Isnin, 24 September 2007

Ramadan peluang tingkat integriti amanah


Rasa takjub terhadap Islam makin terhakis akibat penyelewengan, salah laku moral

HUKAMA' pernah mengatakan, "Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak (mungkin) dapat memberikan suatu apa pun…" Jika maksud kata-kata hukama’ ini mahu dikaitkan dengan amanah, jelas insan yang tidak memiliki sifat amanah terhadap dirinya tidak mungkin dapat menunaikan amanah terhadap orang lain.

Dengan kata lain, seseorang yang sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan amanah terhadap dirinya akan melaksanakan perkara sama terhadap masyarakat sekelilingnya. Sama seperti sifat dan nilai mulia lain, amanah mempunyai peranan besar dalam kesejahteraan kehidupan masyarakat dan kerukunan pentadbiran negara.

Malah, pada peringkat lebih luas khususnya dalam hubungan antara kaum dan bangsa di dunia serta agama, jika sifat amanah ini sebati dalam diri individu Muslim, ia pasti dapat membentuk tanggapan baik dan tepat mengenai Islam serta umat Islam keseluruhannya.

Inilah yang dibuktikan Nabi Muhammad SAW dalam hubungan Baginda dengan penduduk Quraisy Makkah. Sebelum diangkat menjadi Rasul, Baginda sudah mempamerkan keindahan pekerti dan ketinggian budi sehingga digelar penduduk Quraisy sebagai 'Al-Amin' (seorang yang amanah dan dipercayai).

Penduduk Quraisy Makkah mempercayai apa juga kata-kata serta tindakan Nabi SAW dan kepercayaan mereka terhadap Baginda itu mendorong mereka menyerahkan harta dan wang untuk disimpan oleh Baginda.

Perkara itu berlanjutan sehingga Nabi SAW diutus menjadi Rasul dan dalam perancangan kaum Quraisy untuk membunuh Baginda, mereka sebenarnya bimbang seandainya harta dan wang yang disimpan oleh Nabi SAW tidak akan diperoleh semula.

Namun, Nabi SAW membuktikan tanggapan mereka itu tidak benar sama sekali. Biar sekejam mana sekalipun Baginda serta pengikutnya dilayan penduduk Quraisy, Nabi SAW tetap berpegang pada kejujuran dirinya.

Saidina Ali yang diminta Nabi SAW untuk tidur di tempat Baginda pada malam penghijrahan Baginda secara diam meninggalkan Makkah turut diminta supaya memulangkan kembali harta milik penduduk Quraisy yang sebelumnya disimpan dan dijaga dengan baik oleh Nabi SAW.

Pada hari ini, kita dapat melihat nilai amanah kian terhakis dalam diri setiap insan. Sifat amanah tidak lagi menjadi lambang bagi umat Islam yang dapat mengundang rasa takjub dan hormat yang tinggi kepada agama Islam itu sendiri.

Apa yang diutamakan hanya kepentingan serta keuntungan diri. Maka, wujud antara pemimpin di dunia Islam yang tidak segan silu hidup bergelumang dengan rasuah, menggadaikan maruah serta harga diri demi takhta dan kedudukan, mengkhianati agama Islam serta umatnya yang menderita tanpa terdetik pun sebesar zarah dalam hati mereka rasa bersalah terhadap umat Islam keseluruhannya dan juga agama Islam yang dilaungkan sebagai jalan hidup mereka.

Maka tinggallah agama Islam bagi mereka hanya pada nama dan gelaran. Kebajikan umat dan agama Islam terabai begitu saja tanpa mendapat pembelaan. Sesungguhnya mereka melupai amaran Nabi SAW bahawa mereka akan disoal kelak mengenai amanah yang berada pada tangan mereka ketika hidup di dunia.

Kedatangan Ramadan yang membawa sebesar-besar rahmat kepada umat Islam seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat keji yang memberi kesan buruk bukan saja pada diri, tetapi kepada masyarakat dan ummah.

Falsafah ibadat puasa, iaitu perjuangan menentang hawa nafsu dan mendidik diri mentaati perintah Ilahi perlu dihayati sepenuhnya supaya matlamat ibadat yang difardukan pada Syaaban tahun kedua Hijrah ini dapat dicapai dengan jayanya.

Menyedari setiap daripada kita memiliki amanah yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya kita mengambil peluang sepenuhnya pada Ramadan ini untuk menjana nilai amanah yang tinggi dalam diri.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemegang amanah…" (Hadis riwayat al-Bukhari)

Contohnya, bagi seorang bapa hendaklah memanfaatkan Ramadan ini untuk mendidik anak melaksanakan ibadat puasa dengan penuh penghayatan supaya akan tersemai nilai mulia seperti mentaati Allah, jujur, amanah dan cenderung pada kebaikan.

Bagi seorang ibu pula, Ramadan adalah saat terbaik untuk menguji nilai amanah yang ada pada diri, misalnya dalam pengurusan harta keluarga. Ibu yang menyedari amanah besar padanya, akan memastikan perbelanjaan harta keluarga diurus dengan bijaksana, berhemah dan tidak boros.

Maka demikian itu, ibu akan mengambil tindakan bijak hanya menyediakan juadah yang baik serta berkhasiat untuk keluarga dan tidak membeli juadah berlebihan hingga menyebabkan pembaziran.

Malah ibu juga mengambil tindakan membuat perancangan bijak untuk menangani permasalahan semasa seperti kenaikan harga barang bagi memastikan perbelanjaan harta keluarga tidak dibazirkan dan hanya diperuntukkan bagi perkara yang diperlukan.

Bagi peniaga (juga lebih-lebih lagi pemborong dan pembekal), Ramadan seharusnya dimanfaatkan untuk menghakis sifat mementingkan diri sendiri, mengutamakan keuntungan semata-mata dan menindas orang lain seperti pengguna.

Daripada Rifa`ah bahawa pada suatu ketika beliau keluar bersama Nabi SAW ke tempat solat lalu Baginda terlihat orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda, "Wahai setiap peniaga!" Mereka menyahut panggilan Rasulullah SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda, "Pada hari kiamat kelak, setiap peniaga akan dibangkitkan sebagai orang yang jahat kecuali orang yang takut akan Allah, berbuat baik dan jujur."

Pada zaman Rasulullah SAW, pengawasan dan pemantauan teliti dibuat bagi memastikan perniagaan yang dijalankan di pasar tidak dicemari unsur penindasan serta penipuan dengan pelantikan muhtasib yang berkelayakan. Amalan itu diteruskan dan diperkemas Khulafa’ al-Rasyidin.

Walau apa juga kedudukan dalam masyarakat, kita seharusnya memiliki tekad yang tinggi untuk melaksanakan amanah yang dimiliki, apatah lagi pada bulan yang mulia seperti Ramadan. Kesungguhan kita menunaikan amanah diri itulah yang akan melayakkan kita menjadi insan bertakwa.

Memetik pandangan penulis buku Ruhuddin al-Islami, 'Afif Abdul Fattah Thabbarah, "Seseorang yang bertakwa memelihara dirinya daripada segala yang mengundang kemurkaan Tuhannya dan daripada segala yang mendatangkan kemudaratan, sama ada bagi dirinya mahupun orang lain."

Oleh Wan Roslili Abd Majid

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian 25 September 2007