Khamis, 6 September 2007

Gelombang panas: 28 maut di Los Angeles



LOS ANGELES 6 Sept. – Laporan koroner di empat buah daerah di sini mendapati, gelombang haba panas yang melanda sejak lapan hari lalu merupakan penyebab utama kepada 28 kematian.

Suhu didapati meningkat sehingga 110 darjah Celsius di kawasan padang pasir manakala pada waktu malam ia menjunam sehingga mencapai takat beku.

Jurucakap koroner, Craig Harvey memberitahu, mereka juga sedang menyiasat 16 kematian yang disyaki berpunca daripada cuaca panas itu.

Seorang koroner, Henry Proo berkata, tujuh kematian setakat ini telah disahkan mempunyai kaitan dengan gejala itu.

“Empat kematian dilaporkan berlaku di daerah San Bernardino manakala satu lagi di daerah Riverside.

“Antaranya ialah seorang wanita berusia 58 tahun yang terperangkap di dalam rumah tanpa pendingin hawa dan seorang lelaki tua didapati mati di dalam sebuah lori treler yang tidak ada kemudahan elektrik dan air,” katanya.

Bagaimanapun, Pusat Kajicuaca Kebangsaan melaporkan, suhu panas itu kini semakin menurun dengan catatan semalam adalah yang terendah setakat ini berbanding beberapa hari lalu.

– AP