
"Terima kasih bapak, tapi saya harus di rumah saja barangkali," kata dengan sopan pemandu van sewa semasa menolak pelawaan untuk berbuka puasa bersama penulis di sebuah hotel di bandar ini.
Eddy, 34, berkata isteri dan anaknya yang berumur empat tahun dan baru mahu belajar berpuasa sangat mengharapkan kehadirannya untuk berbuka puasa bersama di rumahnya, sebuah daripada hampir 8,000 buah rumah yang sudah retak teruk dan 10,000 unit lagi yang rosak ringan digegar dua kali gempa bumi yang kuat pada 12 dan 13 Sept.
"Tahun lepas saya buka puasa di luar terus bersama tetamu yang saya bawa, pak. Tapi kali ini saya tidak tega membiarkan isteri dan anak saya, apa lagi kami berbuka puasa di tenda (khemah) darurat di samping rumah kami, katanya kepada Bernama di sini.
Menurut Eddy, terasa benar nikmat Ramadan biar bersahur hanya dengan bubur nasi dan ikan sardin dan berbuka dengan nasi bungkus dan kolak (seperti pengat pisang) yang dibeli di restoran menuju ke rumahnya di pinggir ibu kota wilayah Bengkulu ini.
Biarpun rumah kecilnya rosak teruk akibat gempa berkekuatan 7.9 dan 7.7 pada skala Richter, dia mengakui sangat bersyukur keluarganya selamat dan isterinya sempat membawa kedua-dua anaknya keluar dari rumah ketika gempa kuat pertama menggegarkan Sumatera Barat pada pukul 6.10 petang 12 Sept.
GEMPA SATU DUGAAN BAGI MUSLIMIN
Gempa yang melanda ketika umat Islam di negara berpenduduk Islam paling ramai di dunia ini sedang bersiap menyambut bulan puasa telah memaksa sebahagian besar daripada 1.6 juta penduduk wilayah Bengkulu berbuka puasa dan bersahur di khemah-khemah darurat yang kini menjadi tempat tinggal mereka.
Di kebanyakan kampung, tidak ada lagi keceriaan dan kesyahduan solat terawih berjamaah kerana 73 buah masjid dan surau rosak teruk sehingga ke tahap tidak selamat untuk digunakan setelah dihentam gempa kedua pada pagi keesokannya (13 Sept).
Ada beberapa kampung yang penduduknya bergotong-royong mendirikan khemah untuk dijadikan surau sementara di tempat lain pula anggota jemaah yang bersolat terawih hanya beberapa kerat kerana banyak yang masih keberatan untuk meninggalkan keluarga di malam hari kerana khuatir gempa besar akan melanda lagi.
Bukan saja ibadah solat terawih yang terganggu akibat gempa itu dan ratusan gempa susulan selepas itu, malah persekolahan anak-anak juga terjejas kerana daripada sejumlah 600 buah sekolah yang terkena kesan gempa bumi itu, sebanyak 245 buah ranap, lebih 300 rosak teruk dan yang lainnya rosak ringan.
Akibat kerosakan itu dan kemungkinan bahaya menimpa anak-anak di dalam kelas jika gempa berlaku lagi, pemerintah daerah kecil termasuk di mukim-mukim yang paling teruk dibaham gempa mengambil langkah memberi cuti sehingga Hari Raya kelak.
BANYAK PRASARANA ROSAK TERUK
Pejabat yang rosak berjumlah 173 buah, manakala klinik kampung dan hospital daerah pula sebanyak 254 buah dan jalan serta jambatan yang rosak teruk dan ringan pula terjadi di lebih 300 tempat.
Banyak pihak menganggap kesan buruk gempa bumi yang berpusat di laut iaitu 159 km ke barat daya bandar ini dan yang keduanya di Sungai Penuh, wilayah Jambi, kira-kira 193 km dari sini tidak separah yang sepatutnya dengan ukuran 7.9 dan 7.7 pada skala Richter itu.
Namun bagi penduduk yang menjadi mangsa kesan itu sudah cukup menyeksakan, seperti kata seorang wartawan kanan Edi Suparyadi, bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
"Bayangkan banyak mangsa baru saja hendak bernafas lega selepas membina rumah baru menggantikan rumah mereka yang ranap ketika gempa besar di sini pada tahun 2000, kini kami menangis lagi kerana rumah baru itu juga roboh lagi," katanya, yang rumah dua tingkatnya turut retak berat dan tidak dapat didiami lagi.
