
Hutan kita sememangnya kaya dengan pelbagai jenis khazanah tumbuhan termasuk herba. Dianggarkan terdapat lebih daripada 1,200 jenis tumbuhan termasuk tumbuhan ubatan dan herba yang berpotensi untuk dikomersilkan.
Namun demikian, jika diukur tahap kemajuan yang telah dicapai, industri tumbuhan ubatan dan herba Malaysia yang mula digiatkan sekitar tahun 70-an boleh dikatakan masih berada di peringkat awal berbanding negara-negara seperti China dan Thailand.
Buat masa ini juga sumber bahan mentah tumbuhan ubatan adalah terhad dan ia diperolehi sama ada dari hutan liar atau diimport dari negara jiran seperti Indonesia, India dan China.
MASIH KETINGGALAN
Sehubungan dengan itu, usaha penanaman tumbuhan ubatan dan herba secara besar-besaran perlu dijalankan bagi memenuhi keperluan industri di masa hadapan.
Industri herba tempatan juga masih ketinggalan daripada segi usaha Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
"R&D amat penting bagi memastikan keberkesanan kualiti dan keselamatan produk yang dihasilkan terutamanya jika mahu menembusi pasaran global.
"Setakat ini tidak banyak tanaman herba tempatan yang dibuat kajian dan tiada jumlah yang tepat," demikian menurut Dr Rasadah Mat Ali, Pengarah Program Tanaman Perubatan, Bahagian Bioteknologi Perhutanan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam wawancara dengan Bernama di pejabat FRIM, Kepong di sini baru-baru ini.
PERANAN FRIM
Sehubungan dengan itu, FRIM kini meningkatkan usaha untuk memartabatkan bidang R&D dalam industri herba tempatan.
Usaha ini semakin terserlah pada 1995 dengan penubuhan Bahagian Tumbuhan Ubatan apabila kabinet memberi mandat kepada FRIM untuk menyelaraskan penyelidikan berasaskan tumbuhan ubatan negara.
Menurut Dr Rasadah, bermula 2003, Bahagian Tumbuhan Ubatan diletakkan di bawah Bahagian Bioteknologi Hutan sebagai Program Tumbuhan Ubatan. Walau bagaimanapun fungsi dan objektifnya adalah sama.
Program Tumbuhan Ubatan mempunyai lima unit iaitu Unit Sumber Biologi, Unit Kimia, Unit Bioaktiviti, Unit Formulasi dan Pembangunan Produk serta Pusat Teknologi Herba.
Setiap unit mempunyai penyelidik yang berpengalaman. Setakat ini terdapat 20 orang penyelidik yang kebanyakannya berkelulusan ijazah sarjana dan ijazah falsafah kedoktoran berkhidmat dengan unit-unit tersebut selain 30 orang kakitangan sokongan.
PELBAGAI PERINGKAT PENYELIDIKAN
Proses penyelidikan bermula dengan pengenalpastian sumber biologi yang membabitkan antaranya mengenal pasti spesies tumbuhan ubatan atau herba di Malaysia, kedudukan serta taburannya.
Tumbuhan yang dikenal pasti kemudiannya menjalani penyaringan fitokimia di mana pengasingan dan pengenalpastian bahan kimia aktif dalam herba tersebut dijalankan. Kaedah berkenaan memberikan maklumat kandungan bahan kimia di dalam herba tersebut serta profilnya.
Proses pengujian aktiviti biologi menyusul untuk menentukan potensi herba terbabit.
Proses formulasi adalah proses berikutnya bagi membangunkan produk herba yang berkualiti, berkesan dan selamat digunakan.
"Dengan maklumat yang komprehensif ini, produk herba berkenaan diproses secara besar-besaran menggunakan teknologi pemprosesan terkini berpandukan garis panduan yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," kata Dr Rasadah.
HASIL KEJAYAAN
Menurut beliau, setakat ini pihaknya berjaya menghasilkan 17 produk di mana 11 adalah dalam bentuk ekstrak piawai 'standardised extract' termasuk 'Garcinia mangostana'(manggis), 'Garcinia atroviridis' (asam gelugor) dan 'Piper sarmentosium' (kadok).
