
Ramadan bukan bulan berpesta makan tetapi mendidik diri berjimat, bersedekah
WAKTU berbuka puasa (iftar) adalah antara dua masa menggembirakan bagi setiap umat Islam yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika berbuka dan kedua, kegembiraan ketika menemui Tuhannya."
Dalam keghairahan umat Islam membuat persiapan untuk berbuka puasa, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggari etika berbelanja seperti dianjurkan Islam. Oleh itu, terlalu gembira kadangkala menyebabkan umat Islam tidak menyedari mereka sudah melanggari etika murni yang ditetapkan Islam iaitu boros dalam perbelanjaan.
Boros bererti mengeluarkan wang ringgit atau menggunakan barang secara berlebihan dengan cara membazir. Amalan membazir dilarang oleh Allah SWT sehinggakan orang yang membazir itu dianggap sebagai saudara syaitan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya." (Surah al-Israk, ayat 27)
Allah SWT menggambarkan orang yang melakukan pembaziran sebagai saudara syaitan. Ini suatu gambaran amat keras. Hal ini kerana syaitan adalah makhluk paling ingkar terhadap perintah Allah SWT.
Berhubung larangan pembaziran ini juga, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara iaitu mengadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta." (Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Etika Hadis)
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, boros dan pembaziran adalah perbuatan keji yang patut ditinggalkan oleh mereka mengaku diri benar-benar beriman dengan Islam.
Boros sering berlaku ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan sehingga tidak habis dimakan. Kadangkala waktu berbuka puasa bagaikan pesta makanan dengan pelbagai macam juadah.
Keghairahan untuk membeli pelbagai jenis kuih, lauk dan minuman kadangkala agak keterlaluan. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman. Maka, baki atau lebihan makanan dibuang kerana tidak terdaya dimakan.
Nabi Muhammad SAW hanya menggalakkan kita menyegerakan berbuka puasa tepat pada waktunya dan disunatkan berbuka dengan kurma atau buah-buahan lain. Jika tiada buah-buahan, berbukalah dengan meminum air. Kemudian hendaklah didahului solat Maghrib sebelum memakan makanan lain seperti nasi. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pada masa sama, Baginda melarang perbuatan boros ketika berbuka puasa sehinggakan membawa kepada pembaziran. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketika Muawiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin ‘Amr bercerita mengenai Rasulullah SAW. Katanya Rasulullah SAW tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji (seperti boros). Beliau juga berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik budi pekertinya." (Riwayat al-Bukhari)
Tuntutan puasa yang sebenarnya adalah lebih daripada menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Puasa adalah suatu bentuk latihan praktikal bagi mendidik roh, minda, jasad dan nafsu manusia ke arah pengabdian dan kepatuhan kepada Allah SWT.
Justeru, kita perlu sedar bahawa Ramadan yang sedang dilalui ini banyak mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja. Berbekalkan didikan praktikal yang kita terima dalam bulan Ramadan ini, manfaatnya akan berlanjutan.
Ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa, kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama, yang berbuka puasa dalam keadaan serba kekurangan. Mereka juga ingin menjamah makanan lazat seperti orang lain. Namun, kedaifan membuatkan mereka berbuka sekadar yang ada.
Oleh itu alangkah baiknya jika kita membanteras amalan boros dan pembaziran dan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan kurang berada, ada disediakan ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan berasakan kita sentiasa mengingati mereka. Amalan sebegini secara tidak langsung menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mewajibkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan sebuah masyarakat penyayang dan berwawasan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanja-belanjakan (hartamu) secara membazir (boros)." (Surah al-Israk, ayat 26).
Oleh Mohd Shukri Hanapi
Berita Harian 17 September 2007