Isnin, 24 September 2007

Piawaian halal Jakim berpengaruh



Bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz

BARU-BARU ini Jakim mengadakan Dialog Pengurusan Persijilan Halal Malaysia dengan beberapa wakil dari negara asing. Apakah hasilnya?

Jakim menganjurkan dialog ini dengan tujuan untuk memberi penerangan kepada semua badan Islam yang dilantik di luar negara mengenai kaedah dan prosedur kami mengendalikan pensijilan halal. Sebanyak 44 badan Islam di seluruh dunia dilantik Jakim menguruskan pengeluaran pensijilan halal bagi pihak kita di 23 negara. Bagaimanapun, kali ini hanya 23 badan Islam terbabit yang dapat menghadiri dialog ini antaranya dari Amerika Syarikat, Amerika Latin, Jepun, Australia dan New Zealand. Sebenarnya, ini kali pertama Jakim menganjurkan dialog seumpamanya, supaya semua badan Islam dilantik memahami standard halal dilaksanakan di negara ini dan prosedur yang kita bangunkan. Kami mahu pastikan semua badan Islam berkenaan mematuhi prosedur pensijilan halal ditetapkan Jakim.

Oleh itu, kami berharap dialog ini dapat meningkatkan kredibiliti semua badan Islam terbabit dan mengukuhkan keyakinan pengguna dalam dan luar negara kerana kesediaan mereka menggunakan piawaian Jakim. Selain itu, dialog ini juga bertindak sebagai forum kepada badan Islam berkenaan mengukuhkan jalinan kerjasama antara mereka sebab di sesetengah negara Jakim melantik beberapa badan Islam, jadi kami hendak mereka bekerjasama. Ia akan menyebabkan pihak industri di negara terbabit memandangkan tinggi piawaian halal ini kerana ia bukan saja untuk orang Islam, malah pengguna bukan Islam. Secara tidak langsung, Jakim dapat mendidik masyarakat dunia mengenai hikmah halal. Lagipun, topik dibincangkan dalam dialog tidak terhad daripada perspektif syariah, malah daripada perspektif lain antaranya teknik baru dalam penyembelihan seperti ‘stunning’ yang menjadi isu hangat tidak lama dulu. (Pneumatic stunning adalah kaedah menghentak kepala haiwan secara pneumatic supaya pengsan sementara sebelum disembelih).


Apabila menyentuh soal halal, ramai menganggap ia membabitkan makanan dan minuman. Boleh jelaskan lebih lanjut pengertian halal ini dalam ajaran Islam?

Memang benar, ada menganggap halal membabitkan aspek makanan dan minuman. Tetapi sebenarnya Jakim tidak mahu melihat halal dalam konteks makanan dan minuman semata-mata kerana jika boleh kami hendak pergi lebih jauh, termasuk dalam sektor perkhidmatan.


Jika begitu, bagaimana caranya Jakim memantau pelaksanaan pensijilan halal ini di luar negara oleh badan Islam dilantik?

Jakim tidak menghadapi masalah mengenal pasti mana-mana badan Islam yang ingin dilantik. Sebaliknya, masalah wujud dari segi pemantauan iaitu bagi memastikan semua badan Islam itu menjalankan kerja pemantauan dan pemeriksaan bagi pihak Jakim di negara terbabit mengikut prosedur dan piawaian ditetapkan. Jakim memang terkenal di seluruh dunia dengan kaedah dan prosedurnya yang tersendiri. Jadi, kami kena pastikan mereka mampu mengikuti dan mematuhi proses kerja kami. Itu sebenarnya yang memerlukan pemantauan pada pihak kami, tetapi lebih penting kami perlu pastikan sama ada mereka melaksanakan kerja pemantauan yang diamanahkan di negara mereka.

Jadi, kami perlu memantau untuk memastikan mereka melaksanakan tugas pemantauan terbabit, memandangkan mereka memperoleh akreditasi atau pengiktirafan dari Jakim. Ketika ini, Jakim berpendirian, kami akan menghormati kewibawaan badan Islam ini kerana mereka adalah badan Islam diiktiraf di negara asal masing-masing. Bagaimanapun, Jakim tidak teragak-agak menarik balik pengiktirafan diberikan jika kami mempunyai bukti mereka melanggar prosedur piawaian ditetapkan. Jakim juga bertindak memberhentikan perkhidmatan dan melantik badan lain, jika mereka tidak melaksanakan tugas dengan profesional dan tidak mematuhi piawaian kami. Atas sebab itulah, Jakim menganjurkan dialog ini supaya mereka mengetahui dan memahami kehendak kami kerana jika kami tidak jelas serta terangkan kehendak kami, Jakim akan berlaku tidak adil kepada semua badan Islam itu.

Selain itu, kami juga ingin mengetahui masalah mereka sebab ada perkara tidak boleh diselesaikan dengan badan Islam yang dilantik saja. Mungkin masalah itu boleh diatasi menerusi perbincangan antara kerajaan di kedua-dua negara. Jika timbul perkara itu, kami akan bawa masalah berbangkit ke peringkat lebih tinggi supaya ia boleh diatasi dengan segera antaranya merujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.


Mengenai pemantauan dijalankan Jakim, apakah bentuk pemantauan dan bagaimana kaedah pelaksanaannya?

