Pendatang haram monopoli paip, halang jemaah dapatkan bekalan
MAKKAH: Kumpulan mafia air zamzam kembali aktif. Penduduk dan jemaah Umrah yang mahu mengisi air Zamzam di pusat pengisian dekat bulatan Kuday, terkejut apabila pengedaran air di pusat itu kini dikuasai beberapa kumpulan pendatang tanpa izin, kebanyakannya dari Afrika dan Asia yang tinggal melebihi had.
Kumpulan itu menjual air zamzam dengan harga SR16 (RM14.60) setiap 3.8 liter (satu gelen), walaupun ia sepatutnya diberikan secara percuma dan setiap kumpulan mampu memperoleh keuntungan sehingga SR4,000 (RM3,644) sehari, lapor Arab News.
Kumpulan itu memonopoli paip air Zamzam dan menghalang jemaah atau pelawat daripada mengisi bekas mereka dengan air. Jika ada anggota kumpulan itu yang terpaksa meninggalkan kawasan berkenaan, ia akan diganti oleh anggota yang lain. Penduduk dan orang ramai turut hairan kerana tiada polis yang datang ke kawasan itu untuk mengatasi masalah yang berlaku.
Tiada seorang pun dapat mengisi air kecuali mereka membayar kepada kumpulan mafia itu yang tidak teragak-agak menolak dan memukul sesiapa yang cuba melawan. "Ketiadaan polis di kawasan itu memberi peluang kepada pendatang berkenaan untuk mencari keuntungan dengan cepat.
"Ada pendatang dan warga asing terbabit yang turut menipu apabila menukar air zamzam dengan air biasa. Kawasan itu juga menjadi kotor serta becak dan boleh mengancam kesihatan," kata agensi berita itu.
Sementara itu seorang penduduk tempatan, Ali Hassan, berkata beliau kecewa kerana tiada usaha daripada pihak berkuasa menghalang perbuatan kumpulan itu.
"Tahun lalu kawasan ini dibahagikan kepada dua bahagian, satu untuk orang awam manakala satu lagi untuk masjid dan pertubuhan amal.
"Tugas mengisi air di pusat itu dikendalikan sebuah syarikat swasta. Setiap orang dibenarkan mengisi sehingga 19 liter (lima gelen) air pada satu masa. Kami biasanya membayar SR1 (91 sen) untuk setiap 3.8 liter, tetapi sekarang pusat itu dikuasai sepenuhnya oleh pendatang berkenaan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nizar Suwaileh, berkata apa yang berlaku di pusat pengisian air zamzam itu tidak sepatutnya berlaku dan hairan kerana tiada polis berkawal.
"Kerajaan mewujudkan pusat ini untuk kemudahan penduduk, tetapi sebaliknya pendatang asing menguasai tempat ini dan melayan penduduk dengan cara yang biadab," katanya.
Sementara itu ketua Jabatan Pasport di Makkah, Ayed Al-Luqmani berkata jabatan itu membuat serbuan setiap hari dan berjaya menangkap beberapa pendatang tanpa izin. – Agensi