Ahad, 23 September 2007

Pencemaran Di Sungai Kinabatangan Perlu Dihentikan


"Dengan rezeki daripada sungai inilah, saya menyara hidup dan membesarkan anak-anak tetapi kini semuanya telah berubah, hasil tangkapan udang dan ikan semakin berkurangan," begitulah keluhan Singgong Musa, seorang nelayan yang terjejas mata pencariannya akibat pencemaran di Sungai Kinabatangan.

Sungai Kinabatangan, sepanjang 560km, merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia dan terpenting di Sabah kerana peranannya sebagai kawasan tadahan air dan satu kaedah perhubungan penting bagi penduduk di beberapa kampung di daerah Kinabatangan.

Sungai itu merupakan aset penting bagi aktiviti pelancongan, yang seterusnya menjana ekonomi penduduk setempat.

Namun kini, gara-gara mengejar keuntungan khazanah alam paling berharga ini menjadi mangsa. Aktiviti perladangan kelapa sawit secara besar-besaran di kedua-dua belah tebing menyumbangkan kepada angkara ini.


MENJEJASKAN MATA PENCARIAN NELAYAN

Singgong, 70, penduduk di Kampung Sukau yang mencari rezeki di sungai itu sejak zaman muda lagi merupakan antara mereka yang merasai kesan pencemaran itu.

"Hasil tangkapan semakin berkurangan, kalau dulu kami mampu menangkap 15 hingga 20 kg udang dan ikan sehari dan pendapatan diperoleh lebih RM1,000 setiap bulan tetapi kini hasil tangkapan hanya 5 kg sahaja.

"Dengan hasil tangkapan itu, sudah tentu tidak cukup untuk menampung kos membeli minyak enjin bot dan membaiki bubu yang rosak," kata Singgong dalam nada kecewa kepada Bernama.

Semua nelayan di Kampung Sukau mempraktikkan penggunaan bubu yang diperbuat daripada dawai dan tidak lagi menggunakan bubu yang diperbuat daripada buluh untuk mengurangkan aktiviti penebangan hutan di kampung mereka.

Ini menunjukkan penduduk kampung ini sedar mengenai kepentingan pemuliharaan hutan dan alam sekitar, tetapi tidak bagi pihak industri perladangan kelapa sawit yang melupuskan sisa kilang ke Sungai Kinabatangan.


AKTIVITI PERLADANGAN KELAPA SAWIT

Daerah Kinabatangan mewakili keluasan 660,500 hektar dan lebih separuh daripadanya adalah ladang kelapa sawit iaitu seluas 345,000 hektar dengan hasil kira-kira RM2 bilion setahun.

Terdapat 32 kilang kelapa sawit beroperasi di daerah itu dan semua kilang ini melupuskan sisa kilang ke Sungai Kinabatangan selepas dirawat seperti yang disyaratkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Malangnya ada antara kilang-kilang ini termasuk milik persendirian yang merawat sisa kilang tetapi tidak mengikut piawaian yang ditetapkan. Keadaan diburukkan lagi apabila ada syarikat perladangan ini dan pemilik ladang persendirian yang menanam pokok kelapa sawit terlalu dekat dengan tebing sungai tanpa mengendahkan peraturan yang melarang perbuatan seperti itu di tanah rizab sungai.

Ini menyebabkan sisa baja kimia mengalir ke Sungai Kinabatangan ketika hujan dan banjir besar berlaku.

Pengurus Projek Koridor Kehidupan Kinabatangan WWF-Malaysia Darrel Webber berkata terdapat 30 kilang kelapa sawit beroperasi di sekitar kawasan tadahan di Kinabatangan yang mewakili 23 peratus daripada kawasan tadahan air di Sabah serta menjadi pembekal utama air ke Sandakan.

KUALITI AIR TERCEMAR

Beliau berkata operasi kilang-kilang ini mendatangkan kesan kepada kualiti air di Sungai Kinabatangan dan ditambah pula pencemaran yang disebabkan oleh baja kimia, racun serangga dan racun rumpai daripada ladang kelapa sawit.

