Rabu, 5 September 2007

Sup tulang harimau, monyet


Wanita ditahan simpan bangkai 'Pak Belang' dalam peti sejuk untuk jadi ubat


HANOI: Polis menjumpai bangkai dua ekor harimau yang dibekukan dalam peti sejuk dan dua periuk sup dipenuhi tulang haiwan di sebuah dapur, lapor akhbar Vietnam, di sini semalam.

Seorang wanita berusia 40 tahun mengaku kepada polis dia mengupah tiga pakar memasak tulang harimau untuk dijadikan ubat tradisi yang dijual pada harga kira-kira AS$800 (RM2,720) setiap 100 gram. Polis menahan wanita dan tiga chef terbabit.

Kedua-dua ekor haiwan liar itu disumbat ke dalam dua peti sejuk bersaiz besar manakala kulit dan beberapa bahagian lain berselerak di atas lantai dan di dalam bilik air apabila polis dan renjer menyerbu pangsapuri itu.

Dalam peti sejuk pertama, terdapat seekor harimau dengan kepalanya dikerat kepada dua bahagian dan dua pinggan otak haiwan itu berserta sepasang mata. Dalam peti sejuk kedua, terdapat kulit haiwan liar itu manakala di atas lantai dan bilik air, kelihatan empat potong daging, seberat kira-kira 40 kilogram setiap bahagian, dan kepala.

Wanita berkenaan menyimpan haiwan itu dalam peti sejuk di pangsapurinya dan memasak di luar bangunan di kawasan orang ramai selalu berkumpul untuk menikmati bubur nasi sebagai sarapan.

Walaupun Vietnam menandatangani perjanjian melindungi spesies terancam, haiwan dan bahagian haiwan masih diseludup dari negara jiran dan sekitar negara itu untuk digunakan sebagai ubat.

“Dia sudah lama melakukan perkara ini secara terbuka. Bau busuk dari dapur mencemar kawasan kejiranan itu,” lapor akhbar Tienphong yang memetik jiran sebagai berkata.

Dua ekor harimau Indochina dewasa, seberat kira-kira 250 kilogram dan dianggar setiap seekor berharga AS$20,000 (RM68,000) mungkin dibeli dari Myanmar atau Laos, akhbar itu memetik pegawai sebagai berkata.

“Ia mungkin dibeli di Laos dan dibawa ke Vietnam oleh ambulans atau disembunyikan di dalam keranda,” renjer hutan, Vuong Tri Hoa, dipetik sebagai berkata oleh akhbar Nong Nghiep Vietnam.

Polis turut menemui empat tapak kaki beruang, gading dan pelbagai bahagian tubuh haiwan liar di pangsapuri wanita itu kelmarin, menurut laporan.

Bulan lalu, lapan lelaki dipenjarakan sehingga 11 setengah tahun penjara kerana meracun seekor harimau di zoo dan menjualnya pada harga AS$15,000 (RM51,000) di wilayah Tien Giang di selatan Vietnam.

Vietnam menandatangani Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar atau CITES, pada 1994 dan aktivis berkata, cuma tinggal 150 ekor harimau dalam hutan di negara Asia Tenggara itu. – Reuters/Agensi