
“KITA merakamkan tragedi, detik manis, saat gembira, kesedihan negara. Sepanjang tempoh masa itu, kita menerusi perubahan demi perubahan, menyesuaikan diri dengan perubahan masa, cuba sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik kepada pembaca dan Malaysia.
“Kita memainkan peranan kita dalam proses pembangunan negara dan seperti rakyat Malaysia lain, kita bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan, negara merdeka tanah tumpah darah kita.” Itu antara ungkapan tulisan Timbalan Pengerusi Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan tidak berapa lama dulu.
Petikan di atas jelas membuktikan akhbar adalah anggota masyarakat, rakyat, negara dan bangsa. Akhbar adalah satu bahagian daripada masyarakat dan mencerminkan watak masyarakat. Perubahan masa membawa kepada peranan dan tanggungjawab wartawan dan akhbar yang berbeza.
Lantas, akhbar perlu bijak menyesuaikan diri dan harus mengetahui bagaimana berfungsi dalam satu suasana yang baru dan berkhidmat secara berkesan untuk pembaca mereka. Akhbar turut berperanan penting dalam pembangunan negara dan berasa amat bangga di atas sumbangan diberikan.
Hubungan simbiotik antara media dan kerajaan sudah terjalin iaitu masing-masing mempunyai peranan berbeza, tetapi objektif sama iaitu untuk terus membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis pelancaran sebuah akhbar tabloid pada 2004 pernah menyatakan media massa tidak kira media cetak atau elektronik, adalah satu medium penting dalam membangunkan sebuah negara.
Ia bukan sekadar sumber maklumat yang amat penting, tetapi menjadi penghubung antara pemerintah dengan rakyat. Kini, media dilihat berperanan penting dalam mengimbangi tanggungjawab terhadap negara, terutama memenuhi tuntutan dalam era teknologi maklumat.
Dalam fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara, akhbar kini mempunyai peranan yang fundamental terhadap masyarakatnya dan lebih daripada masa lampau, akhbar kini harus berusaha mencapai satu tahap liputan yang perseptif, komprehensif dan sofistikated terhadap Malaysia demi menghadapi cabaran perubahan masa hadapan.
Di samping itu, media juga merakamkan peristiwa kehidupan sama ada ia berbentuk tragedi, detik manis, saat gembira mahupun kesedihan negara. Apa bentuk pun, ia berperanan menyentuh rasa dan sanubari pembaca.
Memandangkan negara kini melalui perubahan besar yang mempengaruhi kehidupan rakyat, negara memerlukan wartawan berkemampuan melaporkan perubahan sosial, kebudayaan, ekonomi, pendidikan, polisi dan dasar kerajaan, pasaran saham serta hiburan, secekap ia melaporkan berita berkaitan isu semasa, politik, jenayah yang meningkat dan kejayaan negara di medan sukan.
Perdana Menteri dalam ucapan pada acara kemuncak Perarakan Raksasa Merdeka di Stadium Merdeka sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Kemerdekaan negara baru-baru ini menyatakan usaha mengisi dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara menuntut kepada perjuangan yang berterusan.
Sehubungan itu, media (media cetak dan elektronik) dengan pelbagai cara dan usaha perlu membangunkan masyarakat tanpa membataskan waktu bagi perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan demi kegemilangan negara dan bangsa yang tercinta.
Mengimbau peranan penting wartawan dalam kehidupan rakyat, terutama sekali dalam menuntut kemerdekaan, sejarah kewartawanan Melayu di Malaysia sudah bermula sejak pertengahan abad ke-19 dan kebanyakan akhbar yang diterbitkan sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957, dicetak menggunakan tulisan jawi.
Pada ketika itu, wartawan Melayu memberikan kepemimpinan yang progresif kepada khalayak mereka dengan melimpahkan perhatian besar kepada isu sosial dan politik semasa dan pada masa sama menanam bibit-bibit kesedaran politik orang Melayu.
Dalam era 30-an dan 40-an, akhbar Melayu terbabit dalam perjuangan kebangsaan dan ini melahirkan iklim politik yang membentuk kesedaran orang Melayu untuk merebut kemerdekaan di Tanah Melayu.
Atas semangat perjuangan kebangsaan yang amat membara, muncul satu golongan profesional wartawan Melayu pada ketika itu seperti Othman Kalam, Ibrahim Yaacob, Ishak Mohamad, Syed Alwi Al-Hadi dan Abdul Rahim Kajai.
Dalam era 40-an dan 50-an, akhbar Melayu memainkan peranan penting yang dituntut ke atas mereka dalam perjuangan anti kolonial. Mereka adalah wadah menyampaikan maklumat dan pendapat kepada pembaca di dalam dan di luar bandar mengenai cita-cita kemerdekaan.
Selepas kemerdekaan dicapai, maka peranan akhbar pula mengisi kemerdekaan dan memberi galakan serta pengetahuan kepada semua pihak supaya memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan negara yang sudah merdeka.
