
MOSCOW 6 Sept. – Sebuah roket tanpa pemandu milik Rusia yang membawa sebuah satelit komunikasi Jepun terhempas di Kazakhstan hari ini selepas rosak di tengah pelancarannya.
Menurut kenyataan Perkhidmatan Pelancaran Antarabangsa, sebuah agensi usahasama Rusia-Amerika, roket Proton-M yang sepatutnya menempatkan satelit JCSAT-11 ke orbit itu mengalami masalah pada peringkat kedua pelancarannya.
Jurucakap Agensi Angkasa Rusia Roskosmos, Alexander Vorobyov berkata, roket itu mengalami masalah selepas 139 saat dilancarkan dari tapak pelancaran Baikonur di Kazakhstan.
“Ini menyebabkan peringkat kedua dan ketiga roket itu beralih dari trajektori asal pada ketinggian 74 kilometer (46 batu) di udara sebelum terhempas di sebuah kawasan yang tidak didiami manusia, kira-kira 50 kilometer (30 batu) ke barat daya bandar Zhezkazgan, Kazakhstan,” katanya.
Mengikut perjanjian dengan Kazahstan, semua pelancaran roket Proton dari Baikonur akan digantung sehingga punca kejadian dapat ditentukan.
Satelit JCSAT-11 itu direka oleh Sistem Komersial Angkasa Lepas Lockheed Martin yang berpusat AS untuk kegunaan Syarikat JSAT di Jepun.
Roket berkuasa tinggi itu dihasilkan oleh Perkhidmatan Pelancaran Antarabangsa, Khrunichev dan menjadi penjana utama pendapatan industri angkasa Rusia.
-AP