LONDON: Sebuah makmal di sini menemui virus Lidah Biru dalam ternakan lembu di timur England, kata Kementerian Pertanian kelmarin, kes pertama di Britain dan halangan terbaru bagi industri penternakannya.
Penternak Britain sebelum ini terjejas teruk oleh penemuan penyakit kaki dan mulut serius di beberapa kawasan sejak dua bulan lalu.
"Ujian makmal mengesan kehadiran Lidah Biru dalam seekor lembu di kawasan berhampiran Ipswich, Suffolk," kata Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (Defra) dalam satu kenyataan.
"Kawasan di mana Lidah Biru dijumpai kini dikawal rapi. Seekor haiwan yang dijangkiti akan dimusnahkan dan siasatan epidemiologi dijalankan untuk menilai situasi itu."
Lidah Biru menyebabkan demam dan ulser mulut dan dalam sesetengah kes menyebabkan lidah haiwan dijangkiti bertukar biru. Ia disebarkan oleh serangga seperti agas dan amat berbahaya kepada biri-biri dan lembu walaupun tidak menjangkiti manusia.
Lidah Biru biasanya dijumpai di negara Mediterranean seperti Itali, Sepanyol dan Afrika Utara tetapi merebak dengan meluas tahun ini menyeberangi lebih lima negara Kesatuan Eropah lebih utara - Belgium, Perancis, Jerman, Luxembourg dan the Netherlands. - Reuters