Isnin, 24 September 2007

Cara terbaik mengenal hakikat kehidupan


HIKMAH turunnya al-Quran sebagai mukjizat besar terhadap manusia adalah di luar upaya manusia untuk mentakwilnya. Yang tersurat ialah ia memberi petunjuk kepada umat manusia khususnya di kalangan orang yang muttaqin.

Yang tersirat dalam tafsir dan pengetahuan manusia masih lagi terbatas. Pedoman al-Quran terhadap manusia adalah luas, seluas alam, rahmat dan nikmat yang Allah kurniakan. Yang diketahui oleh manusia amat sedikit. Yang sedikit itu jika difahami dan diamalkan, bakal menjadikan manusia orang yang bersyukur, memiliki rasa kepatuhan dan ketaatan yang tinggi terhadap Allah.

Mukjizat ini turun pada Ramadan kerana jiwa Rasulullah SAW sedang disediakan ke arah jiwa Rabbaniah. Apabila asas rohaniah Rasulullah SAW tinggi, menerima amanah berat yang tidak diterima oleh gunung-ganang menjadi suatu kehebatan pada diri Rasulullah SAW sendiri.

Mukjizat besar ini sudah tentu terkandung risalah petunjuk dan pedoman. Manusia tanpa petunjuk dan pedoman akan hilang arah mencari makna diri, Pencipta, alam dan ilmu. Al-Quran membekalkan manusia pedoman mengenai hal itu supaya manusia tahu hakikat dirinya.

Mengetahui hakikat diri memandu manusia mengenai hakikat Penciptanya. Mengetahui hakikat Pencipta mendorong manusia mengetahui hakikat ilmu dari Allah. Memahami hakikat ilmu dari Allah memberi pedoman kepada manusia mengenai hakikat alam ini. Inilah asas tasawur yang perlu difahami setiap Muslim supaya keimanannya kepada Allah dan Islam menjadikannya orang berjiwa muttaqin.

Al-Quran adalah kalam Allah, kunci untuk manusia mengetahui sedikit rahsia Allah dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian. Membacanya saja mendapat fadilat yang besar. Apalagi jika al-Quran diteroka isinya, ditafsir maksudnya, didalami maknanya menjadikan manusia seolah menerima suluh dan cahaya untuk membebaskan diri daripada kejahilan, menerangi jalan ilmu yang terang benderang dan mempedoman manusia dalam setiap tindakan dan amalan.

Kaji saja lima ayat dalam Surah al-Alaq yang memberikan kita pedoman mengenai Allah sebagai Pencipta dan proses penciptaan memberikan asas saintifik yang hebat. Ayat seterusnya memberikan pedoman kepentingan ilmu yang tidak akan mampu diteroka melainkan dengan alat (al-Qalam).

Lima ayat dalam surah al-Alaq adalah mukjizat besar memandu manusia mengenai maklumat yang benar daripada Penciptanya. Maklumat ini mengatasi asas tahyul yang dibina manusia dan rujukan pemikiran semata-mata yang dibawa orang Barat.

Al-Quran sebagai mukjizat tidak saja terkandung prinsip mengenai akidah, pedoman syariah dan maqasidnya, menyatakan kepentingan adab serta akhlak, tetapi kisah sejak dari Nabi Adam sehingga zaman Nabi Muhammad SAW dan ramalan hari depan umat manusia, nilai baik dan buruk, balasan terhadap orang yang ingkar dan juga ganjaran orang yang beramal salih.

Ajaran al-Quran tidak saja membawa manusia berfikir kejadian (ulul albab), tetapi membangun jiwa tadabbur (kaji dan selidik) supaya manusia bertemu sesuatu yang betul serta benar dalam memahami faktor Allah, manusia dan alam.

Kisah yang Allah rakamkan dalam al-Quran adalah lakaran tabiat manusia yang bakal wujud pada sepanjang zaman. Kisah Nabi Nuh dengan isteri dan anaknya yang ingkar terhadap seruan kebenaran juga berlaku pada hari ini menjadikan iman dan takwa sebagai asas hidup, tetapi berpegang kepada ajaran tahyul yang sifatnya duniawi.

Kisah Nabi Lut adalah suatu kisah menarik bagaimana kaumnya enggan hidup dalam fitrah sebaliknya berkeinginan tinggi hidup di kalangan kaum sejenis dan akhirnya turun musibah daripada Allah terhadap kaum itu.

Kisah yang diceritakan al-Quran sifatnya mengulangi. Kederhakaan isteri dan anak terhadap suami pada hari ini menjadi fenomena biasa. Banyak rumah tangga yang runtuh dan anak hilang arah dalam hidup kerana tidak menerima pedoman kebaikan dan kebenaran.

Amalan gay dan lesbian menjadi wabak di Barat, sedang menjangkiti negara umat Islam lain. Musibah AIDS/HIV sedang menjadi wabak yang belum ditemui ubatnya dan boleh memberi kesan terhadap kehidupan umat manusia.

Oleh itu, jalan kembali harus dirintis manusia hari ini ialah kembali kepada fitrah. Manusia diciptakan dan harus kembali kepada sebab mengapa ia diciptakan. Rahmat dan nikmat adalah kurniaan Allah yang perlu dinikmati serta disyukuri.

Manusia diberikan al-Quran sebagai sumber petunjuk. Jadikan al-Quran sumber ilmu untuk mengenal dan mengetahui hakikat diri dan kehidupan. Al-Quran memberikan pedoman memahami alam dan persekitaran supaya manusia tahu tanpa proses penciptaan semua yang kita nikmati sekarang tidak akan wujud.

Inilah asas sains dalam tradisi Islam. Sains Barat melihat fenomena sebagai 'apa', tetapi sains Islam melihat 'apa' dan 'mengapa'. Daripadanya manusia mengetahui tidak saja objek kejadian, tetapi hikmah di sebalik kejadian.

Daripadanya manusia akan mengakui adanya Pencipta alam ini, yang mengatur perjalanan alam ini dan sentiasa bersyukur rahmat serta nikmat yang menjadi sumber kehidupan manusia di muka bumi. Pemahaman Qurani seperti ini bakal membimbing manusia ke jalan yang diredhai. Inilah antara mukjizat yang hebat yang perlu dipelajari dan difahami oleh manusia supaya hidupnya sentiasa Rabbaniyyah.

Oleh Prof Dr Sidek Baba

Berita Harian 25 September 2007