Rabu, 5 September 2007

Korea Selatan hantar pakar robotik ke angkasa lepas


GWACHEON 5 Sept. – Korea Selatan memilih seorang pakar robotik sebagai angkasawan pertamanya yang akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan sebuah kapsul Soyuz Rusia pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Sains, Chung Yoon hari ini berkata, Kementerian Sains dan Teknologi memilih pakar di Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea, Ko San sebagai angkasawan pertama negara ini.

Ko San, 30, yang sebelum ini menjalankan penyelidikan mengenai robot dan kecerdasan buatan di Institut Teknologi Lanjutan Samsung mengatasi calon wanita, Yi Soo-yeon, 29, seorang jurutera nanoteknologi dalam ujian prestasi dan lainnya semasa mereka menjalani latihan di Rusia.

Kedua-dua mereka dipilih daripada lebih 36,000 calon di negara ini.

Ko San yang juga merupakan seorang peninju amatur handalan akan menjalankan eksperimen saintifik di ISS selama seminggu bersama-sama dua angkasawan Rusia pada April depan.

– AP