Rabu, 5 September 2007

Hukuman berat mampu cegah penyeludupan diesel subsidi


TINDAKAN pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mematahkan cubaan satu sindiket menyeludup 275,000 liter diesel subsidi bernilai RM500,000 di Butterworth, kelmarin membuktikan kemampuan pasukan itu dengan kerjasama orang ramai membanteras penyelewengan dan penyalahgunaan kemudahan subsidi yang sepatutnya dinikmati orang lain. Rampasan terbesar pernah dilakukan kementerian berkenaan di Dermaga Prai setakat ini sudah pasti menakutkan pelbagai pihak khususnya anggota sindiket berkenan bahawa ada pihak tertentu termasuk orang dalam sendiri membocorkan kegiatan haram yang mereka lakukan selama ini. Ketika diserbu, diesel subsidi itu sedang dipam dari kapal Victory Star ke kapal Hai Soon yang berdaftar di Myanmar. Diesel subsidi itu dipercayai diangkut ke dermaga oleh sebuah syarikat pembekal minyak menggunakan lori tangki sebelum diisi ke kapal Victory Star. Hasil serbuan itu dua rakyat tempatan termasuk pengurus dan kerani syarikat pembekal minyak itu dan 10 anak kapal warga Myanmar ditahan untuk siasatan manakala kedua-dua kapal berkenaan serta muatannya disita. Siasatan dibuat mengikut Akta Bekalan Kawalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Cubaan sindiket untuk menyeludup diesel subsidi itu mungkin bukan kes terpencil kerana kejadian itu pernah berlaku sebelum ini tanpa diketahui pihak penguat kuasa mahupun orang awam. Malah mengikut rekod kementerian berkenaan, syarikat terbabit juga pernah didakwa di bawah akta yang sama. Kita tidak dapat membayangkan banyak kerugian ditanggung kerajaan dan berapa banyak pihak tertentu mengaut untung daripada perbuatan penyelewengan. Namun, ada beberapa perkara yang harus diperhalusi berikutan rampasan itu kelmarin seperti berapa lama kegiatan penyeludupan itu sudah dilakukan tanpa disedari pihak berkuasa dan berapa banyak jumlah diesel yang diseludup. Siapa dalang yang terbabit di sebalik syarikat pembekal dan pembeli itu. Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNDHEP Pulau Pinang, K Gunalan, siasatan mendapati diesel yang diseludup itu adalah diesel subsidi untuk nelayan dan stesen minyak tempatan yang harganya lebih rendah daripada dikhususkan bagi kegunaan industri. Ini bermakna ada unsur penyalahgunaan subsidi oleh pihak tertentu yang ingin cepat mengaut keuntungan. Perbuatan ini sudah tentu bercanggah dengan kepentingan nasional dan satu pengkhianatan yang tidak harus dibiarkan berlarutan.

Adalah diharap satu operasi secara bersama dapat dilancarkan oleh KPDNDHEP, polis dan kastam bagi membendung dan menghalang terus kegiatan penyeludupan seperti ini bukan saja di perairan Pulau Pinang dan Butterworth tetapi juga di semua pintu masuk ke negara ini bagi barangan terkawal. Selain itu tindakan juga harus dikenakan ke atas pengarah dan pihak pengurusan syarikat kerana membenarkan kegiatan itu dijalankan sama ada secara sengaja atau tanpa pengetahuan mereka. Sebagai langkah proaktif, adalah wajar kadar denda yang dikenakan ke atas mereka yang terbabit dikaji semula memandangkan hukuman yang diperuntukkan di bawah akta sekarang agak ringan dan boleh dibereskan dengan mudah oleh mereka yang didapati bersalah. Kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan subsidi diesel juga perlu memperkenalkan syarat lebih ketat dalam pemberian subsidi itu kepada mereka bagi memastikan hanya nelayan dan pengusaha stesen minyak yang benar-benar menjalankan urusan penangkapan ikan dan mengusahakan stesen minyak saja diberikan subsidi bagi mengelakkan penipuan dan penyalahgunaan.


Berita Harian
6 September 2007