
SEOUL 6 Sept. – Sebuah Mahkamah Rayuan Seoul hari ini menangguhkan hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan ke atas Pengerusi Hyundai Motor Co., Chung Mong-koo dengan alasan, jutawan itu sangat penting untuk ekonomi Korea Selatan berbanding sekiranya berada di dalam penjara.
Panel tiga hakim di Mahkamah Tinggi Seoul menggantung hukuman penjara itu selama lima tahun, yang bermakna Mong-koo boleh mengelak daripada dipenjara selagi mengekalkan rekod bersih.
Sebuah mahkamah yang lebih rendah pada Februari lalu menjatuhkan hukuman ke atas Mong-koo kerana kesalahan menggelapkan wang syarikat bernilai lebih AS$100 juta (RM350 juta) yang dimasukkan dalam dana gelap.
Para pendakwa raya menyatakan, dana tersebut digunakan untuk membayar para pelobi bagi mendapatkan keutamaan kerajaan dan kegunaan peribadi.
“Defendan, Chung Mong-koo dilihat sebagai simbol Hyundai Motor,” kata Hakim Lee Jae-hong, sambil menambah, Mong-koo merupakan pemimpin sebenar syarikat pembuat kereta keenam paling besar di dunia itu.
“Saya juga rakyat Republik Korea... saya tidak mahu terbabit dalam pertaruhan yang meletakkan ekonomi negara dalam risiko,” kata Jae-hong.
Dalam rayuannya, Mong-koo meminta mahkamah membenarkan dia tidak dipenjarakan bagi membolehkannya memberi tumpuan dan sumbangan kepada syarikat serta menyumbang kepada ekonomi Korea Selatan.
Pendakwa raya sebelum ini meminta hukuman penjara enam tahun kerana keputusan mahkamah pada Februari lalu dianggap terlalu ringan berbanding jenayah yang dilakukan oleh Mong-koo.
“Kami lega perkara ini berakhir,” menurut Hyundai dalam satu kenyataan.
Mahkamah telah mengarahkan dia melakukan khidmat masyarakat dan memenuhi janjinya untuk menderma kepada kebajikan.
– AP