Isnin, 24 September 2007

Kesedaran sivik anak kurangkan kes seksual



SINI dik. Jangan pergi jauh-jauh. Pegang tangan ibu. Nanti orang jahat tangkap! Ungkapan sebegini semakin kerap kita dengar di mana-mana, terutama di pusat beli-belah dan tempat awam sejak kebelakangan ini.

Jelas setiap ibu atau bapa semakin bimbang akan keselamatan anak kecil selepas nasib malang dan menyayat hati menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, tragedi yang menggemparkan seluruh negara.

Perasaan takut, bimbang, geram dan marah bercampur baur dalam benak fikiran setiap ibu bapa sejak kebelakangan ini tidak sukar dimengertikan lantaran kes jenayah terhadap kanak-kanak yang dilaporkan di media massa dan elektronik dengan meluas. Kisah menyayat hati adik Nurin benar-benar mencuri tumpuan semua dan menghantui pemikiran setiap ibu bapa.

Seluruh negara amat kesal dan sedih dengan nasib menimpa adik Nurin yang dibunuh kejam oleh penjenayah yang disifatkan semua sebagai bernafsu iblis. Binatang pun tidak sekejam ini, hanya orang yang tidak berperikemanusiaan sanggup melakukan perlakuan terkutuk itu. Apa yang berlaku terhadapnya cukup menyayat hati, terutama ketika umat Islam menyambut Ramadan yang mulia ini.

Setiap penonton yang menyaksikan upacara pengebumian kanak-kanak malang juga pastinya tidak dapat menahan deraian air mata dan sebak. Tuhan lebih menyayangi adik Nurin dan dia sudah kembali ke pangkuan-Nya.

Ia bukan kali pertama kes membabitkan jenayah terhadap kanak-kanak dilaporkan. Kita pernah digemparkan dengan kes yang membabitkan Nurul Huda Abdul Ghani, 10, yang dirogol dan dibunuh kejam di pondok pengawal Stesen Jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah Johor pada 17 Januari 2004.

Kes menimpa Nor Shuhada Burak, 6, dipercayai dirogol sebelum dibunuh di Selayang Baru, Selangor pada 21 Oktober 2000; Nurul Hanis Kamil yang dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka (3 Julai 2001); Norshakila Ramli Choo, 6, yang dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang, (1 April 2002); Harirawati Saridi, 10, yang dibunuh di Kampung Rantau, Menggatal, Kota Kinabalu (8 Januari 2004) dan Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9, yang dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu (22 Disember 2004).

Justeru, tidak hairanlah setiap ibu bapa semakin bimbang. Saya sendiri yang punyai anak perempuan sebaya mereka berkongsi kebimbangan sama. Kita sepatutnya berasa selamat di negara ini dengan adanya pasukan keselamatan terbaik dengan setiap kaum hidup aman harmoni sejak kita merdeka 50 tahun lalu.

Malang sekali kes seperti ini menyebabkan timbul rasa tidak selamat dalam diri ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.

Penjenayah kejam yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran nafsu buas mereka menyebabkan ibu bapa sentiasa dihantui perasaan takut akan keselamatan anak mereka, terutama ketika berada di luar rumah dan bersiar-siar.

Kita mesti ambil ketetapan bahawa anak mesti didedahkan ajaran sivik bagi membendung perlakuan jenayah seksual. Mereka ini tidak tahu sebenarnya apa yang berlaku ke atas diri sendiri. Kadang-kadang mereka tidak tahu dirinya dicabul, cuma dia tidak suka orang buat begitu padanya.

Tindakan setegas mungkin dan kajian terperinci mesti dilakukan bagi membendung perlakuan jenayah terhadap kanak-kanak. Banyak kes berlaku bukan akibat daripada kelemahan undang-undang, tetapi kelemahan penguatkuasaan, unsur lain yang mempengaruhi kejadian tidak bermaruah itu juga perlu ditangani hingga ke akar umbi dan kempen antikeganasan kanak-kanak perlu diperhebatkan dengan semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama-sama berganding bahu.

Sakit jiwa yang melanda pelaku seks ganas terhadap kanak-kanak juga sebenarnya turut berpunca daripada adanya lambakan bahan lucah, terutama di pasar malam dan beberapa kawasan tertentu. Kita masih boleh lihat cakera padat (CD) lucah dijual secara berleluasa dan terbuka di pasar malam, di sebalik penguatkuasaan kementerian berkaitan.

Begitu juga majalah lucah yang dikatakan dijual di lokasi tertentu. Belum diambil kira kafe siber dan penggunaan jaringan internet tanpa kawalan sehingga menyaksikan kemasukan banyak bahan tidak bertapis yang boleh mempengaruhi dan merosakkan akhlak mereka yang terdedah dengannya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini semakin bertindak proaktif sebagai tenaga penggerak bagi menangani jenayah dan keganasan terhadap kanak-kanak bersama pihak berkuasa berkaitan, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sewajarnya juga wajah penjenayah seksual dipaparkan secara terbuka dalam semua media massa bagi memberikan pengajaran kepada mereka.

Saya juga menyokong penuh cadangan pemakaian cip dan gelang khas terhadap individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Namun, harus ada garis panduan pencegahan dan disusuli tindakan yang lebih menyeluruh serta bersepadu oleh semua agensi berkaitan.

Setiap ibu bapa pula harus sentiasa ingat bahawa ‘keselamatan anak tanggungjawab kita’. Ibu bapa tidak boleh cuai dan terlepas pandang, terutama yang masih kecil. Ibu bapa tidak seharusnya membiarkan anak pergi ke mana-mana seorang diri tidak kira siang atau malam, perlulah ditemani ahli keluarga yang lebih dewasa.

Ketika kita menaruh keyakinan kepada pasukan keselamatan di negara ini untuk melaksanakan tugas mereka, pada pihak ibu bapa pula tidak boleh sama sekali cuai. Jangan sekali-kali kita jadikan sikap sentiasa mengawasi anak sepanjang masa ini sebagai tanggungjawab sementara, ketika kes Nurin masih panas. Lepas itu bila sudah agak lama kita mula lupa dan alpa.

Sesungguhnya peranan ibu bapa sendiri amat besar dalam menentukan keselamatan anak mereka sepanjang masa. Kepada ibu bapa dan keluarga Nurin serta kanak-kanak lain yang pernah diuji dengan kisah yang hampir sama, tabahkan hati, semoga kesabaran kita mendapat tempat di sisi Ilahi.

Selamat menjalani ibadah puasa, berdoalah agar ibadah kita diberkati Allah SWT.

Oleh Datuk Noraini Ahmad

Datuk Noraini Ahmad adalah Ketua Puteri Umno Malaysia

Berita Harian 25 September 2007