Ahad, 23 September 2007

Kabel dasar laut atasi gangguan


LANGKAWI: Masalah bekalan elektrik yang kerap terputus di Pulau Tuba, di sini, akan diatasi dengan pemasangan kabel elektrik berkuasa tinggi di dasar laut tidak lama lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Tenaga, Penerangan, ICT dan Alam Sekitar negeri, Datuk Nawawi Ahmad.

Katanya, kerajaan negeri memberi jaminan masalah gangguan elektrik di pulau yang mempunyai penduduk kira-kira 4,000 orang itu akan diatasi secepat mungkin menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Langkah segera akan diambil termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bagi membolehkan projek pemasangan kabel dasar laut dilaksanakan, sekali gus menyelesaikan masalah penduduk.

"Ketika ini bekalan elektrik di pulau itu masih menggunakan generator berkeupayaan tinggi yang sering mengalami kerosakan selain terpaksa menanggung kos diesel dianggarkan kira-kira RM1 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat kelulusan projek kecil berjumlah RM150,000 kepada 53 ketua cawangan UMNO dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, kelmarin.

Nawawi berkata, penduduk dan pengusaha chalet di pulau itu tidak perlu cemas dengan gangguan bekalan elektrik yang dikatakan kerap berlaku ketika ini kerana usaha mengatasinya sedangkan dijalankan.

"Lokasi Pulau Tuba kira-kira empat kilometer dari pekan Kuah menyebabkan usaha memasang kabel dasar laut yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit perlu perbincangan teliti antara kerajaan negeri dan kementerian terbabit," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini Pulau Tuba dengan keluasan 20 kilometer persegi turut memiliki kemudahan asas yang mencukupi seperti jeti konkrit, telefon, air dari sumber semula jadi, masjid, sekolah dan balai polis.

Berita Harian 24 September 2007