Selasa, 4 September 2007

Menjelang Bajet 2008: Insentif lumayan untuk ICT dinanti


Teknologi maklumat, komunikasi perkukuh daya saing negara menuju status maju


INDUSTRI teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang kini menyumbang tujuh peratus kepada Keluaran Negara Kasar (KNK), dijangka terus memainkan peranan penting terhadap pembangunan negara terutama menerusi pelan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam RMK-9, kerajaan melaksanakan fasa pembangunan seterusnya ke arah menjadi negara maju menjelang 2020 menerusi Misi Nasional. Antara teras utama Misi Nasional adalah penggunaan ICT bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara serta kegiatan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Kerajaan bercadang menjadikan Malaysia hab multimedia dan ICT global serta capaian maklumat yang meluas di seluruh negara. Bajet 2008 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat ini dijangka terus mengukuhkan lagi industri ICT negara.

Sehubungan itu, pemain utama dalam industri ICT negara berharap kerajaan dapat membantu mereka mengatasi cabaran yang mendatang dalam industri berkenaan, khasnya usaha menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 yang menggunakan ICT sebagai alat bagi meningkatkan kemampuan daya saing negara.

Berikutan itu, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), mencadangkan kepada kerajaan agar pengurangan cukai bukan satu-satunya insentif yang boleh diberikan kepada industri ICT tempatan dalam Bajet 2008.

Pikom dalam satu memorandum yang diserahkan kepada kerajaan untuk Bajet 2008 berkata, sebelum ini insentif cukai yang diberikan kepada industri ICT tempatan dalam bajet lalu lebih tertumpu kepada pengeluar perkakasan dan syarikat yang memperoleh status MSC Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, insentif cukai hanya bermanfaat kepada kerajaan jika mereka mencatatkan keuntungan. Untuk syarikat yang menceburi industri ICT, yang mana mereka perlu melakukan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi tinggi, ia akan mengambil masa selama tiga tahun untuk mencatatkan keuntungan.

“Syarikat ICT tempatan memerlukan bantuan dalam bentuk sokongan seperti Dana Permulaan berjumlah RM150,000 yang diuruskan Multimedia Development Corp (MDeC) kepada usahawan yang mempunyai idea untuk diterjemahkan menjadi produk dan seterusnya dikomersialkan.

“Pada masa sama Skim Geran Multimedia yang juga diuruskan MDeC dapat membantu usahawan ICT tempatan melaksanakan proses mengkomersialkan produk mereka. Skim geran berkenaan membenarkan usahawan memohon bantuan sehingga RM2.4 juta,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Industri ICT dikenal pasti sebagai industri yang dapat membantu negara meningkat lebih tinggi dalam rantaian ekonomi. Sebanyak RM13 bilion diperuntukkan kepada industri berkenaan dalam RMK-9, berbanding RM8 bilion pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8). Secara keseluruhan saiz industri ICT Malaysia adalah RM36 bilion.

Memorandum itu juga menyentuh mengenai cadangan pengasingan industri ICT agar ia diiktiraf sebagai satu industri berasingan daripada Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) kerana ketika ini industri ICT diletakkan sebagai bahagian kecil dalam industri E&E.

Menurut Pikom, masih ada kelemahan untuk segmen pemasaran dan promosi bagi pasaran eksport produk serta perkhidmatan ICT tempatan kerana untuk membolehkan industri ICT tempatan terus berkembang, ia memerlukan akses pasaran luar negara.

Peranan MSC sebagai pusat ujian pelbagai teknologi terbaru dalam industri ICT tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Walaupun ketika ini ada kegiatan berkenaan, ia tidak digunakan secara maksimum.

Pikom menjelaskan, sikap rakyat Malaysia yang tidak bangga dengan produk ICT tempatan turut menyukarkan syarikat ICT tempatan memasarkan produk mereka serta ditambah dengan langkah agensi kerajaan mengutamakan produk yang diimport berbanding keluaran negara.

“Ada beberapa langkah untuk memadankan penyelesaian ICT yang dihasilkan syarikat ICT tempatan dengan keperluan syarikat berkaitan kerajaan bagi menggunakannya, tetapi aktiviti berkenaan tidak berlaku dengan perlahan,” katanya.

Pikom berkata, bagi meningkatkan kadar penggunaan komputer peribadi dan internet serta mengurangkan jurang digital di negara ini, pihaknya mencadangkan Skim PC Gemilang diperkenalkan semula.

Skim itu diperkenalkan pada 2004 dan dibiayai sektor swasta yang membolehkan orang ramai membeli komputer peribadi pada harga berpatutan.

Katanya, bagi Skim PC Gemilang yang dicadangkan ialah membabitkan kerjasama antara kerajaan dan swasta.

“Skim PC Gemilang yang dilaksanakan pada 2004 (peringkat pertama), walaupun memperoleh kejayaan, ia menyebabkan bebanan kewangan kepada sektor swasta hingga menyebabkan kekurangan kewangan bagi melaksanakan skim ini seterusnya,” katanya.

Bagi Skim PC Gemilang peringkat kedua yang dicadangkan itu, Pikom berharap kerajaan memberikan subsidi tunai atau rebat berjumlah RM150 bagi setiap pembelian PC mengikut skim berkenaan.

Pikom juga mencadangkan subsidi 50 peratus (atau sehingga RM300) diberikan kepada pengguna yang melanggan internet talian dail dan pengguna dibenarkan untuk mengeluarkan caruman maksimum sebanyak RM1,500 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli PC baru daripada skim berkenaan.

Pikom berkata, ia mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif subsidi atau rebat sebanyak RM100 bagi setiap pembelian PC baru sehingga lima unit bagi setiap syarikat yang dikategorikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Ketua Eksekutif Scan Associates Berhad, Aminuddin Baki Esa, memohon kerajaan dalam Bajet 2008 untuk memberikan pelepasan cukai kepada pendapatan yang dijana dari luar negara terutama bagi syarikat yang memperoleh status syarikat MSC Malaysia.

Katanya, kerajaan juga diharap mengurangkan kos capaian Internet atau perkhidmatan jalur lebar sehingga ke tahap mampu dibayar semua rakyat Malaysia.

“Pelepasan cukai juga diharap akan terus diberikan kepada orang ramai, terutama bagi mereka yang hendak melanggan perkhidmatan jalur lebar dan membeli peralatan ICT,” katanya.

Pengarah Urusan Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd, Yasmin Mahmood, berkata untuk Bajet 2008, kerajaan perlu meningkatkan usaha dengan memberikan galakan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Katanya, kerajaan harus memberikan pelbagai galakan kepada syarikat ICT tempatan untuk menghasilkan komputer mampu milik yang boleh dibeli oleh semua penduduk bagi membolehkan rakyat membuat capaian ke Internet.

“Dengan ini, jurang digital antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan,” katanya.

Pengumuman 2008 ditunggu dengan penuh minat oleh semua pemain industri ICT tempatan untuk membolehkan negara terus cemerlang, gemilang dan terbilang dalam bidang ICT.


Oleh Hizral Tazzif Hisham

Berita Harian
5 September 2007