KUALA LUMPUR: Usaha mengesan pembunuh kanak-kanak Nurin Jazlin Jazimin ditingkatkan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bagi meningkatkan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam siasatan kes pembunuhan kejam itu.Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata khidmat agensi penyiasatan dari Amerika Syarikat itu turut digunakan bagi mengenal pasti fotofit dalam rakaman CCTV tersebut.
"Dua anggota FBI akan membantu PDRM terutama daripada segi teknikal dalam siasatan kes tersebut. "Seorang daripada mereka telahpun berada di Kedutaan Amerika Syarikat di sini manakala seorang lagi akan diterbangkan ke Malaysia dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kuih Raya PDRM 2007 di Bukit Aman di sini hari ini.
Katanya fotofit yang diperolehi dari CCTV itu telah diserahkan kepada anggota FBI yang telahpun berada di sini. Musa bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada fotofit yang terdapat di dalam CCTV tersebut seorang lelaki atau perempuan.
Beliau berkata selain itu PDRM juga akan menghantar CCTV tersebut ke FBI di Amerika Syarikat bagi mendapatkan gambar yang lebih jelas daripada rakaman tersebut. Katanya seorang pegawai akan dihantar ke sana bagi tujuan tersebut dalam masa terdekat ini.
"Rakaman gambar yang kita perolehi dari CCTV itu kurang jelas, jadi kita akan menggunakan sepenuhnya teknologi yang ada di sana untuk mendapatkan imej yang lebih jelas bagi memudahkan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat," katanya.
Musa yang memberi gambaran positif untuk menahan suspek dalam masa terdekat ini berharap media tidak akan mengeluarkan sebarang spekulasi tentang kes tersebut. "Very soon (tidak lama lagi)... kena tunggulah," katanya dengan tegas sambil mengingatkan media yang memberikan spekulasi berhubung kes itu boleh didakwa di mahkamah.
Selain itu, katanya, beliau tidak dapat memberitahu perkembangan kes tersebut setiap hari kerana ia akan menjejaskan siasatan. "Kita harap media faham dan akan memberikan kerjasama," katanya.
Bernama