SATU daripada matlamat difardukan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan sebenar kepada Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat itu kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat saja, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah. Dengan itu juga akan lebih mudah seseorang mukmin membezakan sesuatu yang hak dan batil.
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harus di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa." (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadan sebagai manifestasi melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki syarak.
Puasa adalah proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Menerusi ibadat puasa diharap lahir sifat terpuji seperti amanah, jujur, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.
Apa juga kesederhanaan dan sedikit kekuatan dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama." (Hadis riwayat Bukhori)
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat dilaksanakan dengan syumul, perkara utama yang perlu didahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:
> Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
> Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
> Mengurangkan tidur pada siang hari.
> Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
> Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.
> Jangan terlalu boros dan membazir dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperoleh oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan menerusi khutbah baginda iaitu: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal salih pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah.
Usah menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadan untuk menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru "Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api neraka."
Berita Harian 25 September 2007