Isnin, 24 September 2007

Kolej Risda galas harapan negara


Institusi pengajian swasta tunggal latih generasi muda jadi pakar pertanian


SEKTOR pertanian dikenal pasti sebagai bidang strategik dalam menjana ekonomi negara pada masa kini dan masa depan. Sektor itu juga berpotensi memastikan pembangunan lebih seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Bidang pertanian yang dulunya menggunakan peralatan tradisional seperti cangkul, tajak, sabit atau parang sudah lama ditinggalkan. Penggunaan peralatan moden dan canggih dengan teknologi tertentu menjadikan bidang itu semakin popular serta mampu menarik minat golongan muda untuk menceburinya.

Di atas kesedaran itu, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengembalikan semula kegemilangan sektor pertanian dalam ekonomi negara. Namun, tidak banyak institusi pengajian tinggi atau kolej menawarkan pengkhususan bidang pertanian sebagai salah satu kursus utama.

Oleh itu, Kolej Risda yang ditubuhkan pada 1999 menyediakan pengajian akademik dan kemahiran berlandaskan kepada bidang pertanian dengan penggunaan teknologi terkini.

Sejak 2004, Kolej Risda iaitu anak syarikat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), diberi tanggungjawab menyediakan kursus diploma pertanian sebagai menyahut misi kerajaan menjadikan ia bidang utama di negara ini.

Kolej ini adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama mengendalikan program seumpama itu. Program diploma pertanian diadakan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), bertempat di kampus Kolej Risda di Ayer Pa’abas, Alor Gajah, Melaka.

Program ini juga sudah mendapat pengiktirafan Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Kini selepas tiga tahun, seramai 69 pelajar sudah mendapat diploma masing-masing pada majlis konvokesyen ke enam Kolej Risda, pada 28 Ogos lalu.

Pengurus Besarnya, Datin Dr Faridah Hanam Mohd Rashid, berkata keseluruhannya konvokesyen itu membabit seramai 330 pelajar pelbagai kursus termasuk 186 penerima diploma dan selebihnya peringkat sijil.

Setakat ini, ramai bakal graduan itu sudah mendapat pekerjaan di syarikat tertentu terutama yang mengambil pemegang diploma pertanian, selain sebilangannya membuka perniagaan sendiri.

"Pada awalnya, kursus pertanian tidak mendapat sambutan, iaitu hanya 69 pelajar, tetapi kini sudah meningkat kepada 300 pelajar. Peningkatan jumlah pelajar yang mengikuti kursus itu juga ada kaitannya dengan dasar kerajaan yang memberi tumpuan terhadap bidang ini.

"Ini sekali gus meningkatkan minat golongan muda untuk mengambil kursus itu. Berdasarkan pemerhatian, kami dapati ramai orang kampung yang tidak mengetahui ada peluang disediakan kepada anak mereka untuk mengikuti kursus seumpama itu.

"Berdasarkan 'road show' yang dibuat, mereka berterima kasih kerana membuka mata mereka dengan memberi peluang kepada anak melanjutkan pelajaran. Kini lebih 60 peratus daripada pelajar kita adalah anak luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, di negara ini sekarang mempunyai banyak IPTS tetapi tidak menyediakan program asas pertanian seperti yang ditawarkan oleh kolej ini.

Katanya, pertanian terlalu luas dan tidak seharusnya menyempitkan fikiran kononnya sebagai bidang yang tidak glamor. Jika dulu, orang berpendapat pertanian hanya memegang cangkul tetapi kini semuanya sudah berubah kerana ia berpotensi untuk komersial sehingga memberikan pendapatan lumayan.

"Pertanian adalah industri yang luas dan ia juga boleh dikaitkan dengan industri lain. Kita sepatutnya melihat contoh Amerika Syarikat, yang sentiasa menjadikan pertanian sebagai sektor penting dan tidak pernah melupakan bidang itu," katanya.

Oleh itu, berdasarkan sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan menitikberatkan bidang pertanian. Serentak itu, Kolej Risda akan berusaha melahirkan pakar pertanian terlatih, bercirikan keusahawanan dan menghasilkan teknologi pertanian baru dan terkini.

Kursus jangka pendek berkaitan pertanian juga disediakan seperti berasaskan teknologi getah, sawit, pembangunan tanah, penyelenggaraan, penyediaan benih getah dan teknik menoreh.

Beliau berkata, kolej itu turut menawarkan pengajian dalam bidang diploma pengurusan perniagaan dan diploma sains komputer (dijalankan dengan kerjasama UPM). Selain itu, diploma keusahawanan, diploma perakaunan dan pradiploma pengurusan perniagaan juga penting sebagai persediaan membekalkan anak luar bandar dengan kemahiran tertentu.

Kursus jangka pendek lain seperti program kecantikan, kimpalan dan pengurusan pemakanan antara yang mendapat sambutan pelajar. Tambahan pula, kolej memberikan kelonggaran dari segi kelayakan akademik sama ada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Bagi kursus peringkat sijil, mereka yang berminat boleh mengikuti kursus disediakan tanpa memerlukan kelayakan tinggi, hanya sekadar lulus dua atau tiga subjek saja.

Ada juga yang hanya memiliki Penilaian Menengah Rendah (PMR). Kelonggaran itu memberi peluang luas kepada anak peneroka dan luar bandar untuk mengikuti pendidikan di IPTS kami.

"Misi kita juga adalah untuk menyediakan pendidikan untuk orang kampung bagi generasi kedua. Kita juga mahu melatih mereka menjadi usahawan dan dapat meningkatkan taraf hidup. Semua kursus disediakan juga memenuhi kehendak pasaran kerjaya pada masa ini dan masa depan," katanya.

Kolej Risda merancang menambah program baru iaitu diploma hortikultur dan landskap; diploma pengurusan industri peladangan serta kursus sijil dalam bidang sains, yang dijadikan 'feeder' kepada kursus pertanian ini.

Anak syarikat Risda itu sedang dalam perancangan memperluaskan pembinaan kampusnya di kawasan seluas 56 hektar di Melaka yang turut dilengkapi kemudahan pembelajaran termasuk 12 hektar lagi kawasan disediakan untuk tanaman getah, kelapa sawit, kawasan kolam ikan bagi memudahkan pelajar menjalani latihan praktikal. Kolej itu dijangka siap sepenuhnya pada 2009 selaras dengan penambahan pelajar baru.

Ketika ini, kolej sedia ada itu hanya mampu menempatkan kira-kira 750 pelajar untuk satu-satu masa. Bagaimanapun dengan penambahan bangunan di situ, ia mampu memuatkan sehingga 2,500 pelajar selain menambah tenaga pengajar daripada 35 pensyarah kepada 50 orang.

Sebelum ini, kolej itu mempunyai empat cawangan tetapi kini hanya dibuka di Melaka, manakala tiga lagi di Kelantan, Pahang dan Perak untuk digunakan sebagai Institut Kemajuan Pekebun Kecil bagi melatih pekebun kecil dalam bidang pertanian.

Sejak ditubuhkan, Dr Faridah Hanam berkata, seramai 1,500 graduan pelbagai kursus dilahirkan oleh Kolej Risda. Bagi memastikan Kolej itu mampu berdaya saing dengan IPTS lain, pihaknya bercadang menawarkan program ijazah pertanian dan ijazah lain pada 2010 selaras dengan sambutan yang semakin menggalakkan di kalangan generasi muda.

Ketika ini, pelajar cemerlang akan dibantu untuk meneruskan pelajaran pada peringkat ijazah di UPM dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Oleh Jami'ah Shukri

Berita Harian 25 September 2007