JOHOR BAHRU: Seorang buruh binaan terpaksa menerima 11 jahitan apabila alat kelaminnya nyaris terputus dipotong isteri dalam satu kejadian di rumah kongsi tapak pembinaan Taman Pulai Flora, Kangkar Pulai, di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki bertaraf pemastautin tetap berusia 43 tahun itu dikatakan dipotong kemaluan oleh isterinya dengan sebilah pisau selepas mereka mengadakan hubungan seksual.
Wanita berusia 48 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana cemburu dan tidak berpuas hati dengan suaminya yang berkahwin dengan seorang wanita berusia awal 30-an.
Mangsa yang kesakitan dan terkejut dengan tindakan isterinya itu, dikatakan melarikan diri sebelum menunggang motosikal sendirian untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima 11 jahitan dan dirawat sebagai pesakit luar.
"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai. Bertindak atas maklumat berkenaan, kami menyerbu rumah kongsi itu dan menahan isterinya, warga Indonesia, untuk membantu siasatan.
"Wanita berusia 48 tahun itu ditahan reman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.
Berita Harian 25 September 2007