Ahad, 16 September 2007

Guru terbabit dadah mesti segera dibanteras


GURU adalah ikon kepada murid-muridnya. Apa saja yang dilakukan guru seharusnya menjadi contoh dan model ikutan kepada pelajarnya. Status guru itu sendiri mencerminkan sesuatu yang murni dan bersih, sebab itulah dalam Islam, guru diletakkan di tempat yang dipandang mulia. Jika guru melakukan sesuatu yang tidak betul, muridnya boleh melakukan lebih teruk lagi. Malah, pepatah Melayu ada menyebut ‘jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Sebagai pendidik dan ikon kepada anak didiknya, guru tidak boleh membabitkan diri dalam sebarang kegiatan negatif, apatah lagi terjebak dalam kegiatan jenayah, salah laku dan penyalahgunaan dadah. Kerana itu, laporan menyebut kakitangan Kementerian Pelajaran adalah jumlah paling ramai di kalangan penjawat awam yang ditahan polis kerana pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, tentunya membimbangkan banyak pihak.

Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, daripada 167 penjawat awam yang ditahan sepanjang tempoh lapan bulan itu, 39 adalah kakitangan Kementerian Pelajaran berbanding 34 tahun lalu dan 30 orang pada 2005. Mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan mengedar dan memiliki dadah, tidak termasuk sembilan lagi guru yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Dadah (APD). Baru-baru ini pula, empat guru di Sabah ditahan polis kerana mengedar dadah. Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati kebanyakan penjawat awam yang ditahan itu terbabit dalam kegiatan pengedaran, selain memiliki dan menagih dadah. Walaupun bilangan guru yang ditahan polis kerana terbabit dengan gejala dadah itu mungkin kecil jika dibandingkan dengan jumlah guru di seluruh negara yang mencecah 300,000 orang, ia bukannya alasan untuk kita membiarkannya berlarutan. Itupun hanya jumlah yang berjaya diberkas dan mungkin ada ramai lagi terlepas daripada tindakan.

Walaupun kecil dari segi peratusan, disebabkan ia membabitkan profesion perguruan, yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk generasi muda, isu ini wajar dipandang serius. Kita tidak mahu wabak penagihan dan pengedaran dadah yang menjadi musuh utama negara, menular ke sekolah. Masalah disiplin di sekolah kini sudah cukup merunsingkan bukan saja ibu bapa dan guru, tetapi juga kerajaan serta semua pihak yang terbabit dengan bidang pendidikan. Kita sepatutnya menumpukan perhatian dan masa untuk mengkaji bagaimana cara untuk mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik supaya pelajar, terutama Melayu menjadi golongan yang lebih cemerlang dalam bidang akademik setanding dengan pencapaian pelajar lain.

Kementerian Pelajaran harus melihat isu penyalahgunaan dadah di kalangan guru ini dengan lebih serius. Guru yang terbabit tidak harus dibiarkan terus berada di sekolah dan merosakkan masa depan generasi muda. Kita sependapat dengan Presiden Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Anuar Ibrahim yang menyifatkan pengedaran dadah kepada pelajar sebagai perbuatan khianat kerana ia boleh membinasakan anak bangsa sendiri. Kerana itu, sebarang masalah yang berkaitan dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kalangan guru perlu tangani dan dicegah bagi mengelakkan profesion perguruan yang disanjung tinggi itu dicemari. Kerana peranan guru ialah mendidik, tidak kira sama ada di sekolah rendah mahupun menengah, mereka tidak seharusnya terbabit dalam sebarang kegiatan yang dilarang sama ada oleh agama, undang-undang atau adat setempat.

Berita Harian 17 September 2007