Edi meminta pihak berkuasa termasuk pemerintah pusat Indonesia jangan melihat mereka hanya sebagai statistik sebaliknya bantulah mereka dengan penuh rasa simpati dan kemanusiaan.
PENDUDUK LEPAS GERAM
Seorang guru, Nongsi pula berkata janganlah penduduk disalahkan ketika televisyen menyiarkan visual penduduk yang marah kerana bantuan hanya sampai kepada mereka setelah hari keempat dan dalam jumlah yang tidak mencukupi iaitu hanya lima guni beras untuk makanan 8,000 mangsa pemindahan.
Lihatlah nasib mereka dengan penuh simpati dan cubalah memahami keadaan mereka yang harus menghadapi anak-anak yang kelaparan, katanya mengulas visual penduduk yang marah memecahkan guni dan membuang beras ke atas jalan raya.
Seorang pakar psikologi tempatan Dr Rohman berkata banyak mangsa cepat naik marah dan mungkin bertindak tidak rasional kerana mereka masih dalam trauma, ketakutan akibat gempa, kebimbangan berterusan terhadap khabar angin akan terjadi gempa besar dan tsunami serta rasa khuatir keluarga diancam bahaya.
Hakikat kelewatan dalam pengagihan bantuan makanan, ubat-ubatan dan selimut serta khemah itu diakui sendiri oleh Gabenor Bengkulu Agusrin M. Najamuddin, yang dipetik akhbar tempatan sebagai berkata ia terjadi kerana banyak jalan dan jambatan rosak menghalang petugas menghantar bantuan, apatah lagi belum semua tempat pemindahan diketahui.
Katanya, sebahagian petugas pihak berkuasa tempatan sendiri turut menjadi mangsa pemindahan dan akibatnya berlaku kekurangan tenaga kerja untuk pengagihan bantuan walaupun hampir semua bantuan yang diterima di peringkat wilayah telah diedarkan ke pelbagai daerah.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan bantuan yang diterima dari luar wilayah ini akan bertumpu di gudang pemerintah daerah sebagaimana yang terjadi kepada bantuan untuk gempa bumi dan tsunami di Aceh pada Dis 2004, sehingga rakyat kekurangan makanan sedangkan bantuan yang diterima tidak diagihkan sampai habis.
PEMERINTAH CUBA LAKUKAN APA YANG MAMPU
Pemerintah wilayah pula sejak Ahad menyiarkan di akhbar semua bentuk bantuan yang diterima dan jumlah yang sudah diagihkan.
Seorang pegawainya menjelaskan bahawa tidak ada karenah birokrasi dan mereka bukan bertujuan menyimpan bantuan yang diterima tetapi harus berhati-hati benar mengagihkannya supaya sampai kepada mereka yang disasarkan.
Akibat kelewatan dalam mengagihkan bantuan bekalan, ramai penduduk khasnya di sepanjang jalan di daerah kecil Lais yang terletak kira-kira 70km dari sini sejak Khamis menghadang jalan dengan kayu-kayu yang direntang di tengah jalan, memaksa kereta dan kenderaan dipandu perlahan dan menghulurkan bantuan wang.
"Bukannya kami mahu memaksa tetapi wajarlah bagi mereka yang melalui kampung kami menderma sebagai tanda simpati untuk kami membeli makanan dan membaiki rumah kami," kata seorang anak muda yang menghalang kenderaan di Kampung Pal 30, Lais.
Dia hanya merupakan seorang daripada mungkin lebih 200 orang yang mengambil tindakan serupa sepanjang perjalanan itu, yang sebahagiannya dengan agak keras memberi alasan, "Berilah tanda syukur bapak tidak kena musibah seperti kami ini kan bulan puasa, sedekahlah."
Sebelah tangannya menyodorkan dengan kasar sebuah kotak bertulis Derma Mangsa Gempa Bumi manakala di sebelah tangannya lagi memegang rokok yang masih berasap di tengahari hari ketiga Ramadan.
Oleh Mohd Nasir Yusoff
Bernama