengajaran aspek ini menyempitkan minda pelajar sastera dan pengaruhnya mendalam sehingga terbawa-bawa ke universiti. Ini ditunjukkan oleh banyaknya projek, latihan ilmiah atau tesis peringkat sarjana muda dan sarjana yang masih berlegar sekitar struktur dalaman sesebuah karya sastera berkenaan.

Pelajar tidak dapat membebaskan diri daripada kepompong pemikiran struktur sedangkan pemikiran ini tidak lagi bersesuaian dengan perkembangan era teknologi maklumat. Sains dan teknologi sudah menapak maju ke depan, tetapi dunia sastera masih berada pada takuk lama dengan pendekatan lama.

Berikutan itu, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama mengangkat kedudukan dan taraf sastera kebangsaan agar ia terus kekal sebagai warisan budaya yang bernilai.

Diharapkan sastera kebangsaan berjaya mengisi wawasan bagi membentuk satu rupa rakyat Malaysia suatu hari nanti. Pengisian itu amat memerlukan kerjasama dan pembabitan semua warga negara tanpa mengira kaum untuk menjayakannya. Lantaran sastera kebangsaan bukan milik suatu etnik, sebaliknya ia adalah milik semua bangsa Malaysia.

Oleh Chew Fong Peng

Dr Chew Fong Peng adalah tenaga akademik di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya


Berita Harian
5 September 2007