Semua badan Islam itu dilantik untuk tempoh dua tahun dan ia perlu perbaharui selepas tamat tempoh berkenaan. Sepanjang tempoh pelantikan, Jakim mempunyai kuasa memeriksa bila-bila masa tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dulu. Jika mampu, Jakim menjalankan pemeriksaan sekerap mungkin. Namun, apabila ada keperluan mendesak khususnya jika timbul sesuatu isu seperti penyembelihan menggunakan kaedah ‘stunning’ yang timbul tidak lama dulu, Jakim membuat pemeriksaan kerana kerajaan mengarahkan kami berbuat demikian. Selain itu, jika ada keperluan lain seperti masalah bekalan contohnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan berlaku kekurangan bekalan daging. Memandangkan negara ini mengamalkan polisi hanya mengimport daging halal, Jakim akan membuat pemeriksaan di beberapa negara supaya masalah bekalan itu dapat diatasi segera.


Baru-baru ini, timbul masalah bekalan daging dari India. Adakah ia berpunca daripada masalah prosedur atau sebaliknya?

Masalah di India sebenarnya membabitkan kaedah penyembelihan yang tidak mengikut piawaian kita. Jadi, Jakim perlu menahan pengimportan daging dari negara berkenaan. Namun, masalah itu sudah berjaya diatasi selepas beberapa pegawai kita mengunjungi pusat penyembelihan itu. Kejadian sama pernah berlaku membabitkan sebuah pusat penyembelihan di Australia. Jakim turut menggantung pengimportan daging dari negara itu. Kedua-dua kejadian itu membuktikan piawaian Malaysia amat dihormati oleh industri halal dunia. Walaupun jumlah import Malaysia rendah berbanding negara lain, kredibiliti pensijilan halal Jakim boleh menyebabkan pasaran mereka di negara Islam lain boleh terjejas dengan teruk. Ia pernah berlaku sebelum ini, kerana tindakan Malaysia tidak mengimport daging dari negara terbabit, pasarannya di Asia Barat terjejas dengan teruk. Inilah sebenarnya kejayaan Malaysia dan Jakim khususnya iaitu kredibiliti kita dalam pensijilan halal. Namun, orang khususnya rakyat kita tidak nampak perkara ini.


Sebelum ini, Kabinet sudah memutuskan Jakim menjadi satu-satunya badan tunggal dalam pengeluaran sijil halal di negara ini. Setakat mana perkembangan pelaksanaan arahan ini?

Jemaah Menteri sudah membuat keputusan bahawa Jakim akan menjadi badan pensijilan tunggal di negara ini. Ketika ini, Jakim sedang dalam proses menyelesaikan beberapa isu membabitkan peruntukan undang-undang dan ia sedang dalam tindakan Jabatan Peguam Negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin juga pernah mengumumkan sebelum ini, bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga sedang dalam proses untuk meminda Akta Perihal Dagangan dan proses itu juga sedang berjalan. Selain itu, Jakim juga sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk mencari jalan terbaik bagi melaksanakan arahan Kabinet itu.


Apakah reaksi kerajaan negeri dan setakat ini, berapa negeri yang sudah menyatakan persetujuan?

Sebenarnya banyak negeri sudah pun menyatakan persetujuan membenarkan Jakim bertindak sebagai ejen pensijilan halal, namun perbincangan masih terus dijalankan kerana ia membabitkan pindaan undang-undang. Setakat ini, empat negeri menyatakan persetujuan mereka.


Adakah wujud sebarang masalah untuk melaksanakan arahan itu?

Sebenarnya tidak ada masalah kerana Jakim memang mempunyai hubungan baik dengan semua kerajaan negeri, cuma kita perlu mengemaskini beberapa perkara. Contohnya dalam pensijilan halal untuk sektor perhotelan, sudah ada persetujuan bahawa Jakim akan mengeluarkan sijil halal untuk semua hotel berangkai manakala hotel tidak berangkai pula oleh jabatan agama Islam negeri. Kita juga sudah bersetuju untuk menyeragamkan logo halal di seluruh negara mulai tahun depan. Jadi, mulai tahun depan semua negeri akan memakai satu logo tunggal. Semuanya adalah hasil persetujuan dicapai dalam persidangan ketua-ketua jabatan agama Islam negeri tidak lama dulu.


Berbalik semula kepada dialog, ada apa-apa persetujuan atau resolusi yang dicapai?

Semua peserta setuju supaya dialog ini diadakan setiap tahun dan wakil dari Thailand sudah memberikan persetujuan untuk menjadi tuan rumah tahun depan. Bagaimanapun, jika timbul isu mendesak dan kritikal, semuanya sudah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perjumpaan, supaya ia dapat diatasi dengan segera.


Akhir sekali, apakah harapan Jakim terhadap dialog ini dalam memartabatkan pensijilan halal yang dikeluarkannya di seluruh dunia?

Semua badan Islam yang dilantik amat menyanjungi pensijilan halal Jakim. Jadi, pengguna dan industri mengambil peluang ini (pensijilan halal Jakim) untuk memasarkan perkhidmatan produk mereka di luar negara atau di pasaran antarabangsa. Mereka tidak boleh lagi melihat isu halal sebagai isu agama semata-mata kerana ia sebenarnya lebih luas daripada itu kerana ia membabitkan isu perniagaan. Jadi, kita mahu mereka yang terbabit dalam bidang perniagaan ini sedar akan hakikat itu. Perkhidmatan dan pengeluaran produk yang halal bukan saja memberi faedah kepada orang Islam di negara ini malah juga orang Islam di luar negara. Justeru, mereka perlu faham akan perkara ini.

Oleh Azrina Ahzan

Berita Harian 25 September 2007