Selasa, 4 September 2007

Pelajar di China utamakan internet - Majoriti pilih duduk di rumah pada musim panas


BEIJING: Majoriti kanak-kanak sekolah di China memilih untuk tinggal di rumah dan melayari internet pada cuti sekolah musim panas daripada bermain di luar, lapor media semalam, memetik hasil satu tinjauan.

Tinjauan ke atas 103 kanak-kanak berusia empat hingga 14 tahun mendapati cuma empat peratus memilih melakukan aktiviti luar rumah ketika cuti sekolah dan hanya sembilan peratus mengambil bahagian dalam perkhemahan musim panas.

Sekolah bermula kelmarin di seluruh China. “Lima tahun lalu, ketika internet masih belum popular di kalangan pelajar, mereka suka keluar ketika cuti musim panas.

“Kini, mereka lebih suka duduk dalam rumah dan bermain permainan internet,” seorang pegawai perubatan dipetik sebagai berkata oleh China Daily.

Ia dianggap agak mengejutkan kerana pihak sekolah umumnya tidak lagi memberi kerja sekolah tambahan kepada pelajar pada waktu cuti panjang.

Kira-kira 13 peratus daripada 20 juta pengguna internet China berusia bawah 18 tahun dikelaskan sebagai penagih, lapor media.

Di Shanghai bulan lalu, pihak berkuasa melancarkan kem musim panas untuk 40 pelajar untuk cuba memulihkan mereka dari ketagihan internet.

China turut bimbang dengan peningkatan kadar obesiti di kalangan kanak-kanaknya, berikutan gaya hidup Barat yang tidak sihat dan baru-baru ini mengarahkan sekolah mewajibkan pelajaran menari dalam usaha mengurangkan berat badan.

Sementara itu, Jonathan Schwartz, Ketua Pegawai Eksekutif firma gergasi internet, Sun Microsystems, menjangka India dan China menerajui momentum penggunaan online dalam tempoh lima tahun lagi. – Agensi

“Momentum internet beralih dari negara maju kepada negara padat penduduk seperti China, India dan Indonesia". Selain itu, kebanyakan pengguna internet ketika ini ialah remaja, katanya yang dipetik akhbar Times of India. – Agensi