
BANGKOK: Pihak pengurusan Thai Airways menyalahkan kesilapan manusia, bukannya kemudahan di lapangan terbang antarabangsa Bangkok sebagai punca sayap sebuah pesawat Airbus A380 mengalami kerosakan di pintu masuk hangar lapangan terbang itu.
Kejadian itu menyebabkan sayap kiri pesawat itu mengalami kerosakan kecil dan terpaksa menangguhkan penerbangan demonstrasi dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi ke Chiang Mai, Sabtu lalu.
Presiden Thai Airways, Apinan Sumanaseni dalam temu bual menerusi telefon, mengakui wujudnya masalah komunikasi antara petugas di terminal ketika sebuah trak digunakan bagi menunda pesawat besar yang diletakkan di luar kawasan hangar itu.
Wujud spekulasi yang kejadian disebabkan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi tidak sesuai bagi pesawat A380 yang juga kapal terbang penumpang terbesar di dunia.
Namun, Apinan segera menyangkal dakwaan itu.
Pihak Thai Airways memesan enam pesawat berkenaan yang dijadual diterima pada 2010.
“Hangar itu sememangnya dibina sesuai dengan pesawat A380. Sehubungan itu kita tidak perlu mengubahsuai kemudahan berkenaan tetapi melatih kakitangan agar lebih berhati-hati ketika mengendalikan pesawat jenis itu,” katanya.
Sementara itu, pakar penerbangan bebas di Singapura, Richard Pinkham menyifatkan kejadian sedemikian sememangnya lazim di mana-mana lapangan terbang.
“Kawasan landasan itu boleh menjadi tempat paling bahaya kerana di situlah pesawat boleh bertembung dengan pesawat lain atau terbabas merempuh kemudahan yang ada di sekitarnya,” katanya. – AP
Gambar dipetik dari AFP