
UCAPAN Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Forum Antarabangsa Mengenai Deklarasi Makkah di Kuala Lumpur, Ahad lalu membuktikan pertubuhan itu boleh menjadi pemangkin kepada negara Islam di dunia untuk lebih maju dan berdaya saing.
Dengan bertemakan Melaksanakan Agenda Ekonomi Dunia Islam, forum anjuran Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang turut dihadiri 84 cendekiawan Islam dari seluruh dunia, termasuk dari Amerika Syarikat dan United Kingdom boleh menjadi wadah kepada umat Islam mengekalkan semangat solidariti.
Deklarasi Makkah adalah persetujuan yang diterima OIC pada Sidang Kemuncak Khas di Makkah, Arab Saudi pada 2005 bagi mengukuhkan semangat politik negara Islam dan menangani Islamofobia.
Dalam ucaptama, Perdana Menteri menggariskan lima perkara asas yang perlu dilaksanakan bagi memastikan kejayaan Program Tindakan 10 Tahun Deklarasi Makkah. Beliau turut mencadangkan supaya perkara asas itu diberi perhatian khusus memandangkan selepas hampir 20 bulan penerimaan Deklarasi Makkah pada Disember 2005, negara Islam belum dapat bergerak melepasi peringkat persediaan perancangan dan penyelarasan.
Perkara asas itu ialah mengekalkan semangat politik secara kolektif, memulakan pembaharuan dalam fikiran dan hati serta mengiktiraf kepentingan pembangunan modal insan. Dua perkara asas lain yang mesti dijayakan negara OIC ialah memperuntukkan sumber yang diperlukan serta menggerakkan komuniti antarabangsa dan bekerjasama dengannya bagi meningkatkan kebajikan ummah.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa Malaysia yang juga adalah negara anggota yang memulakan usaha menjadikan pertubuhan itu terbabit dalam pembangunan ekonomi dengan mengadakan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF). Bagaimanapun, usaha itu tidak mencukupi sekiranya ia bergerak terlalu perlahan dan Malaysia berharap forum yang sama dapat dianjurkan negara lain.
Dalam pada itu, tindakan bijak Bank Pembangunan Islam (IDB) mewujudkan inisiatif baru dengan menubuhkan Tabung Solidariti Islam untuk Pembangunan (ISFD) adalah tindakan yang harus dipuji. ISFD yang baru ditubuhkan pada Mei lalu, adalah tindakan susulan kepada resolusi Program Bertindak 10 tahun OIC yang berlangsung pada sidang kemuncak pertubuhan itu di Makkah pada 2005.
Presiden Kumpulan Bank Pembangunan Islam, Tan Sri Dr Ahmed Mohamed Ali Al-Madani, berkata berdasarkan penilaian yang dibuat, 29 daripada 57 anggota OIC bersetuju memberikan sumbangan dengan Arab Saudi, Kuwait dan Iran menjadi penyumbang utama, manakala beberapa negara Afrika kurang membangun turut berbuat demikian seiring dengan semangat solidariti.
Natijah daripada kewujudan inisiatif ini, IDB telah berjaya mengumpul dana sebanyak AS$1.6 bilion (RM5.6 bilion) bagi membiayai pelbagai program membasmi kemiskinan, terutama di negara Islam di benua Afrika yang mengalami masalah kemunduran ketara bermula 1 Muharam 1429 Hijrah.
Kini, semua negara Islam seharusnya bersatu padu dan saling bantu membantu demi memastikan tidak ada lagi masalah kemiskinan dan kemunduran yang menyelimuti negara berkenaan.
Dengan adanya Forum Antarabangsa Mengenai Deklarasi Makkah, semua pihak berharap supaya ia benar-benar berkemampuan memimpin dan menjadi pemangkin kepada negara Islam untuk kembali bangkit menerajui kemajuan dan kejayaan dalam setiap bidang.
Kejayaan dan kemajuan dinikmati dunia pada hari ini adalah hasil usaha golongan cendekiawan dan cerdik pandai Islam pada zaman silam yang menjadi perintis kepada kemajuan dan kemodenan dunia pada hari ini. Justeru, sudah tiba masanya umat Islam mengukuhkan perpaduan dan merangka mekanisme baru bersesuaian dengan pendekatan sedia ada untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Kita juga berhasrat melihat zaman kegemilangan yang dikecapi pada era pemerintahan empayar Abbasiah dan Uthmaniah suatu masa dulu mampu direalisasikan pada era millennium ini. Bagaimanapun, hasrat itu tidak akan berjaya sekiranya negara Islam hari ini tidak bersungguh-sungguh, sebaliknya berpecah-belah dan hanya mementingkan diri sendiri.
Oleh Ahmad Shahir Abdul Aziz (Universiti Malaya)
Berita Harian
6 September 2007