SEPERTI dibimbangi banyak pihak, Amerika Syarikat ternyata gagal mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam di Iraq. Masyarakat dunia yang sebelum ini yakin Amerika boleh membetulkan ketidakstabilan politik di Iraq mula ragu-ragu dengan keikhlasan negara kuasa besar itu. Buktinya, penyiasat Iraq kelmarin mendedahkan satu rakaman video menunjukkan pengawal firma keselamatan Blackwater USA, menembak ke arah sekumpulan orang awam, sekali pun mereka tidak diancam atau diserang. Kejadian itu menyebabkan 11 terbunuh dan 14 lagi cedera. Rakaman video itu diambil menerusi kamera dipasang di atas bangunan ibu pejabat polis berhampiran tempat kejadian di Medan Nisoor, Baghdad pada 20 September lalu, adalah bukti kekejaman terus dilakukan warga Amerika sendiri yang selama ini mencanangkan menolak pengganas dan keganasan. Berikutan bukti kukuh itu, pihak berkuasa Iraq kini mahu membawa warga Amerika itu ke muka pengadilan. Membunuh tanpa alasan adalah satu kesalahan jenayah di Iraq seperti juga di kebanyakan negara lain di dunia. Persoalannya apakah Baghdad boleh mengambil tindakan ke atas warga Amerika itu?
Tidak seperti digembar-gemburkan pemimpin politik di Baghdad dan Washington, Iraq sebenarnya masih jauh untuk dianggap negara berdaulat oleh tentera Amerika, sekurang-kurangnya dari segi penguatkuasaan undang-undangnya terhadap askar Amerika, mahupun pihak swasta yang beroperasi di Iraq di bawah kontrak kerajaan Amerika. Menurut satu perintah dikeluarkan Pihak Berkuasa Penakluk Amerika pada 2004, tentera Amerika, kontraktornya dan pegawai asing lain diberi kekebalan dari segi undang-undang Iraq. Firma keselamatan swasta Blackwater yang dianggotai bekas tentera elit Amerika adalah satu daripada pihak dikecualikan daripada undang-undang Iraq. Malah, anggota firma berkenaan yang ditugaskan Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk memberi kawalan keselamatan kepada kakitangannya di Iraq lebih istimewa daripada anggota tentera Amerika. Mereka juga terkecuali daripada undang-undang tentera Amerika yang boleh digunakan untuk menghukum mana-mana askar yang membunuh dan mendera rakyat Iraq tanpa sebab. Lebih menyedihkan apabila Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika menjelaskan mahkamah Iraq tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa kontraktor keselamatan ini. Mahkamah Iraq perlu terlebih dulu meminta kebenaran anggota Pasukan Pelbagai Nasional di Iraq sebelum boleh mengambil tindakan terhadap pengawal Blackwater. Bayangkan apakah bentuk keadilan yang wujud di Iraq hingga orang warga asing boleh membuat sesuka hati, termasuk melakukan jenayah di bumi yang mereka tawan itu. Pentagon turut mengesahkan pendirian unit Kongres ini dengan menyatakan kontraktor keselamatan seperti Blackwater hanya boleh didakwa Jabatan Keadilan Amerika dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Apakah implikasi kedudukan istimewa ini? Kira-kira 25,000 hingga 48,000 pengawal keselamatan swasta asing beroperasi di Iraq sekarang, selain berpuluh-puluh ribu lagi di lebih 30 negara di seluruh dunia. Industri pengawal keselamatan swasta itu kini bernilai berbilion-bilion dolar. Pada satu hari nanti, ia berpotensi berkembang menggantikan tentera nasional dalam menjalankan kebanyakan tugas, termasuk melancarkan operasi ketenteraan. Dengan itu, kerajaan penakluk akan mempunyai lebih banyak peluang melakukan kezaliman terhadap rakyat negara yang ditakluk menerusi firma keselamatan swasta ini, tanpa dipertanggungjawabkan kepadanya. Apakah masyarakat dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya memejamkan sebelah mata terhadap muslihat Amerika hingga askar swasta negara itu seolah-olah kebal daripada hukuman dan undang-undang antarabangsa?
Berita Harian 25 September 2007