Ahad, 23 September 2007

Malaysia bukan boneka imperalisme Amerika


Persidangan Ketua-ketua Perisikan Pertahanan Rantau Asia Pasifik (APICC) yang mengadakan mesyuarat pertamanya di sini baru-baru ini tidak sepatutnya dilihat sebagai medan kepada sebarang ideologi baru.

Juga ia bukan sebagai alat oleh kuasa-kuasa besar dunia untuk melebarkan pengaruh mereka di rantau ini.

Ketua pengarah Perisikan Pertahanan Mejar Jeneral Datuk Mohd Salleh Ismail berkata, sebaliknya, persidangan itu memberikan landasan kepada Malaysia dan negara lain di rantau ini untuk menyuarakan terus kepada Amerika Syarikat dan kuasa besar lain tentang ancaman keselamatan dan keutamaan mereka.

Ia juga untuk menjelaskan dasar dan strategi yang telah diambil bagi memenuhi kepentingan nasional mereka.

Dalam konteks itu, beliau menegaskan bahawa Washington hanya dianggap sebagai rakan dialog, bukannya kuasa dominan dan apa juga persetujuan yang dicapai pada persidangan empat hari itu (4 hingga 7 Sept) memperlihatkan pandangan bersama semua negara peserta dan tidak timbul keputusan mengikut telunjuk AS.

"Perlu diketengahkan bahawa berbanding dengan negara-negara serantau lain, pengaruh politik dan strategik AS ke atas Malaysia adalah yang paling minimum," kata Mohd Salleh dalam satu kenyataan sebagai mengulas komen-komen yang mengaitkan persidangan itu dengan kepentingan AS.

"Menurut mereka, menerusi APICC, Malaysia telah memberi peluang kepada AS untuk melebarkan pengaruhnya di rantau ini. Pandangan seperti itu memberikan kesan buruk. Dalam erti kata lain, Malaysia seolah-olah meminjam slogan yang digunakan dalam Perang Dingin iaitu 'boneka imperialisme AS'.

"Sepanjang persidangan itu, APICC tidak mendesak peserta persidangan mengeluarkan sebarang deklarasi, tetapi sebaliknya lebih berfungsi sebagai medan perbincangan yang realisitik untuk menghadapi cabaran keselamatan di abad ke-21," katanya.

Mohd Salleh berkata persidangan itu telah menghimpunkan pegawai perisikan profesional dari rantau Asia Pasifik untuk bertukar-tukar pandangan serta berkongsi kepakaran dan sumber bagi menggalakkan keselamatan di rantau ini dengan lebih efektif.

"Objektif ini adalah relevan dengan transisi semasa Angkatan Tentera Malaysia untuk memperkukuhkan kemampuan bagi menghadapi perubahan kompleks dalam aspek keselamatan dan persekitaran strategik serta menyokong penglibatan negara dengan lebih luas dalam hal-ehwal perhubungan serantau dan antarabangsa."

Beliau berkata bagi membolehkan Malaysia memainkan peranannya dengan lebih efektif, ia perlu meningkatkan perhubungan dengan negara-negara lain, terutamanya dengan kuasa-kuasa besar.

"Ia juga perlu membangunkan keupayaannya dalam peperangan elektronik dan siber, menangani ancaman maritim dan mampu menyediakan amaran awal kepada agensi keselamatan sama ada dalam negara mahupun serantau sekiranya berlaku ancaman keselamatan."

Beliau berkata walaupun AS mempunyai kelebihan daripada segi aset bagi menyokong peranannya dalam hal-ehwal keselamatan serantau, namun dasar dan strategi Washington turut mengambil kira keutamaan dan kepentingan negara-negara serantau.

Dan AS juga telah cuba sedaya-upaya memastikan sebarang usaha kerjasama perisikannya dengan negara terbabit tidak mencabuli kedaulatan mereka.

"AS perlukan sokongan dan kerjasama negara-negara lain bagi mempertahankan kepentingannya di rantau ini. Sokongan dan kerjasama tersebut banyak bergantung kepada kesediaan Washington untuk mengamalkan prinsip timbal balik dan saling menghormati bila bekerjasama dengan negara serantau," kata Mohd Salleh.

Beliau menegaskan malahan kuasa besar serantau seperti Russia, China dan India juga secara tidak langsung telah menerima legitimasi kehadiran AS di rantau ini dan memperakui bahawa peranan AS dalam hal-ehwal serantau kini lebih bersifat konstruktif dan tidak menganggu-gugat kestabilan.

"Kita perlu memperakui bahawa AS memiliki kepentingan ekonomi dan strategik yang besar di Asia Timur dan Asia Tenggara. Bagi pihak AS, keselamatan maritim adalah penting kepada kepentingan ekonominya dan juga keseimbangan kuasa serantau yang dilihat bakal menjamin kepentingan strategiknya," katanya.

Mohd Salleh juga berkata antara perkembangan utama dalam persekitaran strategik pasca Perang Dingin ialah perubahan dalam hubungan Asean-AS, dan menurutnya perkara itu terbukti daripada keupayaan perkumpulan itu dalam mempengaruhi strategi asas AS di rantau Asia Pasifik.

"Tidak dapat dinafikan bahawa AS sehingga kini masih menganggap mereka adalah kuasa dominan dalam menguruskan hal-ehwal keselamatan di rantau ini.

"Namun Washington menyedari bahawa Asean hanya menganggap AS sebagai rakan kongsi dan persetujuan Asean untuk bekerjasama akan berterusan selagi ia berpegang teguh kepada prinsip persamaan," katanya.

Bernama