
Pendekatan terbaik diguna jana pertumbuhan, hadapi cabaran ekonomi
ANGKA lapan dianggap nombor bertuah mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Adakah ia akan menjadi tahun yang membawa tuah kepada ekonomi kita apabila 2008 bakal menjengah kira-kira empat bulan dari sekarang? Namun rata-rata ahli ekonomi meramalkan ekonomi dunia kurang cergas tahun depan yang secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi kita terutama eksport negara.
Persoalannya, apakah persediaan kita menghadapi jangkaan kelembapan ekonomi global pada 2008? Sejauh mana pula, inti pati Bajet 2008 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, esok mampu menangani jangkaan kesan kelembapan ekonomi global itu?
“Cabaran kita kali ini adalah untuk menghasilkan satu bajet yang mampu menangani kesan jangkaan kelembapan ekonomi global yang berpunca daripada krisis pinjaman subprima di Amerika Syarikat (AS),” kata Pengarah Urusan RAM Consultancy Services Sdn Bhd (RAM), Dr Yeah Kim Leng.
Beliau yang juga Ahli Ekonomi RAM, berkata bajet tahun depan juga dijangka mengambil kira kesan daripada krisis pinjaman subprima AS itu bukan saja kepada sektor kewangan tetapi ekonomi sebenar.
“Kesan kejutan daripada krisis subprima itu bukan saja akan dirasakan dalam sektor kewangan tetapi ekonomi sebenar.
“Jadi, bajet kali ini dijangka memberi tumpuan kepada inisiatif menangani kesan daripada krisis pinjaman subprima di AS yang dijangka turut memberi kesan kepada ekonomi negara,” jelasnya.
Justeru, katanya, Bajet 2008 dijangka memberi tumpuan kepada cara bagaimana negara kita dapat mengelak daripada menerima kesan teruk daripada krisis itu.
“Untuk itu, Bajet 2008 akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan permintaan domestik bagi menyeimbangkan sebarang kesan buruk daripada krisis berkenaan yang dijangka menyebabkan pertumbuhan lebih perlahan ekonomi global tahun depan,” katanya.
Sementara itu, bagi menggalakkan perbelanjaan domestik pula, Dr Yeah berkata, bajet kali ini perlu memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan perbelanjaan dalam negara sama ada perbelanjaan awam atau pengguna.
Beliau berkata, meskipun tahap perbelanjaan pengguna sekarang masih kukuh, kerajaan dijangka tetap memperkenalkan insentif ke arah merangsang perbelanjaan pengguna terutama bagi mengukuhkan lagi perbelanjaan domestik, salah satu komponen penting pertumbuhan ekonomi negara.
Perbelanjaan kerajaan katanya, dijangka meningkat sejajar pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan bertambah rancak tahun depan.
“Kita akan menyaksikan peningkatan momentum dalam pelaksanaan projek RMK-9 tahun depan. Ini akan meningkatkan lagi kegiatan pelaburan,” katanya.
Apakah pula yang boleh diharapkan pengguna daripada bajet kali ini? “Orang ramai mengharapkan ‘hadiah istimewa’ sempena Bajet 2008,” katanya.
Memandangkan banyak pihak menjangkakan pilihan raya umum semakin dekat, Dr Yeah berkata: “Mungkin ada sesuatu hadiah baik akan diumumkan kerajaan dalam Bajet 2008 nanti.
“Besar kemungkinan, beberapa pengecualian cukai pendapatan akan diperkenalkan supaya orang ramai mempunyai pendapatan boleh belanja yang lebih tinggi.
“Atau kerajaan mungkin mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan,” katanya.
Faedah lain yang mungkin diberikan, adalah insentif yang akan memberi manfaat kepada sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan insentif percukaian yang dapat meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah yang amat merasai kesan daripada kenaikan kos. Mungkin sesuatu yang dapat meringankan kos pemilikan rumah kos rendah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Bajet 2008 juga dijangka memberi tumpuan ke arah mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mantap antara 5.9 peratus hingga enam peratus tahun depan.
“Ekonomi global kini berdepan dengan kelembapan dalam sektor kewangan, kenaikan kadar faedah dan kekurangan mudah tunai di pasaran global.
“Tinjauan masa depan ekonomi global masih tidak menentu. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menggariskan satu bajet yang akan memberikan tumpuan dalam hal itu,” katanya.
Mengenai insentif yang mungkin diumumkan dalam Bajet 2008 bagi menggalakkan lagi kegiatan di koridor pembangunan di seluruh negara, Dr Yeah berkata, insentif yang disediakan untuk menarik pelabur menanam modal di situ sudah cukup baik dan memadai.
Namun katanya, apa yang sepatutnya diperbaiki adalah usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan di negara ini.
“Antaranya, kita perlu mengurangkan tempoh menunggu sebelum sesuatu perniagaan diluluskan. Tempoh menunggu itu sendiri adalah suatu kos yang tinggi kepada pelabur. Justeru, mengurangkan kerenah birokrasi amat wajar,” katanya.
Keadaan itu, katanya, perlu diperbaiki memandangkan Malaysia berada dalam kedudukan antara yang tercorot dalam kajian Bank Dunia mengenai tahap kecekapan pentadbiran berkaitan kelulusan pelaburan dan perniagaan.
“Kita perlu setaraf dengan kemampuan negara maju dalam soal ini supaya dapat menarik pelabur dari negara seperti Amerika Syarikat, Asia Barat dan Jepun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik di TA Securities, Kaladher Govindan, berkata pengumuman KDNK suku kedua 2007 yang lebih baik baru-baru ini menggambarkan keupayaan ekonomi Malaysia keluar daripada krisis jika berlaku kesan daripada gadai janji subprima AS terhadap ekonomi dan eksport negara.
Justeru, katanya, Bajet 2008 yang akan diumumkan esok dijangka mengambil kira keperluan mengukuhkan lagi sumber permintaan domestik, terutama perbelanjaan pengguna, bagi mengekal dan meningkatkan ketahanan ekonomi.
Jika Bajet 2007 secara umumnya adalah bertujuan menyeimbangkan antara keperluan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara, bajet tahun depan dijangka lebih mencabar dilihat daripada ketidaktentuan ekonomi global yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara sebagai sebuah negara perdagangan.
Sehubungan itu, bajet ketiga sejak Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2003 itu akan menggunakan pendekatan tersendiri untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi dan mengatasi cabaran mendatang.
Oleh Azli Ayob
Berita Harian
6 September 2007