Akhbar tempatan memainkan peranan penting sekali dalam usaha untuk membina sebuah negara yang benar-benar merdeka serta maju demi kepentingan rakyat yang berbilang kaum.
Kini apabila negara berada pada fasa kedua 50 tahun kemerdekaan, peranan wartawan dan akhbar adalah lebih mencabar kerana perlu bersama-sama semua warga untuk mewarna dan mencorak masa depan negara yang lebih gemilang.
Selepas 50 tahun merdeka, baik pihak kerajaan atau pemilik akhbar serta wartawan mempunyai tanggungjawab sama, untuk memastikan bahawa negara tidak berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak huru-hara sehingga rakyat hidup dalam ketakutan dan sengsara. Jika ini berlaku, ia tidak akan membawa manfaat kepada sesiapa pun.
Walaupun sejak peristiwa hitam 13 Mei 1969, negara melalui perjalanan yang aman, rakyat harus sedar bahawa jika isu sensitif dibangkitkan, kesannya boleh mencetuskan pergaduhan serta kekecohan. Lantaran itu media perlu sentiasa sensitif mengenai keadaan dan suasana sekeliling.
Malaysia akan terus menjadi sebuah negara moden, mempunyai warga yang kaya dengan pengetahuan, bersifat inovatif, berdaya kreatif, mempunyai sikap keusahawanan, berdaya saing dan berupaya menandingi mereka yang terbaik di dunia.
Dalam menuju ke arah itu, negara tidak ingin sesiapa pun, termasuk wartawan, akhbar dan media, menimbulkan kebencian terhadap satu golongan, kaum atau institusi seperti kehakiman dan Raja-Raja Melayu. Selain daripada perkara yang tercatat dalam Perlembagaan Negara, akhbar bebas menyiarkan berita yang benar dan objektif.
Keamanan yang dinikmati negara akan hanya berkekalan sekiranya rakyat sentiasa sensitif terhadap keadaan dan suasana sekeliling. Satu saat kelalaian boleh menggugat segala-galanya. Sejarah menyaksikan bagaimana media, dengan laporan yang sensasi serta palsu menimbulkan huru-hara di negara lain.
Sebagai sebuah negara berdaulat, tentu sekali, kita tidak mahu perkara ini berlaku di negara kita. Bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan stabil, wartawan dan akhbar perlu mengendalikan tanggungjawab mereka dengan objektif tanpa membuat tuduhan melulu dan tidak berasas.
Akhbar perlu mengamalkan kesederhanaan serta saling memahami dan saling menghormati dalam aduan warga pelbagai budaya.
Teguran yang hendak dibuat oleh media perlulah semata-mata atas sifatnya hendak menegur dan mestilah positif serta bertujuan memperbaiki sesuatu keadaan untuk kepentingan negara dan rakyat, bukan pihak tertentu yang hanya ingin mencapai kepentingan peribadi.
Akhbar perlu sentiasa bertindak sebagai jambatan yang menyambungkan antara pemerintah dan rakyat. Selain itu, ia perlu memainkan peranan sewajarnya mengikut norma akhbar sejagat, iaitu sebagai penasihat.
Pihak media di Malaysia sepatutnya menggambarkan sebuah ‘dialog kebangsaan’. Dialog ini haruslah dijalankan berlandaskan sikap hormat-menghormati dan toleransi terhadap setiap bangsa Malaysia. Sebuah negara yang bercakap kepada bangsanya tidak mampu terjebak dalam perbalahan bertekak di mana kita memaki hamun sesama sendiri.
Akhbar harus menjadikan suara rakyat sebagai golongan yang memberi amanah kepada kerajaan bagi menghulur khidmat kepadanya. Kepentingan rakyat serta kritikan yang bernas wajar diberikan perhatian seimbang. Sebuah negara yang bercakap kepada bangsanya haruslah mempunyai saluran di mana kebimbangan rakyat jelata dapat diluahkan.
Jika kebimbangan rakyat disampaikan dengan cara yang betul dan rasional, pihak kerajaan akan mendengarnya. Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam menyebar fitnah dan berita palsu yang boleh menanamkan rasa benci, pihak kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Di negara ini, sikap kesederhanaan harus diutamakan. Jika rakyat tidak berhati-hati terhadap pendapat yang sempit dan melampau, keharmonian yang terbina, mungkin akan hilang. Selepas negara mencapai 50 tahun kemerdekaan, wartawan dan akhbar akan terus berjuang untuk memberi pembaca yang terbaik dan mampu dilakukan seperti dilakukan rakan mereka terdahulu.
Mereka merakam kehidupan yang memberi warna yang bermakna. Cabaran pasti mendatang dalam perjuangan mereka. Namun, menerusi semangat juang yang tinggi dan bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan negara dan tanah tumpah darah mereka, wartawan dan akhbar akan melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka akan terus berperanan penting ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang.
Oleh Dr Sapora Sipon
Penulis adalah Pengarah Korporat, USIM
Berita Harian
6 September 2007