Isnin, 24 September 2007

1 juta katil bayi Simplicity, Graco ditarik dari pasaran


WASHINGTON: Kira-kira sejuta katil bayi jenama Simplicity dan Graco ditarik bali dari pasaran selepas tiga kanak-kanak terperangkap dalam katil mereka dan lemas, kata Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna.

Dua bayi masing-masing berusia enam bulan dan sembilan bulan maut di atas katil bayi yang dijual sepanjang Mei lalu. Seorang bayi berusia setahun maut dalam model terbaru katil itu, yang tidak ditarik balik, tetapi masih disiasat oleh agensi keselamatan, kata Pegawai Suruhanjaya.

Jurucakap Ed Kang enggan mengulas di mana atau bila kanak-kanak terbabit mati.

Jurucakap Simplicity, Joe Householder berkata, syarikatnya tidak akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai kematian itu kerana menghormati keluarga mereka.

Dalam semua tiga kematian itu, pelanggan memasang rel boleh ubah di tepi katil secara terbalik, kata CPSC. Hal ini menyebabkan ruang dalam katil yang mana kanak-kanak boleh menggelongsor dan lemas.

Tujuh lagi bayi terperangkap dalam katil mereka, menurut suruhanjaya itu. Terdapat 55 laporan mengenai bahagian tepi katil itu tertanggal atau perkakasnya gagal memegang tepi katil.

Simplicity Inc disenaraikan sebagai pengeluar semua katil bayi itu yang dibuat di China. Katil yang ditarik balik itu dijual di seluruh dunia, mengikut jenama Simplicity atau Graco dari Januari 1998 sehingga Mei lalu. Ia membabitkan pelbagai model dan nombor sirinya.

"Simplicity berusaha membuat produk selamat. Ia adalah keutamaan nombor satu kami. Sebab itulah kami bekerjasama dengan CPSC untuk mengambil tindakan itu," kata Presidennya, Ken Waldman dalam kenyataan.

Dalam penarikan balik barangan berasingan Jun lalu, suruhanjaya itu menarik balik kira-kira 40,000 katil bayi Nursery-in-a-Box dikeluarkan Simplicity kerana arahan pemasangan secara salah menerangkan bagaimana memasang bahagian tepi boleh ubah.

"Tiada satu pun daripada katil bayi yang dibekalkan oleh Simplicity ke kedai baru-baru ini termasuk yang ditarik balik," kata syarikat dalam kenyataan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu memberi amaran kepada pemilik katil bayi yang memiliki versi baru katil berkenaan yang tidak ditarik balik supaya memeriksa untuk memastikan bahagian tepi katil dipasang dengan betul dan selamat. – AP