Jumaat, 21 September 2007

Meringankan beban subsidi kerajaan


Tanggungan berterusan untuk sektor tenaga, industri patut dikaji semula


ISU subsidi timbul lagi. Oleh kerana hampir 85 peratus daripada kos subsidi tahunan berjumlah RM14.8 bilion di negara ini disalurkan kepada produk petroleum, maka setiap kali harga minyak mentah di pasaran antarabangsa naik, jeritan mengenai beban subsidi kedengaran.

Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana harga runcit produk petroleum seperti petrol, diesel dan gas di Malaysia ditentukan kerajaan pada kadar tetap yang lazimnya jauh lebih rendah daripada harga pasaran sebenar. Perbezaan antara harga tetap dan harga pasaran sebenar ditampung kerajaan sebagai subsidi.

Harga runcit petroleum masa kini selepas kenaikan pada 28 Februari tahun lalu ialah RM1.92 seliter untuk petrol, RM1.58 seliter bagi diesel dan RM1.75 bagi setiap kilogram gas masak atau LPG.

Perlu diingat bahawa kadar itu ditetapkan ketika harga minyak mentah dunia berlegar di sekitar AS$62 (RM217) setong. Kini harga minyak mentah berlegar pada paras sekitar AS$82 (RM287) setong. Apakah kerajaan akan mengkaji semula harga runcit produk petroleum di pasaran tempatan?

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Harga Minyak memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berbuat demikian tahun ini sebagai menghormati komitmen yang dibuat sebelum ini bahawa harga runcit minyak tidak akan naik tahun lalu dan tahun ini.

Akibat tindakan itu, tahun lalu saja kerajaan 'kerugian' kira-kira RM12.48 bilion dalam bentuk subsidi dan pelupusan cukai. Angka itu dijangka meningkat kepada RM14 bilion tahun ini.

Mungkin ramai pihak tidak sedar bahawa di samping kerajaan, syarikat minyak milik negara, Petronas, juga terbabit dalam penyediaan subsidi secara terus dengan menjual gas kepada sektor tenaga dan industri pada harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Sebagai contoh sejak 1997 syarikat berkenaan membekalkan gas kepada sektor industri pada kadar RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) walaupun harga sebenar produk itu adalah kira-kira RM40 bagi setiap mmBtu.

Oleh kerana gas keluaran Petronas tidak mencukupi untuk menampung permintaan, syarikat itu terpaksa menjual pada harga subsidi gas yang diimport dari Indonesia dan Thailand.

Industri yang mendapat faedah daripada sistem ini ialah syarikat penjana tenaga seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan beberapa industri lain.

Tujuan asal sistem ini adalah untuk membantu mengurangkan kos pengeluaran tenaga bagi mengelakkan pengguna daripada terpaksa membayar kadar yang tinggi untuk bekalan tenaga mereka.

Malangnya, seperti dijelaskan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, ada syarikat terlalu bergantung kepada subsidi yang diberikan itu untuk mencapai sasaran kewangan mereka.

Apa pun yang menjadi masalah lebih besar bukan cara syarikat yang mendapat faedah itu menggunakan gas subsidi masing-masing, tetapi kemampuan Petronas dan kerajaan sendiri untuk terus menampung kos subsidi yang terus meningkat.

Sampai bila kerajaan atau Petronas dapat bertahan? Hassan berkata, Petronas tidak boleh bertahan lagi. Sebab itu pihaknya memohon kepada kerajaan untuk menaikkan harga gas.

Beliau menjelaskan untuk tahun ini saja syarikat itu dijangka menanggung kira-kira RM15 bilion untuk subsidi gas. Jumlah yang disediakan dalam tempoh 10 tahun lalu hampir mencecah RM50 bilion, dianggap pembaziran terlalu besar, lebih-lebih lagi jika ia dicurahkan kepada syarikat yang sudah pun kaya raya.

Dari segi ekonomi juga subsidi berterusan begini tidak akan memberi faedah kepada negara kerana di samping menyebabkan 'distortion' atau herotan dalam ekonomi, ia juga menumpulkan daya saing syarikat penerima subsidi kerana kos pengeluaran yang mereka ambil kira bukan kos sebenar, tetapi kos olok-olok dalam bentuk subsidi.

Cadangan Petronas ini dan ulasan balas daripada agensi kerajaan terbabit dijangka dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai perkara itu dijadualkan Isnin ini yang dijangka dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Apa saja keputusan yang akan diambil dalam mesyuarat berkenaan, setiap pihak harus faham bahawa kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan dalam menghadapi kenaikan harga petroleum dan seterusnya isu subsidi untuk rakyat dalam tempoh jangka panjang.

Ia seolah-olah satu dilema – diteruskan dalam bentuk sekarang terlalu membebankan dan merugikan negara dari segi jangka panjang, dikurangkan akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Tetapi bak kata Najib, apa saja keputusan yang kerajaan ambil selama ini, ia sentiasa mengambil kira kepentingan pengguna. Sebagai contoh, untuk melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang melampau, kerajaan menyediakan subsidi dan menetapkan harga barang tertentu.

Sebelum ini pun, kerajaan banyak kali menjelaskan bahawa sebagai dasar ia tidak bercadang untuk menghapuskan sama sekali sistem subsidi. Apa yang dibuat selama ini hanyalah mengurangkan kadar subsidi atau memperbaiki mekanisme penyampaiannya supaya benar-benar menepati sasaran.

Khusus untuk penghapusan atau pengurangan subsidi gas yang dicadangkan Petronas, satu jalan keluar yang boleh ditimbangkan ialah dengan membenarkan penghapusan subsidi buat sektor tenaga dan industri, tetapi mengekalkan subsidi gas untuk kegunaan memasak dan pengangkutan.

Ini bermakna bahawa syarikat penjana tenaga seperti TNB, IPP dan lain-lain terpaksa mendapatkan bekalan gas pada harga sebenar sementara teksi yang menggunakan NGV dan suri rumah yang menggunakan LPG akan terus berpeluang menikmati kemudahan sekarang.

Dengan itu matlamat asal subsidi, iaitu untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan layak akan tercapai, manakala syarikat yang sudah kaya raya tidak akan berpeluang menyalahgunakan subsidi kerajaan.

Pada masa sama, langkah tertentu hendaklah diambil bagi mengekang mereka daripada cuba memanjangkan kos gas yang lebih tinggi itu kepada pengguna.

TNB sebagai satu-satunya syarikat yang menikmati monopoli dalam pengagihan tenaga di negara itu perlu lebih tegas dengan IPP untuk sama-sama menyerap kenaikan harga gas yang akan dihadapi nanti.

Dengan itu, rakyat sebagai pengguna tidak akan marah dan kerajaan sebagai pembekal subsidi tidak akan terus mengalami kerugian tanpa sebab.

Oleh Abdul Rahman Sulaiman

Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara

Berita Harian 21 September 2007