Rabu, 5 September 2007

Pengalaman industri aset alam pekerjaan


KEUPAYAAN seseorang melaksanakan sesuatu tugas bersandarkan beberapa faktor utama. Antaranya, kemahiran bidang, memahami kehendak tugasan, keupayaan menggunakan ilmu dan pengetahuan sedia ada, pengalaman lalu, kebolehan mendapatkan maklumat dan ilmu baru berkaitan dengan tugasan dan kecenderungan memberi dan menghasilkan yang terbaik dalam menjalankan tugas.

Tanpa elemen sebegini, sesuatu tugasan sukar dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Keperluan ini mendorong syarikat mengambil pekerja yang berpengalaman saja. Fenomena ini dilihat sebagai faktor utama yang mengehadkan kejayaan graduan lepasan IPT untuk mendapat pekerjaan sebaik saja tamat pengajian. Punca utama ialah tiada pengalaman bekerja.

Apakah yang sebenarnya ditafsirkan sebagai berpengalaman? Adakah ia bermaksud pernah bekerja di sektor tertentu yang relevan dengan bidang yang dipelajari di universiti saja? Bagaimana pula dengan pengalaman tidak formal lain seperti sukan dan aktiviti berpersatuan yang secara tidak langsung menyumbang kepada kecemerlangan pekerjaan?

Secara logiknya, graduan baru lepasan universiti tiada pengalaman bekerja. Justeru, graduan universiti terutama di IPTA perlu dilengkapi elemen pengalaman yang membolehkan mereka berfungsi dan cemerlang di alam pekerjaan.

Institusi pengajian tinggi di Malaysia terutama IPTA bertanggungjawab melahirkan modal insan yang lengkap. Mahasiswa universiti dibangunkan pengalaman mereka melalui pembelajaran formal bidang kemahiran yang berkaitan. Pada masa sama, sahsiah dan keterampilan mereka dibangunkan melalui pelbagai aktiviti tidak formal terancang yang dilaksanakan di fakulti dalam bentuk pembelajaran aktif berasaskan masalah dan aktiviti di kolej kediaman di bawah portfolio Hal Ehwal Pelajar.

IPTA juga mensyaratkan mahasiswa menggarap pengalaman melalui Program Latihan Industri. Mereka ditempatkan dipelbagai industri dan agensi yang menawarkan pendedahan yang relevan dengan kursus pengajian. Pengalaman industri sepuluh minggu memantapkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dan pada masa sama membuka minda dan mengubah perspektif mahasiswa terhadap proses pembelajaran dan persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Seet Tjen Onn, pelajar tahun akhir di Jabatan Kejuruteraan Bioproses, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, UTM, berpendapat, pengalaman 10 minggu yang diperoleh di sebuah syarikat bioteknologi di Bangi, Selangor mendorong beliau menjadi lebih fokus kepada pembelajaran dan bersemangat untuk mendalami sebanyak mungkin ilmu berkaitan supaya beliau dapat berfungsi dengan berkesan sebagai jurutera bioproses dalam pembangunan industri bioteknologi negara.

Sungguhpun tempoh pendedahan industri secara formal adalah singkat, kaedah pembelajaran aktif di universiti contohnya di UTM dan IPTA lain banyak membantu pelajar berpengalaman dengan senario industri.

“Kajian kes sebenar industri digunakan dalam pembelajaran terutama bidang kejuruteraan dan teknologi, malah para pelajar di bawa melawat pelbagai industri seawal tahun satu,” kata Prof Madya Dr Khairiyah Mohd Yusof selaku penyelaras kursus Pengenalan Kepada Kejuruteraan yang juga Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA), UTM.

Sesetengah jabatan pengajian menggunakan pendekatan ‘hands-on’ di universiti sebagai input industri. Contohnya, pelajar tahun akhir Jabatan Kejuruteraan Bioproses didedahkan dengan program latihan ‘Pilot Plant Week’. Program ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Bioproses dan pihak Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) UTM. Latihan ini mendedahkan pelajar kepada proses sebenar industri bioteknologi yang berguna untuk perkembangan bioteknologi negara. Semasa program ini, kumpulan pelajar akan merancang untuk menyiapkan satu proses lengkap bagi menghasilkan suatu produk dalam tempoh seminggu. Teori yang dipelajari beberapa tahun dapat disimpulkan dengan baik oleh pelajar semasa menjalani latihan intensif ini.

Aktiviti kokurikulum dan persatuan juga adalah lapangan asas menggarap pengalaman industri. Melalui aktiviti persatuan, para pelajar didedahkan dengan kemahiran komunikasi, merancang, bekerja dalam kumpulan dan sebagainya. Contohnya, sekumpulan pelajar yang merancang menjalankan suatu aktiviti lawatan sambil belajar ke luar negara. Mereka bermesyuarat, membuat perancangan, menyusun strategi, merangka kaedah mendapat sumber kewangan, mengatur urusan perjalanan dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, memulakan hubungan luar negara dengan menjalinkan hubungan dengan institusi pengajian tinggi dan pihak industri luar.

Berpersatuan juga menanam sifat sayang dan menghormati organisasi yang disertai dan menyumbang kepada kejayaan organisasi. Sifat sama juga akan terpupuk apabila mereka menyertai organisasi pekerjaan. Kemahiran generik yang diperoleh mereka yang aktif dalam aktiviti kokurikulum di universiti meliputi kesemua atribut yang digariskan KPT dan memenuhi kehendak industri. Graduan universiti yang aktif dalam sukan dan aktiviti fizikal adalah contoh seorang yang tinggi disiplin, berani menyahut cabaran, berkemahiran khusus, berstrategi, boleh merancang, mempunyai sifat daya juang yang tinggi, boleh berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dan sebagainya.

Dalam keghairahan pihak industri meletakkan pelbagai syarat dalam pengambilan pekerja, pengalaman graduan sebegini mesti diberi penilaian setimpal sesuai dengan tahapnya. IPTA menyediakan kurikulum yang anjal dan ko-kurikulum yang bersepadu bagi membolehkan graduan berfungsi dalam pelbagai industri dan agensi. Contohnya, kursus wajib kejuruteraan yang disyaratkan oleh Board of Engineers Malaysia adalah asas kepada bidang kejuruteraan.

Asas ini membolehkan graduan berfungsi dan berkomunikasi antara disiplin kejuruteraan yang berbeza. Kursus wajib KPT dan IPTA bertujuan untuk membentuk modal insan yang lengkap dan cemerlang dari segi fizikal dan mentalnya sesuai dengan taraf seorang graduan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara. Sekiranya tidak dilakukan, peluang pekerjaan dan fungsi graduan akan terhad.

Namun begitu, IPTA memberi ruang untuk tambah nilai graduannya. Program berbentuk ‘finishing school’ diperkenalkan di IPTA. KPT dan agensi kerajaan yang lain juga menggembleng tenaga menyediakan latihan tambahan kepada graduan. Program Latihan Asas Infosys, INSEP, dan sebagainya adalah antara inisiatif kerajaan membantu graduan bidang kritikal menentukan kerjaya mereka.

Oleh Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid

Prof Madya Dr Fadzilah Adibah Abdul Majid adalah Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioproses, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, UTM

Berita Harian
6 September 2007