Formula ekstrak piawai atau produk prototaip kemudiannya dilesenkan kepada syarikat swasta atau industri herba untuk pengeluaran komersil di mana FRIM akan menerima bayaran royalti.
Lesen tersebut, bagaimanapun jelas Dr Rasadah boleh ditarik balik bila-bila masa seandainya pihak yang diberi lesen gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.
FRIM juga menanam spesies tumbuhan yang dikaji di Taman Ethnobotanicnya untuk tujuan penyelidikan dan pemuliharaan. Terdapat lebih daripada 300 tumbuhan ubatan di taman tersebut.
Dr Rasadah memberitahu pihaknya juga menyimpan sampel kering dan spesimen herbarium untuk kegunaan rujukan, perpustakaan ekstrak dan perpustakaan komponen kimia. Idea untuk menubuhkan perpustakaan ini, katanya adalah hasil lawatan beliau ke China beberapa tahun lepas.
FRIM juga memainkan peranan penting dalam membantu pengusaha herba tempatan untuk membangunkan produk berkualiti tinggi, berkesan dan selamat digunakan.
Di dalam hal ini, FRIM bekerjasama dengan beberapa kementerian terbabit untuk melahirkan golongan usahawan yang dapat menggunakan teknologi terkini bagi tujuan tersebut.
KHIDMAT HTC
Di FRIM, peranan untuk membantu usahawan, menurut Dr Rasadah didukung oleh Pusat Teknologi Herba (HTC) yang memulakan operasi pada penghujung 2006.
Pusat tersebut, katanya yang mempunyai status Amalan Pengilangan Baik menjalankan penyelidikan pemprosesan herba menggunakan peralatan moden di samping infrastruktur yang bersih dan selamat.
Ini, katanya selaras dengan tiga aspek utama yang ditekankan oleh FRIM iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan.
Setakat ini, katanya, FRIM melabur sebanyak RM8 juta untuk peralatan dan kelengkapan di HTC.
Dr Rasadah memberitahu, aktiviti pemprosesan yang boleh dijalankan meliputi bahan mentah segar, kering dan ekstrak piawai sementara produk siap yang dihasilkan adalah dalam bentuk dos farmaseutikal seperti kapsul dan tablet.
Selain menawarkan khidmat pemprosesan dan pembangunan produk, HTC juga menganjurkan program latihan serta kursus kepada individu juga pengusaha.
Menurut Dr Rasadah, fokus program adalah untuk pembangunan modal insan yang mampu menghasilkan produk yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Di samping itu, HTC juga memberi latihan kepada pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta bagi tujuan latihan dan penyelidikan.
PENAMBAHBAIKAN PRODUK
Mengenai produk herba yang dihasilkan pengusaha tempatan, Dr Rasadah memberitahu kebanyakan produk tersebut tidak melalui proses R&D yang sewajarnya.
Sesetengah pengusaha, katanya hanya datang berjumpa dengan pihaknya untuk mendapatkan bantuan apabila gagal mendaftarkan produk dengan badan terbabit disebabkan kualiti produk yang tidak memenuhi prasyarat yang digariskan badan berkenaan.
Satu lagi kelemahan produk herba tempatan, katanya ialah pembungkusan dan penjenamaan.
"Produk yang dibawa kepada kita tidak menarik pembungkusannya selain mempunyai maklumat yang tidak sepatutnya dipamerkan (seperti dakwaan-dakwaan tertentu),"katanya sambil menambah masyarakat pengguna juga perlu dididik untuk menggunakan produk herba yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr Rasadah berkata pengusaha boleh menghantar produk herba yang dihasilkan untuk penambahbaikan produk yang sedia atau untuk menguji kualiti produk yang dihasilkan.
"Jika pengusaha datang kepada kita, insya-Allah tak ada masalah, kita boleh tolong mereka dalam bentuk khidmat nasihat atau perkhidmatan penyelidikan. Misalnya, usahawan boleh membawa produk mereka untuk dikaji keberkesanan, kualiti dan keselamatan produk mereka di FRIM.
