Isnin, 17 September 2007

Gadis jadi buruan di Kemboja


PHNOM PENH: Lebih ramai lelaki Kemboja yang memilih remaja dara sebagai pelacur menyebabkan semakin meningkatnya wanita di bawah umur terjerumus dalam perdagangan seks komersial di negara itu, kata satu laporan oleh kumpulan kemanusiaan.

Lebih satu pertiga pekerja seks wanita yang diselidik dalam laporan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi, berkata mereka memasuki sektor terbabit dengan menjual dara.

“Seperti lelaki Asia lain, mereka (lelaki Kemboja) mempunyai keinginan kuat terhadap kesucian dara,” kata Eleanor Brown, yang menulis laporan mengenai eksploitasi seks di Kemboja.

Budaya Asia percaya bahawa meniduri seseorang gadis yang masih dara membantu kelelakian dan hayat.

Berdasarkan laporan itu, sebanyak 203 wanita dan gadis bekerja di rumah pelacuran dan tempat seperti kelab malam dan bar ditemu bual secara mendalam untuk kajian berkenaan.

Purata usia gadis yang menjual dara mereka adalah 16 dan 17 tahun, kata laporan itu.

Walaupun ada gadis terbabit menjual dara mereka secara sukarela kebanyakan mereka ditipu oleh rakan dan saudara mara atau dipaksa akibat kemiskinan dan keganasan yang dilakukan terhadap mereka, kata laporan itu. - AP