Ini bukan sahaja mendatangkan kesan kepada Sungai Kinabatangan malah kepada laut kerana air sungai itu mengalir keluar ke Laut Sulu, yang menempatkan Pusat Global Biodiversiti Marin dan kawasan Segi tiga Terumbu Karang, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dianggarkan 237,728 tan baja kimia digunakan setiap tahun di kawasan tanaman kelapa sawit seluas 190,000 hektar di sepanjang sungai ini. "Tidak semua baja ini diserap oleh pokok kelapa sawit. Bayangkan jika 10 peratus baja ini tidak diserap yang bermakna 23,773 tan sisa baja mengalir ke Sungai Kinabatangan setiap tahun," tambahnya.

Darrel berkata atas sebab itulah pihak peladang kelapa sawit perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan berkaitan pelupusan sisa kilang kelapa sawit dan tidak menanam pokok kelapa sawit hingga ke kawasan rizab sungai.

Kenyataan Darrel dipersetujui Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah Datuk Sue Jayasuria yang mahu pihak industri kelapa sawit segera menghentikan perbuatan mencemarkan Sungai Kinabatangan.

Kesan pencemaran kini sudah menjejaskan kehidupan penduduk kampung yang banyak bergantung kepada Sungai Kinabatangan dalam mencari rezeki, sumber makanan dan dalam menjalankan aktiviti kehidupan harian mereka.

Beliau juga mahu jabatan dan agensi penguat kuasa yang berkaitan meningkatkan usaha untuk menangani pencemaran di sungai itu sebelum masalah pencemaran bertambah teruk.


MENTERI TURUN PADANG

Dalam pada itu, pencemaran di Sungai Kinabatangan ini mendapat perhatian Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun yang turun padang untuk meninjau sendiri keadaan pada 27 dan 28 Ogos lepas.

Hasil lawatan itu, Masidi mengarahkan semua pemilik kilang kelapa sawit di Kinabatangan segera mencari kaedah lain untuk menghentikan pelupusan sisa kilang kelapa sawit di sungai.

Masidi berkata beliau faham pelaksanaan kaedah lain sebagai ganti memerlukan kos yang tinggi dan mengambil masa, tetapi tetap mahu semua kilang terbabit segera mengambil inisiatif melaksanakannya dan tidak terlalu memikirkan keuntungan.

Masidi turut mengulangi ketegasan kerajaan negeri untuk menangani isu pencemaran yang dilakukan oleh pengilang dan ladang kelapa sawit terhadap Sungai Kinabatangan dan berjanji akan mengadakan lawatan mengejut.

PUNCA PENCEMARAN LAIN

Dalam pada itu, pencemaran di Sungai Kinabatangan tidak hanya disumbangkan oleh aktiviti perladangan, tindakan pengambilan pasir secara haram juga menjejaskan ekosistem sungai ini.

Pada masa ini, masih berlaku kegiatan pengambilan pasir itu dipercayai dilakukan di hulu Sungai Kinabatangan dan hanya disedari apabila penduduk Kampung Sukau melihat sebuah tongkang mengangkut muatan pasir melalui perkampungan mereka sejak beberapa bulan lepas.

Tahun lepas, kegiatan yang sama turut berlaku tetapi dihentikan selepas kegiatan itu dibongkar oleh media dan mendapat perhatian kerajaan negeri. Kegiatan pengambilan pasir di sungai itu mengganggu ekosistem sungai Kinabatangan yang menyebabkan warna air semakin keruh dan turut menyebabkan runtuhan tebing sungai yang merosakkan bubu nelayan.

Biarpun begitu, penguatkuasaan oleh jabatan dan agensi yang dipertanggungjawabkan perlu dipertingkatkan untuk menangani pencemaran di sungai ini.

Masalah kekurangan kakitangan dan logistik sering menjadi alasan dalam tugas penguatkuasaan, selain masalah peraturan yang tidak jelas daripada segi peranan sesebuah agensi atau jabatan dalam menguatkuasakan undang-undang.

Sudah sampai masanya penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan dalam menangani isu pencemaran sebelum ekosistem Sungai Kinabatangan terjejas teruk dan begitu juga kehidupan penduduk kampung yang tinggal di sekitarnya.

Oleh Haslin Gaffor
Bernama