PETISYEN di London, bantahan di Cologne, kes mahkamah di Marseille dan pertempuran ganas di Berlin.
Begitulah reaksi masyarakat Eropah seperti dilaporkan oleh Reuters baru-baru ini apabila umat Islam mahu mendirikan masjid besar di bandar raya mereka.
Senario bantahan terhadap simbol Islam itu tidak terhad di Eropah. Di Amerika Syarikat pembinaan sebuah sekolah Arab di New York turut mencetuskan bantahan. Pelbagai alasan diberi mengapa masjid atau ‘madrasah’ tidak boleh dibina. Antaranya isu perancangan bandar dan keselamatan.
Sebagai contoh pengkritik Masjid London memberi hujah cadangan masjid mega yang boleh memuatkan 12,000 jemaah di bandar raya mereka itu akan mengubah kawasan sekeliling kepada 'zon satu agama' kerana penganut agama lain akan berpindah.
Di Cologne, masalah pencemaran pemandangan dibangkitkan. Bandar raya yang menempatkan Cologne Cathedral, gereja reka bentuk Gothic yang menakjubkan, dianggap terlalu kecil bagi satu lagi mercu tanda, terutama masjid yang besar.
Di Perancis, isu subsidi tanah murah kerajaan menjadi tumpuan. Parti politik berhaluan kanan Pergerakan Republikan Kebangsaan (MNR) sudah menang dua kes mahkamah tahun ini membantah pemberian subsidi untuk pembinaan masjid di Montreuil (di luar Paris) dan Marseille.
Itali pula cenderung melihat isu masjid sebagai isu keselamatan, khususnya potensinya diguna sebagai sarang pengganas. Parti Liga Utara di negara itu mahu semua masjid di Itali ditutup untuk pemeriksaan keselamatan.
Di New York, penentang Khalil Gibran International Academy (KGIA) yang dibuka awal bulan ini, dianggap berpotensi mengancam dasar sekular di sekolah. Seorang penentangnya berhujah, oleh kerana sekolah itu menggunakan bahasa Arab, ia sekali gus bermakna Islam akan diterapkan kepada pelajarnya.
Apa yang nyata, alasan bagi menentang pembinaan masjid atau sekolah Arab ini tidaklah diasaskan kepada hujah menolak agama Islam. Masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat masih mahu menggambarkan diri mereka sebagai tetap berpegang kepada prinsip kebebasan beragama. Apa yang mereka lakukan hanyalah untuk mempertahankan nilai dan dasar am.
Apa sekali pun, tertanya pula apakah mereka akan bersikap konsisten dalam memperjuangkan ‘nilai dan dasar am’ ini jika rumah ibadat besar agama lain – selain Islam – mahu dibina di bandar raya mereka.
Sebagai contoh di London. Apakah hujah 'zon satu agama' tidak boleh digunakan juga kepada pembinaan gereja besar, atau rumah ibadat besar agama lain? Bukankah pembinaan gereja besar, misalnya akan mendorong masyarakat agama lain berpindah.
Penduduk Cologne pula mahu mempertahankan panorama bandar raya itu. Apakah jika dicadangkan masjid berbentuk Gothic penduduk bandar raya Jerman dapat menerimanya?
Di Perancis, MNR perlu juga membantah jika pembinaan rumah ibadat agama lain mendapat subsidi tanah kerajaan. Jika tidak parti itu akan dilihat sebagai tidak konsisten dalam perjuangannya.
Liga Utara di Itali juga perlu mencadangkan rumah ibadat agama lain ditutup sementara pemeriksaan keselamatan dijalankan kerana jika masjid boleh disalah guna sebagai sarang pengganas begitu juga rumah ibadat agama lain.
Juga, jika penentang KGIA di New York mahu konsisten dengan perjuangannya mempertahankan sekularisme di sekolah, pihaknya juga perlu menentang sekolah aliran bahasa Inggeris di Amerika Syarikat kerana dalam bahasa Inggeris, banyak juga perkataan bahasa Arab digunakan. Bukankah ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada penerapan nilai Islam di sekolah.
Namun sukar bagi mereka ini untuk bersikap konsisten kerana perjuangan mereka sebenarnya bertitik tolak kepada fobia terhadap agama Islam, walaupun penentang ini tidak menyatakannya secara nyata.
Islam dianggap membawa nilai asing bagi mereka dan boleh menggugat cara hidup bebas di Barat. Namun tanpa disedari mereka, bantahan dan kekangan yang mahu dikenakan terhadap agama Islam, sebenarnya lambat laun akan menggugat hidup bebas itu sendiri.
Jika Islam mampu dikekang, tidak ada apa yang boleh menghalang kumpulan berkenaan mensasarkan agama lain selepas ini. Kesudahannya Eropah dan Amerika akan dikuasai satu agama atau tiada agama dan ketika itu hilanglah prinsip kebebasan beragama di Barat.
Ia tidak berhenti di situ. Selepas kebebasan beragama lenyap, penghakisan kebebasan asas lain pula akan menyusul, semuanya semata-mata kerana mahu memenuhi desakan sempit golongan yang bersuara lantang.
Akhirnya, demokrasi berkubur dan Barat kembali kepada zaman kegelapan.
INTI PATI:
> Di Cologne, masalah pencemaran pemandangan dibangkitkan bagi menghalang pembinaan masjid yang besar.
> Di Perancis, isu subsidi tanah murah kerajaan jadi tumpuan bagi membantah pembinaan masjid di di Montreuil dan Marseille.
> Di Itali isu keselamatan dibangkitkan dengan menganggap masjid berpotensi digunakan sebagai sarang pengganas.
> Di New York, penentang menganggap penggunaan bahasa Arab di Khalil Gibran International Academy (KGIA) yang dibuka awal bulan ini akan menerapkan nilai Islam dan mengancam dasar sekular sekolah.
Oleh Khaidir Majid
Penulis adalah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian
Berita Harian 21 September 2007