Khamis, 20 September 2007

Cabaran Besar Selepas Pewartaan Taman Negeri Royal Belum


Penantian lebih empat tahun pelbagai pihak bagi kerajaan negeri Perak mewartakan kawasan hutan simpan di Hulu Perak sebagai Taman Negeri kini berakhir.

Pada Mei lepas, 117,500 hektar dari kawasan hutan ini telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum.

Pengisytiharan bersejarah kawasan hutan simpan yang kaya dengan khazanah biodiversiti sebagai Taman Negeri Royal Belum telah dibuat Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Kuala Sungai Kejar, Banding pada tahun 2003.

Kawasan Taman Negeri Royal Belum, yang merupakan kawasan 'hitam' sebelum ini kerana kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM), diwartakan sebagai Taman Negeri selepas Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak diluluskan pada tahun 2001.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Ghazali, ketika mengumumkan perkara tersebut pada 9 Mei lepas, berkata langkah kerajaan negeri mewartakan kawasan itu adalah untuk pemuliharaan khazanah hutan yang tak ternilai harganya.

Langkah itu juga menjadikan kawasan yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi itu sebagai salah satu destinasi pelancongan terunggul di Perak.


HUTAN SIMPAN KEKAL

Menurut Tajol Rosli kawasan Taman Negeri Royal Belum yang diwartakan itu melibatkan keluasan hutan yang meliputi 87.58 peratus daripada Hutan Simpan Kekal Belum.

Selebihnya meliputi kawasan Hutan Simpan Temengor dan Hutan Simpan Gerik.

Pewartaan Taman Negeri Royal Belum disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang memperjuangkannya sejak sekian lama.

Langkah itu turut mewujudkan cabaran besar buat Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), pihak yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan kawasan tersebut.

Pengarah Eksekutif Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia Dr Dionysius S. K. Sharma berkata langkah mewartakan kawasan tersebut sebagai Taman Negeri tidak memadai jika aktiviti haram seperti pemburuan dan pencerobohan kawasan taman itu terus berlaku.

"Dengan pewartaannya sebagai Taman Negeri berkuatkuasa Mei lepas, dari segi perundangannya PTNP kini mempunyai mandat untuk mengawasi dan meronda kawasan tersebut serta mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan aktiviti haram".

Ini diberitahu Dr Dionysius kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ekspedisi Kajian Badak Sumatera 2007 di Island Banding Resort dekat sini baru-baru ini.


PANTAU KAWASAN

Bagaimanapun, dengan hanya 20 orang petugas adalah sukar untuk PTNP memantau kawasan hutan seluas 117,500 hektar itu, kata beliau.

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar PTNP menubuhkan majlis penasihat yang melibatkan polis, tentera dan agensi kerajaan berkaitan bagi menangani aktiviti pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan hutan tersebut.

"Dengan terbentuknya majlis penasihat ini, penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan secara lebih berkesan," katanya.

Selain PTNP, kerajaan negeri Perak turut memikul tanggungjawab berat bagi memastikan pewartaan kawasan Taman Negeri Royal Belum bukan sekadar di atas kertas.

Menurut Dr Dionysius, kerajaan negeri Perak perlu mewujudkan pelan pengurusan taman yang menyeluruh bagi melindungi kawasan hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun yang kaya dengan ribuan flora dan fauna.

"Sebelum ini memang tidak wujud keperluan untuk itu tetapi memandangkan kini kawasan itu telah diwartakan maka perlu dirangka pelan sedemikian," katanya.


PELAN PENGURUSAN

Beliau berkata pelan pengurusan yang bakal merangkumi antara lain jumlah kemasukan pelancong pada satu-satu masa, penyediaan infrastruktur, pengwujudan zon-zon khusus dan pelaksanaan undang-undang berkaitan diharap dapat diwujudkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kita telah adakan perbincangan dengan kerajaan negeri Perak. Bila kita dah dapat peruntukan, kita akan dapat meneruskan pelan pengurusan.

"Pihak kerajaan negeri mahu lihat ini dilaksanakan dan kita (WWF) mempunyai pengalaman untuk menjalankannya," tegas beliau.

Langkah kerajaan Perak mewartakan Taman Negeri Royal Belum juga merupakan satu langkah yang tepat pada masanya kerana kawasan itu merupakan sebahagian daripada kawasan yang bakal menerima faedah daripada pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Di bawah pelaksanaan tersebut, Taman Negeri Royal Belum yang kaya dengan biodiversiti akan dijadikan kawasan eko-pelancongan serta penyelidikan herba.

Selain itu kawasan yang merupakan sarang PKM selama 41 tahun, dari tahun 1948 hingga 1989, bakal dipromosikan sebagai warisan dunia dalam usaha menarik kehadiran pelancong.

Oleh Roshidi Abu Samah
Bernama