Khamis, 6 September 2007

Kempen pilihan raya Guatemala semakin ganas


GUATEMALA CITY 6 Sept. – Dua calon dari parti politik pimpinan pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan calon presiden, Rigoberta Menchu, ditembak mati di sini, semalam.

Insiden itu merupakan yang terbaru dalam gelombang keganasan pilihan raya yang kini meragut kira-kira 50 nyawa.

Jurucakap Parti Encuentro Por Guatemala, Armando Sanchez yang turut bertanding untuk kerusi di Kongres berkata, Wenceslao Ayapan, 35, dan Esmeralda Uyun, 26, dibunuh penyerang yang menggunakan senjata automatik.

Kedua-dua mangsa bertanding untuk kerusi Majlis Perbandaran San Raymundo, 30 kilometer ke utara Guatemala City.

Penganalisis politik, Gustavo Porras berkata, pembunuhan itu bukan atas dasar ideologi seperti ketika perang saudara Guatemala pada 1980-an, tetapi berkait dengan ahli kumpulan jenayah terancang yang cuba mengugut parti.

“Sebagai contoh, sesetengah serangan disasarkan untuk menghapuskan pencabar kepada ahli politik yang mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah,” kata Porras.

Kempen empat bulan itu merupakan yang paling ganas dalam sejarah Guatemala apabila ia melibatkan pembunuhan kira-kira 50 ahli politik, aktivis dan saudara-mara mereka menjelang pilihan raya Ahad ini.

– AP