"Matlamat kami supaya produk usahawan tempatan bukan sahaja boleh dipasarkan di dalam negeri malah di luar negara. Bila ada semua data dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia tak susah untuk menembusi pasaran luar negara," jelas Dr Rasadah.
Beliau menjelaskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) adalah kementerian yang paling aktif menghantar usahawannya untuk mendapatkan latihan dan bantuan di FRIM.
MONOGRAF HERBA MALAYSIA
Selain meningkatkan usaha R&D, Dr Rasadah berkata pihaknya turut terbabit dalam penghasilan Monograf Herba Malaysia.
Monograf herba merupakan himpunan serta dokumentasi lengkap sesuatu tumbuhan daripada nama saintifik serta nama yang lazim dikenali kepada deskripsi tumbuhan, apa yang boleh diekstrak daripadanya, taburan geografi serta kandungan kimianya.
Setakat ini baru ada satu jilid Monograf Herba Malaysia yang dihasilkan pada 1999.
Ia mengandungi 20 jenis tumbuhan antaranya 'eurycoma longifolia' (Tongkat Ali), 'Curcuma domestica' (kunyit), 'Labisia pumila (kacip fatimah), 'Andrographis paniculata' (hemdepu bumi) dan 'Cassia alata' (gelenggang besar).
Menurut Dr Rasadah, monograf tersebut merupakan gandingan usaha beberapa institusi pengajian tinggi dan Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia dengan FRIM bertindak sebagai penyelaras.
Ditanya mengenai kepentingan monograf, beliau berkata tanpa monograf industri herba tempatan sukar untuk mengeksport produk yang dihasilkan ke luar negara.
"Ada kalanya pihak industri datang berjumpa kita untuk mendapatkan Sijil Pengesahan, identifikasi dan lokasi Tumbuhan (Certificate of Origin). Untuk itu, pihak industri perlu membawa tumbuhan berkenaan untuk dikenalpasti.
"Di sinilah letaknya kepentingan monograf. Kalau ada monograf, mudah untuk kita keluarkan Certificate of Origin apabila diperlukan," jelas Dr Rasadah.
JILID 2 DAN 3
Usaha untuk menghasilkan monograf herba ini agak perlahan kerana sebelum ini tiada peruntukan pembiayaan yang mencukupi.
Menurut Dr Rasadah, kos untuk menghasilkan monograf satu tumbuhan ialah RM5,000.
Bagaimanapun, usaha untuk menghasilkan monograf yang berikutnya agak lancar sekarang berikutan adanya peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.
"Penghujung tahun ini pihak kami akan keluarkan jilid ke-2 sementara jilid ke-3 pula dijangka dapat dihasilkan pada tahun 2008," kata Dr Rasadah.
Bernama dimaklumkan Jilid ke-2 mengandungi 19 tumbuhan ubatan dan herba termasuk 'centella asiatica' (pegaga), 'Cymbopogon nardus' (serai wangi), 'Phylianthus amarus' (Dukung anak), 'Piperbetle' (sireh), 'Acorus calamus' (jerangau) dan 'Curcuma xanthorhiza (temu lawas).
Bagi jilid ke-3 pula, di antara 25 tumbuhan ubatan yang tersenarai ialah 'Melastoma malabathricum' (senduduk), 'Malpighia coccigera' (teh hijau), 'Ficus deltoidea var. terengganuensis' (mas cotek) dan 'Citrus hystrix' (limau purut).
Menurut Dr Rasadah, negara-negara seperti China dan Thailand adalah lebih jauh ke depan dalam pengeluaran monograf.
Katanya, kedua-dua negara itu malah sudah menghasilkan pharmakopia iaitu satu kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 monograf.
Diharapkan dengan usaha gigih FRIM, bidang R&D industri tumbuhan ubatan dan herba tempatan dapat melonjak, menyaingi kemajuan negara-negara lain.
Ini selaras dengan wawasan tinggi Dr Rasadah supaya Program Tumbuhan Ubatan yang diterajuinya sejak 2001 akan menjadi pusat setempat bagi menjulang kecemerlangan industri herba dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini.
Oleh Melati Mohd Ariff
Bernama